All posts by admin

Warkah 1 Mei

1Mei

Alhamdulillah, bersyukur ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah kurnia-Nya, kita semua diberi peluang untuk terus menikmati kelangsungan sebuah kehidupan. 

Alhamdulillah, ini juga adalah merupakan kali kedua PFAM menyambut hari yang istimewa ini sebagai sebuah persatuan yang memperjuangkan hak dan kebajikan para pemain bolasepak profesional di negara ini. Menyoroti semula apa yang dilalui, ternyata sudah banyak perubahan positif yang berlaku terutamanya terhadap mentaliti para pemain yang kini sudah mula menitikberatkan hak dan kebajikan mereka bukan sahaja sebagai seorang pemain bolasepak, tetapi sebagai seorang pekerja profesional yang diiktiraf oleh undang-undang negara. Begitulah yang diinginkan oleh PFAM, hormat itu hanya akan hadir apabila pemain itu sendiri 'menghormati' karier mereka selaku pemain profesional dan ilmu adalah kuncinya.

Alhamdulillah, PFAM juga sudah mula melihat bagaimana para majikan yakni pasukan turut mula mengambil langkah proaktif dalam memastikan agar para pemain dijaga dengan baik. Pasukan sudah mula mengambil kira pandangan pemain, sudah mula 'ringan' untuk berbincang dan juga memberikan kerjasama yang baik dengan PFAM. Pun begitu, tidak dinafikan juga, dalam perkembangan positif ini, masih juga ada segelintir pasukan yang tidak menjalankan tanggungjawab mereka sebagai majikan yang baik. Untuk hal sebegini, pesan PFAM hanya satu, hidup punya karma dan karma itu hidup. 

Alhamdulillah, walau apa pun ujian yang melanda, tabik hormat buat para pemain yang terus berjuang di atas padang atas nama sebuah kecintaan. Inilah nilai yang harus dimaknai dan wajib diraikan pada hari ini. 

PFAM mengambil kesempatan untuk mengucapkan takziah kepada keluarga dan sahabat handai pemain Melaka United, Stefan Petrovski yang meninggal dunia hari ini. PFAM bersama-sama dengan PFA Australia, wakil dan keluarga Stefan Petrovski akan memberi kerjasama untuk memastikan segala urusan akan dipermudahkan buat semua pihak. 

Izham Ismail

Ketua Pegawai Eksekutif

PFA Malaysia

[Audio] BFM: Payday Mayday

BFMMalaysian football has been hit by yet another salary crisis recently after three teams, who were all playing in the Super League last season, failed to pay some RM4.5 million in salaries to their players. While the fiasco has been primarily blamed on players and teams for engaging in shady deals, other factors have come under scrutiny including the aspect of football governance. Today, BFM explores why footballers continue to suffer at the hands of their employers.

This interview was aired on BFM Radio on 29th of March 2016. 

 

Your browser does not support native audio, but you can download this MP3 to listen on your device.

Kenyataan PFAM Berhubung Pembayaran Tunggakan Gaji Pemain

 

Web Layout_Media Press 17 Mac_New

Persatuan Pemain-Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) dengan rasa sukacita ingin memaklumkan bahawa lima bekas pemain pasukan Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) telah menerima bayaran awal nilai tunggakan gaji daripada pihak KAFA. Kelima-lima pemain telah mengesahkan bahawa mereka telah menerima bayaran awal pada hari Selasa bertarikh 15 Mac 2016. 

Bagi makluman semua, KAFA telah menghantar cadangan pembayaran tunggakan kepada PFAM dan menerusi perbincangan semua pihak yang terlibat, kesemuanya telah bersetuju dengan kaedah pembayaran yang telah dicadangkan oleh KAFA. PFAM berharap agar persetujuan tersebut dipatuhi dan dipenuhi oleh KAFA sehingga selesai pembayaran semua nilai tunggakan.

PFAM dengan rasa hormatnya, ingin mengucapkan terima kasih atas tindakan yang dibuat oleh KAFA untuk menyelesaikan tunggakan ini. PFAM mendoakan selamat maju jaya buat KAFA pada saingan musim ini.

Selain itu, PFAM turut mengharapkan tindakan positif dan profesionalisme yang sama daripada pihak Persatuan Bolasepak Angkatan Tentera (PBAT) dan juga menggesa FAM mempercepatkan proses rayuan Felda United bagi menyelesaikan isu tunggakan bayaran pemain. 

