Supporting the Players, Building the Game

Berita Harian: Tunku Ismail berkenan pelantikan selaku penaung Pfam

KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkenan dengan pelantikan baginda selaku penaung Persatuan Pemain-Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (Pfam).

Ketua Pegawai Eksekutif Pfam, Izham Ismail berkata, baginda menyatakan persetujuan berkenaan ketika rombongan Pfam yang terdiri daripada beliau sendiri bersama dua wakil persatuan itu mengadakan perjumpaan dengan baginda pada Ahad.

Dua wakil tersebut ialah Presiden Pfam, Hairuddin Omar serta Timbalannya, Rezal Zambry Yahya yang beraksi bersama pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

"Sesungguhnya, kesudian TMJ untuk menjadi Penaung kepada Pfam adalah satu penghormatan terbesar kepada Pfam dalam usaha memperjuang integriti profesionalisme bola sepak tempatan," Izham dipetik sebagai berkata dalam satu kenyataan media yang dipaparkan dalam laman sesawang Pfam; www.pfam.my, hari ini.

Izham menjelaskan, pemilihan Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor dibuat memandangkan baginda begitu profesional dalam membantu pembangunan bola sepak negara selain turut arif dalam selok-belok pengurusan sukan itu.

Beliau berkata menerusi pertemuan tersebut, kedua-dua pihak turut berkongsi aspirasi dan impian yang sama untuk melihat kualiti profesionalisme bola sepak Malaysia berada pada tahap yang tertinggi.

Izham menegaskan kebajikan pemain tempatan yang bernaung di bawah persatuan tersebut akan terus dibela walaupun Tunku Ismail dilantik selaku penaung.

"Jaminannya, selagi mana masih ada bulan dan bintang, Pfam akan terus kekal menjadi milik pemain (tempatan)," kata Izham sambil berterima kasih di atas

kesudian baginda untuk menjadi penaung persatuan itu. Pfam yang ditubuhkan secara rasmi pada September 2009 berperanan sebagai sebuah persatuan yang melindungi kebajikan pemain bola sepak tempatan dari segi kontrak dan gaji. – BERNAMA

 

Sumber: Berita Harian, Isnin, 11 November 2014, http://www.bharian.com.my/node/16820

Building the Game