All posts by Syamil Rosli

TITIPAN SINAR HARAPAN UNTUK ADRA MEDINA

Adra Medina

Adik Adra Medina merupakan anak kedua kepada ahli PFA Malaysia dari Perlis iaitu Alafi Mahmod. Adik Adra yang berusia 48 hari kini menghadapi dugaan yang cukup besar apabila disahkan menghidap penyakit jantung berlubang. 

Adik Adra memerlukan dua kali pembedahan dan kos rawatan susulan yang mencecah RM100,000. Kami mewakili seluruh warga PFA Malaysia ingin memohon ihsan semua lapisan masyarakat untuk menghulurkan bantuan menerusi inisiatif sumbangan ikhlas PFA Malaysia. Semoga dengan bantuan ini, sedikit sebanyak dapat meringankan bebanan saudara Alafi.

Untuk sebarang pertanyaan mengenai sumbangan kepada Adra, anda boleh menghubungi Cik Hanani di talian 017-722 0864 dan Syamil Rosli di 014-548 7034.

Moga keprihatinan anda dapat membantu Adik Adra menjalani kehidupan seperti biasa.

KENYATAAN PFA MALAYSIA BERHUBUNG ISU POTONGAN MATA | 3 MEI 2017

Kenyataan Media 2017-1

KENYATAAN PFAM BERHUBUNG ISU POTONGAN MATA
 
Berhubung tindakan Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) yang mengumumkan pemotongan mata terhadap pasukan yang gagal melunaskan gaji, caruman KWSP, pembayaran SOCSO atau cukai pendapatan kepada LHDN, PFAM menyambut baik dan sememangnya memberikan sokongan penuh terhadap tindakan ini.
 
Isu tunggakan gaji adalah merupakan isu yang sering berlaku dalam kancah bolasepak tempatan. PFAM percaya, menerusi tindakan potongan mata dan “transfer ban”(bersyarat), ini adalah mesej yang jelas daripada pihak FAM dan FMLLP, betapa kegagalan pasukan dalam menguruskan gaji pemain adalah merupakan kesalahan yang serius dan berat.
 
Oleh itu, PFAM berharap agar hukuman ini menjadi pengajaran terhadap pasukan yang dikenakan tindakan dan juga menjadi peringatan kepada pasukan-pasukan lain. Pada masa yang sama, PFAM turut menggesa agar pasukan yang dikenakan hukuman ini untuk segera menyelesaikan tunggakan gaji tersebut. Hal ini bagi memastikan intergriti industri bolasepak tempatan terpelihara menerusi kebajikan para pemain yang tidak diabaikan.
 
PFAM juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Presiden FAM yang juga Pengerusi FMLLP, Tunku Ismail, yang telah mengambil tindakan dengan segera terhadap isu tunggakan gaji ini. Semoga perubahan positif ini dapat memastikan nilai profesionalisme diangkat pada tahap yang selayaknya.

Hairuddin Omar
Presiden PFAM

[PFAM-asiana.my POTM] Pemain Terbaik Liga Premier Bulan April 2017

01 - De Paula

02 - Shahrel Fikri

03 - Sunday

04 - Nasriq

05 - Jeronimo Barrales

06 - All

[PFAM-asiana.my POTM] Pemain Terbaik Liga Super Bulan April 2017

01 - Ghaddar

02 - Safiq Rahim

03 - Norhakim Hassan

04 - Matheus Alves

05 - Hafiz Kamal

06 - All

KENYATAAN PFA MALAYSIA BERHUBUNG ENAM PASUKAN YANG MEMPUNYAI TUNGGAKAN GAJI – 29 MAC 2017

Web Layout_Media Press 29 Mac

Merujuk kepada kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP, Kevin Ramalingam yang disiarkan di The Star pada 29 Mac 2017, PFAM amat bersetuju dengan cadangan penolakan mata yang ingin dibuat dan berharap agar ia dilaksanakan secepat mungkin. 