Terima kasih.

 

Izham Ismail

Ketua Pegawai Eksekutif

PFA Malaysia

 

Kenyataan PFAM Berhubung Isu Kontrak Mohd Azrif Nasrulhaq

PFAM mengambil pendekatan secara objektif berkenaan isu perpindahan Azrif Nasrulhaq yang melibatkan dua pasukan Liga Super 2016 iaitu Selangor dan JDT.

PFAM berpendirian bahawa prinsip asas harus diletakkan sebagai keutamaan iaitu kontrak perlu difahami, dipatuhi dan dihormati. Berdasarkan peraturan, seorang pemain tidak boleh mempunyai dua kontrak pada waktu yang sama dan sesebuah pasukan hanya boleh berunding secara terus dengan pemain pada tempoh 3 bulan terakhir kontrak seseorang pemain. Melainkan pada tempoh yang dinyatakan, mana-mana pasukan yang berminat untuk mendapatkan pemain daripada pasukan lain, rundingan harus terus dibuat antara kedua-dua pasukan (dalam kes ini, antara JDT dan Selangor). 

Keterbukaan JDT untuk menerima nasihat PFAM mengenai permasalahan ini amat dihormati oleh PFAM. Tindakan balas dan penjelasan yang dibuat oleh pasukan JDT mengenai isu ini dan penerimaan pasukan Selangor juga wajar diberikan pujian bagi memastikan isu ini tidak melarat ke tahap yang lebih kritikal. Inilah nilai profesionalisme yang ditonjolkan oleh kedua-dua pasukan dan ia wajar dijadikan panduan oleh pasukan-pasukan lain.

Tindakan kedua-dua pasukan ini untuk menyelesaikan isu ini tanpa ke Jawatankuasa Status FAM secara tidak langsung turut menyelamatkan karier Azrif dari dikenakan hukuman atas kesalahan menandatangani dua kontrak. PFAM berharap agar perkara ini dijadikan teladan oleh semua dan tidak berulang di masa hadapan.

Pesanan PFAM buat semua pemain, adalah menjadi perkara yang amat penting untuk pemain benar-benar memahami dan mematuhi kontrak yang mereka tandatangani. Pemain perlu mengambil serius dalam hal ini kerana sekiranya tersilap langkah, ia akan membawa kemudaratan yang lebih besar. 

PFAM bersedia untuk membantu mana-mana pemain untuk lebih memahami isi kandungan kontrak supaya perkara sebegini tidak berulang kerana ia pastinya akan menjejaskan nilai profesionalisme dalam karier seorang pemain bolasepak.

Izham Ismail

CEO PFA Malaysia

Kenyataan Presiden PFAM Mengenai Penswastaan Liga & Isu Kontrak Pemain

HaiOPENDAHULUAN

1. Saya mulakan kenyataan saya ini dengan mengucapkan Selamat Tahun Baru kepada semua peminat bolasepak Malaysia dan juga kepada semua yang telah menyokong perjuangan PFAM selama ini.

2. 2016 sememangnya merupakan tahun yang amat dinanti oleh semua pemegang taruh bolasepak Malaysia kerana tahun ini bakal menyaksikan liga tempatan kita diswastakan setelah sekian lama diselia oleh FAM.

3. Umum mengetahui, betapa tujuan penswastaan ini adalah untuk membantu meningkatkan nilai komersial bolasepak negara dan secara jangka panjangnya, dengan melalui beberapa proses evolusi yang dipercayai boleh dilakukan menerusi peningkatan kuasa nilai komersial, mampu untuk meningkatkan mutu bolasepak Malaysia.

4. Secara jujur dan tanpa sekelumit rasa prejudis terhadap niat utama penswastaan ini, saya bersetuju dengan langkah transformasi yang ingin kita lakukan.

5. Pun begitu, dengan perasaan jujur dan tanpa prejudis yang sama juga, saya melihat, di sebalik usaha keras yang ditonjolkan oleh seluruh warga kerja FM-LLP dalam memahamkan kita berkenaan penswastaan liga dan juga menyusun stuktur dan penjenamaan liga, ruang untuk mengisi kelompongan dalam isu pematuhan kontrak terutamanya berkenaan pembayaran gaji kepada para pemain masih mempunyai kesenjangan yang amat ketara – dan perkara ini secara jelas dan amat mendukacitakan, tidak disentuh oleh pihak FM-LLP. 

