Supporting the Players, Building the Game

Dari Meja CEO

Izham

Alhamdulillah.

Ini ungkapan terawal saya selaku Ketua Pegawai Eksekutif PFAM. Sengaja saya memulakan warkah pendahuluan ini dengan kalimah syukur sebagai tanda terima kasih kepada Ilahi atas segala bantuan-Nya dalam ‘melahirkan’ semula PFAM.

Umum mungkin tidak mengetahui perihal PFAM, malah saya juga percaya, bagi mereka yang sudah mengenali PFAM sebelum ini, pasti mempunyai stigma negatif hasil kekurangan terdahulu. Saya menerima hakikat tersebut namun saya juga ingin menyedarkan hakikat baru kepada semua betapa perkara itu adalah sejarah. Sejarah yang memberikan iktibar berguna kepada kepimpinan baru PFAM agar zaman gelap itu tidak dikunjungi kembali. Tanpa mahu menuding jari kepada sesiapa, PFAM yang dilahirkan semula ini akan berusaha sebaik mungkin dalam mencapai objektif penubuhannya.

Saya berani katakan, PFAM hari ini adalah PFAM yang benar-benar segar dalam ideologinya membela pemain-pemain bolasepak profesional kita. PFAM hari ini adalah PFAM yang mempunyai visi yang jelas, semangatnya baru, jiwanya baru dan prinsipnya juga baru. Sesuai dengan falsafah ‘kelahiran semula’, PFAM ini akan menjadi dewasa dengan seluruh kehidupannya adalah untuk memartabatkan nilai profesional dalam kancah bolasepak negara. Malah, pemilihan pemain berpengalaman, Hairuddin Omar selaku Presiden sememangnya menjelmakan sebuah manifestasi yang tepat dalam membela hak dan kebajikan pemain-pemain kita.

Atas dasar itulah, perancangan kali ini disusun serapi mungkin agar PFAM benar-benar menjalankan fungsinya sebagai wadah bagi menterjemahkan nilai profesional dalam kalangan para pemain. Semestinya, PFAM akan terus komited dalam memperjuangkan hak dan kebajikan pemain, senantiasa memberi kesedaran kepada para pemain berkenaan hak dan kebajikan mereka serta mengolah program-program baru seperti simulasi media, kemahiran pengucapan awam dan kursus kejurulatihan. Pada masa yang sama, PFAM akan turut menganjurkan aktiviti kemasyarakatan bagi mendekatkan para pemain dengan masyarakat. Ini semua adalah sebahagian dari usaha PFAM untuk ‘memasyarakatkan pemain’ agar mereka ini menjadi ikon yang seterusnya akan mengubah persepsi orang ramai untuk mengangkat bolasepak sebagai  karier profesional.

Namun begitu, satu perkara yang tidak boleh dinafikan, PFAM tidak akan boleh berdiri dengan sendirinya tanpa sebarang kesepaduan sokongan daripada seluruh pemain di negara ini. Para pemain merupakan nadi dalam proses mendewasakan PFAM. Kesedaran daripada para pemain amat diperlukan bagi memastikan PFAM terus relevan dalam memperjuangkan hak pemain. Sesungguhnya, PFAM ini bukan milik saya, tetapi ia adalah milik pemain dan pemainlah yang sebenarnya berkuasa untuk menentukan halatuju PFAM. Selain itu, saya turut mengalu-alukan kehadiran media sebagai sahabat PFAM kerana saya percaya, peranan media amat kritikal dalam membangunkan martabat sukan bolasepak di negara ini. Sekiranya ada kelemahan daripada PFAM, tegurlah. Sekiranya ada ruang penambahbaikan dalam PFAM, mari kita perkasakan bersama. Ayuh kita semua, bersama-sama membantu para pemain dan membina semula sebuah legasi bolasepak yang telah lama menyepi.

Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim,

Saya, Izham Ismail, memulakan tugas.

Izham Ismail
Ketua Pegawai Eksekutif
PFA Malaysia

Building the Game