Cadangan ini telah lama dikemukakan tetapi tidak dapat dilaksanakan dahulu kerana wujudnya kekangan yang tidak dapat dielakkan. Namun begitu, melihat kepada perubahan positif dan kesediaan FMLLP untuk melaksanakan cadangan ini, PFAM menyambut baik dan menggesa agar pasukan-pasukan yang mempunyai masalah tunggakan gaji tampil memberi komitmen untuk menyelesaikan isu ini.

Bagi PFAM, sudah tiba masanya pelaksanaan potongan mata ini disegerakan sebagai langkah awal selain membawa mesej jelas bahawa isu tunggakan gaji adalah perkara yang sangat serius dan mesti dibasmi sepenuhnya. Ia juga adalah sebagai lambang keadilan buat para pemain yang telah lama menunggu hak mereka dan terpaksa menempuh suatu tempoh kehidupan yang sukar kerana sikap tidak serius yang ditunjukkan oleh pasukan untuk menyelesaikan isu ini. 

Pada masa yang sama juga, PFAM berharap agar kes tertunggak di FAM dapat disegerakan bagi menjaga kebajikan pemain dan juga memastikan cadangan ini dapat dilaksanakan secepat mungkin ke atas pasukan yang ingkar dengan arahan Jawatankuasa Status FAM.

Izham Ismail
Ketua Pegawai Eksekutif 
PFA Malaysia

[PFAM-asiana.my POTM] Pemain Terbaik Liga Premier Bulan Februari 2017

01 - Dao

02 - Lutfulla Turaev

03 - Bodric

04 - Shahrel Fikri

05 - Bruno Suzuki

06 - All

[PFAM-asiana.my POTM] Pemain Terbaik Liga Super Bulan Februari 2017

01 - Bad

02 - Mark

03 - Alves

05 - Sumareh04 - Ghaddar

06 - All

 