SITUASI KINI

6. Secara peribadi, saya melihat tiada usaha yang konkrit dibuat oleh FM-LLP dalam memastikan tiada kes berulang berkenaan isu tunggakan gaji buat para pemain. 

7. Saya maklum, mungkin FM-LLP akan menyatakan bahawa tugas mereka adalah hanya untuk mengawal selia liga dan perkara-perkara yang sejajar dengannya, namun begitu, perlu ditekankan bahawa apalah gunanya kita menswastakan liga sekiranya kes sama masih berulang dan adalah lebih malang apabila kes tersebut adalah pasak utama dalam kancah bolasepak kita. 

8. Gaji, pemain dan permainan bolasepak adalah sebuah rantaian simbiosis yang amat signifikan dalam arus bolasepak moden. Apabila perkara ini tidak dibendung, ia samalah seperti mempunyai sebuah rumah yang rapuh tiangnya, tetapi kita hanya mengecat luarannya sahaja untuk kelihatan baru tanpa menyelesaikan masalah utama rumah tersebut. 

9. Akhirnya, rumah itu akan roboh jua dan segala usaha pembaharuan yang kononnya dibuat, akan jadi sia-sia. Oleh sebab itu, bagi pihak pemain, terutamanya yang sedang dan pernah berhadapan dengan isu ini, penswastaan liga amat dinantikan untuk membawa sebuah perubahan yang baru, seperti seorang rakyat marhein yang menantikan bajet baru pada setiap tahun. Sayangnya, ia tidak terjelma dalam aturan yang dirangka oleh FM-LLP.

CADANGAN

10. Saya berpendapat, sebagai sebuah syarikat yang mempunyai kuasa untuk menganjurkan sesebuah pertandingan, FM-LLP sepatutnya menggunakan kuasa yang ada untuk membela nasib pemain dan FM-LLP sepatutnya melihat perkara ini sebagai sebahagian kaedah untuk menjaga integriti liga kita. 

11. Sehubungan itu, dengan dada yang terbuka, saya ingin mencadangkan beberapa mekanisme yang boleh dilaksanakan oleh FM-LLP bagi menjaga kebajikan pemain.

12. Secara umumnya, bayaran tertunggak adalah bayaran yang tidak dibuat mengikut terma yang dipersetujui dan pada tarikh yang ditetapkan, sesuatu bayaran tidak dianggap tertunggak sekiranya :

(a) jumlah dibayar secara penuh; atau

(b) adanya perjanjian bertulis untuk memanjangkan tempoh tarikh pembayaran dibuat; atau

(c) terdapatnya tuntutan perundangan atau sebarang prosiding yang relevan – dengan pasukan berjaya buktikan bahawa prosiding ini bukan bertujuan untuk melengahkan pembayaran.

Oleh hal yang demikian, sekiranya perkara-perkara di atas tidak dipenuhi, maka ia terangkum sebagai bayaran tertunggak dan inilah yang memerlukan kaedah utuk membanterasnya.

13. Antara langkah atau mekanisme yang boleh dilaksanakan bagi membantu ke arah penyelesaian tunggakan gaji para pemain dari berulang adalah seperti pemotongan geran kepada pasukan, pemotongan hadiah kemenangan atau juga pemotongan wang penyiaran untuk menyelesaikan masalah gaji pemain. Dalam erti kata yang lain, wang tersebut akan terus diserahkan kepada para pemain dan bakinya barulah diberikan kepada pasukan. 

14. Selain itu, penalti seperti pemotongan mata liga juga boleh dikenakan bagi pasukan yang gagal membayar gaji pemain tepat pada waktunya atau mempunyai tunggakan yang melebihi dua bulan. 

15. Memperkenalkan sistem kawalan kewangan yang lebih berdisiplin dan rasional dengan menggalakkan pasukan untuk beroperasi berdasarkan kapasiti kewangan mereka.

16. Menggalakkan juga pasukan untuk membuat pelaburan jangka panjang bagi menjamin keupayaan kewangan yang stabil. 

17. Memastikan pasukan melunaskan tanggungjawab mereka seperti menyelesaikan segala hutang kepada pemain sebelum bermula musim baharu. Kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan pasukan berkenaan tidak boleh menyertai saingan seterusnya.