KENYATAAN PRESIDEN PFA MALAYSIA HAIRUDDIN OMAR MENGENAI SOKONGAN PFAM TERHADAP TMJ

Statement_Pres PFAM

BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM 
ASSALAMUALAIKUM DAN SELAMAT SEJAHTERA

1.    Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan salam musim bolasepak Liga Malaysia 2017. Saya sedar, walaupun musim bolasepak sudah pun memasuki perlawanan keempat, namun tidak keterlaluan untuk saya mengucapkan salam ini sebagai permulaan bicara saya selaku Presiden PFAM pada tahun 2017.
2.    Secara peribadi, 2017 adalah merupakan tahun yang agak beremosi kepada saya, kerana mungkin ramai yang telah maklum, saya sudahpun mengumumkan persaraan saya sebagai pemain bolasepak profesional setelah berkecimpung dalam dunia ini selama 20 tahun.
3.    Pun begitu, tugas dan amanah selaku Presiden Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia akan tetap saya langsungkan demi memartabatkan nilai perjuangan para pemain bolasepak profesional di Malaysia pada tahap yang selayaknya. 
4.    Dalam wadah kali ini, saya ingin mengambil sedikit masa untuk berbicara mengenai pemilihan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia yang baru, di mana pemilihannya akan dibuat pada bulan Mac nanti. 
5.    Mungkin pada keramaian orang, pemilihan Presiden dan kepimpinan baru FAM hanyalah dilihat sebagai suatu proses biasa bagi persatuan sukan. Namun bagi kami, yang telah lama mengabdikan diri dalam dunia bolasepak, inilah “pilihanraya umum” yang sangat kami nantikan, kerana jika bolasepak ini umpama sebuah negara, di pilihanraya inilah, kita akan menentukan kelangsungan bolasepak Malaysia untuk generasi seterusnya.
6.    Saya melihat, pemilihan Presiden tahun ini agak menarik yang membabitkan pertembungan calon heavyweight yang telah dinamakan iaitu Tan Sri Anuar Musa dan Penaung PFAM sendiri, Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim atau lebih dikenali sebagai TMJ. Ternyata, kedua-dua calon mempunyai kredibiliti yang tersendiri dan boleh dikatakan ini adalah antara pemilihan Presiden yang paling menarik di sepanjang tempoh saya terlibat dalam dunia bolasepak.
7.    Pada saya, dari kaca mata seorang pemain, untuk menjadi seorang Presiden FAM, seseorang itu wajib memenuhi 3 kriteria iaitu pertama, meletakkan FAM sebagai KEUTAMAAN dalam urusan kerjanya, kedua, mempunyai PENGETAHUAN DAN PENGALAMAN dalam asam garam bolasepak Malaysia, dan ketiga, mempunyai NETWORKING yang luas dalam dunia bolasepak samada di dalam dan di luar negara.
8.    Mengapa saya menggariskan TIGA (3) kriteria ini? Kerana kita perlu akui, bolasepak kita sememangnya memerlukan perhatian yang amat khusus dan kita memerlukan sistem sokongan dan safety net yang besar untuk memastikan iltizam bolasepak Malaysia tercapai dengan jayanya.  
9.    Tempoh 5 tahun pertama selepas pemilihan Presiden dan kepimpinan baru adalah sangat kritikal bagi memandu semula halatuju bolasepak negara dan kita ternyata tidak boleh berkompromi dalam memilih seorang PRESIDEN FAM yang baru.
10.    Sehubungan itu, berdasarkan kriteria yang telah saya gariskan, dan melihat kepada keperluan semasa dalam bolasepak Malaysia, dan juga tanpa menafikan kredibiliti calon-calon lain, selaku Presiden PFAM, saya amat yakin dan percaya, bahawa individu yang paling layak untuk menjadi Presiden FAM pada pemilihan kali ini adalah Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim (TMJ).
11.    Perlu dijelaskan, sokongan ini bukan kerana TMJ adalah penaung PFAM, tetapi ia berdasarkan track record DYAM Tunku yang saya kira tidak perlu untuk saya huraikan dengan panjang lagi.
12.    Pertamanya, berkenaan isu KEUTAMAAN. Secara umumnya, kita pun mengetahui bahawa DYAM Tunku adalah bukan merupakan seorang ahli politik mahupun memegang pelbagai jawatan utama dalam pentadbiran kerajaan. Sekalipun DYAM Tunku mempunyai tugasannya sendiri selaku Tunku Mahkota Johor, namun DYAM Tunku sememangnya mampu memberi keutamaan kepada bolasepak sepertimana dengan apa yang DYAM Tunku lakukan di Johor. 
13.    Inilah yang kita mahukan daripada seorang Presiden FAM yang baru. Seseorang yang boleh menjadikan FAM sebagai keutamaan dalam urusan kerjanya dan bukan menjadikan FAM sebagai hanya jawatan sisipan. Sepertimana yang saya nyatakan tadi, FAM memerlukan seorang Presiden yang benar-benar boleh memberi fokus kepada urusan pentadbiran FAM bagi memastikan segala halatuju yang dibuat oleh FAM dijalankan dengan terperinci dan betul.
14.    Kedua, isu PENGETAHUAN DAN PENGALAMAN dalam bolasepak Malaysia. Saya kira, seluruh Malaysia dan Asia sedar dan melihat bagaimana kemajuan yang telah ditunjukkan oleh pasukan JDT ketika DYAM Tunku mengambil alih sejak 5 tahun yang lalu. 
15.    DYAM Tunku tahu dan sedar, dalam iklim bolasepak Malaysia, apakah yang perlu dijadikan keutamaan bagi membuat sebuah revolusi dalam bolasepak. DYAM Tunku tahu dan sedar, pencapaian adalah ukuran bagi mendapatkan kepercayaan dan sokongan daripada semua pemegang taruh bolasepak. DYAM Tunku tahu dan sedar, dengan mentaliti dan sikap yang betul, bolasepak Malaysia boleh ditransformasikan ke tahap yang lebih tinggi. 
16.    Inilah yang DYAM Tunku lakukan di JDT, penerapan pengurusan yang cemerlang, yang akhirnya menjelmakan profesionalisme yang tinggi dalam kalangan pegawai, pemain dan juga penyokong, di samping pembinaan infrastruktur dan fasiliti yang bertaraf dunia. Inilah ekosistem yang sangat kondusif yang seterusnya menjadi formula kejayaan JDT hari ini. Bayangkanlah, jika DYAM Tunku mampu melaksanakan perkara yang sama di peringkat nasional.
17.    Malah bukan dalam isu pengurusan kelab sahaja, selaku Penaung PFAM, DYAM Tunku sememangnya indvidiu yang amat memahami kebajikan para pemain. DYAM Tunku sedar, dalam dunia bolasepak, pemain adalah merupakan aset paling bernilai yang perlu untuk dijaga dan dipelihara.
18.    DYAM Tunku sudah banyak kali bersuara bagi pihak pemain tatkala pemain dihimpit oleh masalah gaji, malah YM Tunku dengan murah hatinya, telah memberikan sumbangan duit raya bagi pemain-pemain yang terlibat dengan isu tunggakan gaji. Malah, DYAM Tunku turut menyokong usaha penubuhan National Dispute Resolution Chamber (NDRC) yang mana akan menjadikan sistem keadilan yang lebih telus dan berasingan. Inilah Presiden yang kita mahukan, yakni Presiden yang benar-benar memahami nadi dan denyut bolasepak Malaysia.
19.    Ketiga, berkenaan NETWORKING yang luas. Sememangnya, hubungan baik DYAM Tunku dengan kelab-kelab ternama dunia seperti Valencia dan Borusia Dortmund adalah sangat kritikal bagi membangunkan semula bolasepak Malaysia.
20.    Kita sememangnya perlu belajar dari yang terbaik, oleh itu, mempunyai jalinan rangkaian yang luas adalah merupakan sistem sokongan dan safety net yang boleh kita gunakan untuk terus memperkasakan sistem pengurusan kelab, sistem pembangunan pemain muda, sistem pembangunan kejurulatihan dan juga pengurusan pasukan kebangsaan.  
21.    Kemasukan kepakaran luar, penyusunan Perlawanan Berkelas A, pendedahan luar negara, adalah elemen-elemen segar yang boleh disuntik oleh DYAM Tunku bagi memperkasakan liga dan juga prestasi bolasepak kebangsaan.
22.    Berdasarkan penilaian menerusi ketiga-tiga kriteria yang saya nyatakan tadi, kami (PFAM) percaya, betapa TMJ adalah individu yang tepat untuk memikul amanah ini.
23.    Tanpa menafikan sumbangan dan jasa yang telah diberikan oleh legasi Presiden yang terdahulu dalam pembangunan bolasepak Malaysia, yang kita juga harus berterimas kasih atas sumbangan besar yang diberikan oleh mereka, 
24.    Namun, sekarang adalah waktu untuk menukar baton dalam kepimpinan Presiden bagi memastikan larian yang kita lakukan seterusnya adalah larian yang benar-benar membawa perubahan yang positif kepada bolasepak Malaysia.
25.    Cuma harus diingatkan, perubahan tidak akan berlaku dengan sekelip mata. Kita tidak boleh mengharapkan bahawa bolasepak Malaysia akan terus berada di puncak sebaik sahaja DYAM Tunku menjadi Presiden. Namun apa yang boleh kita harapkan, dengan hadirnya DYAM Tunku selaku Presiden FAM yang baharu, akan berlaku perubahan mentaliti, dasar dan gerak kerja bagi mentrasnformasikan FAM dan seterusnya bolasepak Malaysia.