18. Di samping itu, adalah wajar juga untuk sebuah badan ditubuhkan bagi mengawal selia kewangan dan pengurusan gaji pasukan-pasukan agar ia tidak menganiaya pemain. PFAM mencadangkan agar setiap pasukan dikenakan syarat dimana jumlah perbelanjaan gaji mestilah tidak lebih dari 60% dari jumlah keseluruhan perbelanjaan pasukan. 

19. Selain itu, turut dicadangkan, agar setiap pasukan wajib mempunyai jaminan bank sebelum boleh didaftarkan dalam saingan liga agar pemain masih dibayar gaji sekiranya pasukan mempunyai masalah kewangan. 

20. Mungkin cadangan ini dianggap drastik dan radikal, tapi saya percaya, sekiranya kita benar-benar serius untuk memerangi isu tunggakan gaji pemain, cadangan ini perlu dipertimbangkan sebaik-baiknya.

HARAPAN

21. Akhir kata, tiada salahnya untuk membuat sesuatu perubahan, dan sebaik-baik perubahan adalah perubahan yang memberi manfaat. Sebagai wakil setiap pemain bolasepak profesional di Malaysia, saya mengharapkan agar isu tunggakan gaji pemain ini tidak akan berulang lagi dalam saingan liga swasta 2016. 

22. PFAM amat bersedia untuk berkerjasama dengan FM-LLP bagi mencari penawar mujarab untuk isu ini. Selamat datang 2016, semoga kita tidak pincang dalam melangkah.

Hairuddin Omar

Presiden

PFA Malaysia

Kursus Kejurulatihan PFAM-NFDP-FAM

Kursus(Foto oleh Kamarul Akhir / asiana.my)

Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM), dengan kerjasama Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah menganjurkan kursus kejurulatihan Pra-C bertempat di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil bermula 21 Disember sehingga 24 Disember 2015.

Kursus disertai oleh 24 pemain bolasepak profesional yang masih bermain secara aktif di kancah Liga Super, Liga Perdana dan Liga FAM dan mereka semua juga merupakan ahli PFAM yang berdaftar. 

Kursus ini dianjurkan sebagai langkah awal dalam mempersiapkan pemain dengan ilmu pengetahuan dalam bidang kejurulatihan dan sebagai persiapan untuk pemain untuk menempuhi alam selepas bergelar pemain profesional. 

Antara pemain yang menyertai kursus ini ialah kapten Selangor FA, Shahrom Kalam yang menyifatkan kursus ini sangat penting untuk membuka minda pemain dalam bidang kejurulatihan selain penting dalam membina karakter seorang pemain. 

Kursus ini juga disertai oleh Abdulafees Salam, pemain import dari Nigeria yang berasa amat gembira dengan usaha PFAM memberi peluang dan pendedahan awal kepada semua pemain yang berminat menjadi jurulatih di masa hadapan.

Kursus yang berlangsung selama 4 hari ini dikendalikan oleh Ketua Pencarian Bakat NFDP, P. Ganasamurthy dan Pemangku Ketua Jabatan Kejurulatihan FAM yang juga bekas pemain bolasepak negara, Lim Chuan Chin. 

Majlis penutup kursus ini telah disempurnakan oleh Timbalan Presiden PFAM, Rezal Zambery Yahya dan dalam ucapannya menegaskan bahawa tanggungjawab sebagai kepimpinan PFAM untuk memastikan ahli PFAM mempunyai bekalan yang cukup apabila mereka bersara. Ini penting untuk memastikan kelangsungan hidup yang stabil dan kursus ini adalah kaedah paling ideal untuk semua ahli melengkapkan diri bagi berhadapan dengan keadaan pasca karier. 

Beliau juga menekankan visi PFAM untuk pemain bolasepak di bawah PFAM meneruskan legasi dan meneruskan bakti dalam bolasepak Malaysia di masa hadapan sebagai jurulatih. 

Ketua Pegawai Eksekutif PFAM, Izham Ismail berkata, PFAM akan terus komited untuk memberi platform kepada semua pemain untuk memajukan diri dalam apa jua bidang termasuk kejurulatihan dan program seumpama ini akan terus diadakan di masa hadapan.