Hairuddin Omar
Presiden
PFA Malaysia

 

KENYATAAN TIMBALAN PRESIDEN PFA MALAYSIA REZAL ZAMBERY YAHYA MENGENAI TUDUHAN KEPADA ROZAIMIE RAHIM

 Statement_Timb Pres PFAM

Saya mewakili kepimpinan Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia yang mewakili pemain profesional di Malaysia mengambil perhatian mengenai tuduhan yang dilemparkan oleh sesetengah pihak kepada seorang ahli kami, Rozaimie Rahim yang kini bermain untuk skuad Sabah FA di saingan Liga Perdana.

Kami di PFA Malaysia ingin meluahkan rasa kecewa atas tindakan sesetengah pihak yang melemparkan tuduhan yang mencemarkan nama baik dan reputasi pemain tersebut, sehingga mengakibatkan emosi beliau dan ahli keluarga terganggu. 

Setiap pemain tidak lari dari melakukan kesilapan di atas padang dan kami merasakan semua pihak perlu berlaku adil dan jangan melemparkan tuduhan tanpa asas yang boleh mengakibatkan kerjaya pemain dan reputasi pemain terganggu. 

Sekiranya mana-mana pihak merasakan pemain tersebut bersalah, kami sarankan agar perkara ini dibawa melalui proses serta saluran yang betul dan membuat laporan rasmi kepada Persatuan Bolasepak Malaysia untuk siasatan dibuat. Adalah tidak adil untuk menghukum sesuatu tanpa siasatan menyeluruh dan keputusan yang dibuat oleh pihak berwajib.

Kami memohon kepada semua pihak untuk meneruskan sokongan kepada pemain tersebut dan semoga bolasepak Malaysia terhindar dari segala gejala yang negatif yang boleh merosakkan arena bolasepak kita.

Rezal Zambery Yahya
Timbalan Presiden PFA Malaysia

 

 

KENYATAAN PRESIDEN PFA MALAYSIA, HAIRUDDIN OMAR MENGENAI PERANAN PFAM DAN ISU HAK PEMAIN

kenyataan-balas-02_web

KENYATAAN PRESIDEN PFA MALAYSIA, HAIRUDDIN OMAR MENGENAI PERANAN PFAM DAN ISU HAK PEMAIN

1. Salam buat semua pencinta bolasepak tanahair, yang terus setia bersama menyokong jatuh bangun bolasepak Malaysia.

2. Tahun 2016 bakal melabuhkan tirainya, bersama pelbagai kisah suka duka bolasepak kita. Pun begitu, tatkala kita sedang merangka halatuju 2017 (yang sebenarnya pun masih kabur), kita sekali lagi – yang seakan lumrah, dibentangkan kes-kes yang tak lekang dek panas, tak lapuk dek hujan seperti isu tunggakan gaji, ketidakpatuhan  kontrak, masalah kewangan dan seterusnya.

3. Lebih menyedihkan, adalah berlakunya ugutan-ugutan beberapa pasukan besar yang mengancam untuk menarik diri dari kancah saingan musim hadapan sekiranya tidak menerima sumber kewangan yang mencukupi.

4. Sebagai sebuah persatuan pemain, kami sememangnya mengambil serius akan hal ini. Kami melihat isu ini dari sudut para pemain, yang sememangnya merupakan penerima kesan terbesar apabila perkara-perkara sebegini terjadi. Atas sebab itulah, saya agak kecewa dengan kenyataan Tan Sri Anuar Musa (TSAM) yang mempersoalkan tindakan kami memperjuangkan hak para pemain dengan menyatakan bahawa hal persatuan adalah bukan hal kami.

5. Bagi makluman TSAM, secara profesionalnya, PFAM tidak pernah langsung mencampuri urusan pengurusan sesebuah persatuan, kerana kami hormat tentang 'kedaulatan' setiap persatuan. Namun, PFAM hanya akan terlibat, apabila ada menerima laporan daripada para pemain (ahli PFAM), yang meminta bantuan kami bagi menyelesaikan permasalahan mereka. Segala usaha telah kami lakukan, namun masih menemui jalan buntu dan persatuan seolah-olah tidak serius dalam usaha menyelesaikan masalah gaji ini, dan perkara ini yang amat mengecewakan kami lantas ia tidak memcerminkan sikap profesional persatuan.

6. Mengapa PFAM katakan begitu? Kerana kami melihat pasukan-pasukan yang terus berhutang dengan para pemain ini, masih ligat merekrut pemain-pemain baru bagi mempersiapkan diri bagi saingan musim hadapan. Ia ternyata ironi dengan jawapan yang selalu diberikan oleh pasukan apabila diminta penjelasan oleh kami iaitu tidak mempunyai dana, menunggu duit penaja dan lain-lain. Ia juga sangat ironi dengan kenyataan TSAM yang berbunyi, "pasukan mana yang tak mahu bayar gaji pemain". Hal ini yang tidak mencerminkan tahap profesional mereka, juga tidak mencerminkan pun rasa tanggungjawab mereka untuk menjaga kebajikan para pemain yang telah bertungkus lumus berjuang untuk pasukan sepanjang musim.

7. Bilamana TSAM turut mempersoalkan tugas PFAM untuk meningkatkan daya profesionalisme para ahlinya, saya sekali lagi kecewa apabila TSAM cuba bermain "blame-game", berbanding menjawab isu pokok. Sepanjang PFAM beroperasi, telah banyak usaha yang kami lakukan dalam usaha meningkatkan tahap profesionalisme para ahli, dan sebagai pemain yang telah hampir 20 tahun bermain dalam liga bolasepak Malaysia, saya berani katakan bahawa mentaliti profesionalisme para pemain kini sudah semakin baik. Sekalipun diakui masih ada para pemain yang bermasalah, namun ia adalah suatu proses berterusan dan PFAM akan terus komited dalam melaksanakan tugas kami.

8. Tapi sayangnya, profesionalisme dalam pengurusan pasukan, dilihat tidak selari dengan tempoh yang dikatakan BERPENGALAMAN dan MATANG. Persatuan masih berada di takuk lama, isu yang berlaku pula adalah isu yang berulang, malah ketika kita ke arah penswastaan liga, pasukan masih lagi belum bersedia untuk keluar dari "comfort zone" mereka. Akhirnya, yang menjadi mangsa, PEMAIN.

9. Pada pandangan saya, mungkin TSAM berasa 'panas' apabila kerap ditekan oleh PFAM sejak tahun lepas. Tapi itulah PFAM, kami akan terus memperjuangkan nasib dan kebajikan para pemain secara PROFESIONAL, tanpa melibatkan kepentingan emosi dan peribadi. Setiap kes dikendalikan secara objektif tanpa menerima pengaruh daripada sesiapa. PFAM juga, sebagai ahli gabungan FIFPro yang diiktiraf oleh FIFA, menjunjung prinsip yang diperjuangkan oleh FIFPro yang menjadi badan yang mewakili 65,000 pemain profesional di seluruh dunia. Kami sentiasa bergerak berlandaskan undang-undang dan menjunjung penuh prinsip profesionalisme dalam tindakan kami.

10. Selaku Presiden PFAM, saya juga ingin menyatakan sokongan penuh kepada Saudara Izham Ismail, CEO PFAM, yang telah menjalankan tugasnya dengan cemerlang dalam tempoh hanya 2 tahun setengah PFAM beroperasi. Apa yang dikatakan beliau, adalah perkara yang betul, dan itulah juga suara hati daripada kami semua, ahli PFAM. 

11. Pesanan saya, bolasepak mungkin dilihat hanya sebagai sukan pada kebanyakan orang, mungkin juga dilihat sebagai 'mileage' untuk individu-individu tertentu, tetapi walau apa pun niat dan pandangan anda semua tentang bolasepak, pada kami, pemain profesional, bolasepak adalah KEHIDUPAN kami. Inilah punca rezeki kami, punca rezeki keluarga kami, punca rezeki anak-anak kami, punca rezeki kelangsungan hidup kami. Dan pastinya, bila kehidupan kami terganggu, kami akan terus berjuang demi keadilan yang sepatutnya kami peroleh.

HAIRUDDIN OMAR,

PRESIDEN PFA MALAYSIA