Supporting the Players, Building the Game

Gaji & Kontrak: Penyakit Yang Belum Terubat

KontrakGaji

Ia datang lagi! Perihal gaji yang tidak dibayar, kontrak yang diingkar dan tudingan jari yang menjalar. Gempar mungkin kerana ia melibatkan antara pasukan gergasi negara dan penjaring prolifik liga tempatan, hambar mungkin kerana isu ini sudah terlalu biasa menjadi topik bualan.

Saya mengakui, pantai mana yang tidak pernah dibedil ombak, laut mana yang tidak bergelora. Saya juga realisitik, saya tidak boleh menuntut kesempurnaan kerana sempurna itu hanya milik Tuhan. Kancah bola sepak tempatan juga begitu, dalam tempoh perjalanannya selaku sebuah liga profesional sejak tahun 1994, ia pasti akan berdepan dengan masalah. Kendati pun begitu, isu yang berlaku ini adalah isu berulang, malah ia adalah elemen asas dalam mana-mana pengurusan profesional bola sepak. Apabila sesuatu yang asas itu seringkali terjejas, maka ia menjadi tidak berasas. Inilah misteri terbesar yang tidak pernah kita mendapat penyelesaiannya.

Tanpa mahu menuding jari kepada sesiapa, malah artikel ini ditulis dengan penuh rasa suci hati tanpa sebarang elemen prejudis dan pesimis, saya melihat isu ini berlaku apabila nilai profesional itu tidak difahami sepenuhnya. Profesional bukan sekadar memakai kot dan tali leher ketika pergi ke perlawanan, bukan sekadar sibuk berbicara di hadapan media, bukan juga sekadar bekerja sepenuh masa, ia lebih dari itu. Mentaliti perlu profesional, dalam konteks ini, melihat bola sepak sebagai tanggungjawab, bukan hanya sekadar minat. Jiwa perlu profesional, dalam konteks ini, mengangkat bola sepak sebagai amanah, bukan sekadar tempat mengejar populariti. Hubungan perlu profesional, dalam konteks ini, menjunjung terma-terma perjanjian di dalam kontrak, bukan hanya berpandukan emosi dan kenang budi. 

Lanskap bola sepak negara sudah berubah. Proses pendewasaan pengurusan bola sepak secara profesional juga perlu berubah. Hari ini, menguruskan sebuah pasukan bola sepak adalah seperti menguruskan sebuah syarikat korporat. Pemain adalah pekerja, hasil permainan adalah produk. Dua elemen ini adalah teras untuk pasukan mencari dana samada dari jualan tiket, jualan barangan cenderahati dan juga tajaan. Pengurusan harus bersistem, ada perancangan kewangan yang realistik, ada pasukan pemasaran yang efektif dan pengurusan manusia yang sistematik. Inilah ramuan asas dalam sesebuah pengurusan syarikat korporat. Sebab itulah, apabila ada pihak yang menyalahkan pemain atas isu seperti ini, saya merasakan ia adalah tidak wajar memandangkan isu tunggakan gaji adalah sememangnya berpunca dari kelemahan pengurusan sesebuah persatuan.

Apabila persatuan menyatakan bahawa mereka tiada wang untuk membayar gaji para pemain, saya terkejut kerana bagaimana mereka boleh membuat perancangan bajet sekiranya mereka tidak mengetahui peruntukkan sebenar dana yang mereka ada. Adakah persatuan menawarkan gaji tanpa mengukur kemampuan diri? Adakah persatuan gagal menguruskan dana dengan baik? Atau secara pemikiran antagonis klisenya, adakah terdapat ketirisan dalam kewangan persatuan? Sekiranya ketiga-tiga persoalan memberikan jawapan “YA”, adakah masih lagi salah pemain? Namun tanda soal paling besar, bagaimanakah semua ini boleh berlaku dalam era profesional ini? Di Jepun, setiap pasukan perlu mengemukakan jaminan bank sebelum boleh didaftarkan untuk musim berkenaan. Di Cyprus, setiap pasukan akan disemak akaun mereka dengan Cyprus FA menetapkan, jumlah gaji haruslah 65% daripada jumlah pendapatan. Ini semua bagi memastikan elemen asas – bayaran gaji pemain – dapat diuruskan dengan baik. Di Malaysia, geran sebanyak RM350,000 untuk pasukan Liga Super dan RM250,000 (Liga Perdana) itu haruslah dilihat sebagai ‘duit raya’ sahaja, bukan sebagai ‘pendapatan tahunan’. Setiap pasukan harus berusaha mencari dana sendiri supaya kelangsungan pasukan dapat dikekalkan.

Saya juga mempunyai pandangan peribadi sendiri berkenaan kenyataan yang dikeluarkan oleh Tan Sri Anuar Musa apabila beliau menyatakan, permintaan gaji yang tinggi daripada para pemain menjadi punca kepada isu tunggakan gaji ini dan boleh mematikan liga tempatan. Saya tidak memusuhi Tan Sri, malah saya sendiri mengagumi ketokohan beliau yang sememangnya telah berjasa dalam pembangunan pengurusan profesional bola sepak negara. Pun begitu, atas dasar meraikan kepelbagaian pendapat, izinkan saya untuk tidak bersetuju dengan kenyataan beliau. Pada saya, dalam era profesional kini, pemain berhak meminta jumlah gaji yang mereka inginkan. Ini kerana, karier ini adalah sebuah karier profesional, malah ia melibatkan kemahiran dan tambahan pula, karier mereka lebih singkat berbanding profesion profesional yang lain. Dalam profesion yang turut berdepan dengan risiko kecederaan yang boleh menutup karier dengan lebih awal, permintaan daripada pemain untuk mendapat gaji yang tinggi adalah wajar sebagai jaminan pasca karier mereka. Adalah menjadi tugas persatuan untuk berunding dengan pemain sebelum memeterai perjanjian dan pastinya, persatuan perlu melihat kepada kapasiti sendiri sebelum bersetuju dengan jumlah yang diminta pemain. Presiden PFAM, Hairuddin Omar dan Timbalan Presiden, Rezal Zambery senada dengan saya berhubung isu ini. Menurut mereka, pemain berhak meminta bayaran yang mereka inginkan terutama dalam era profesional ini, pemain sudah boleh meletakkan nilai mereka berdasarkan kemampuan sendiri.

Seterusnya, apabila Tan Sri meramalkan bahawa bola sepak tempatan akan mati akibat dominasi oleh pasukan-pasukan yang berdana besar, pada pandangan saya, ia merupakan sebuah ramalan yang tidak tepat. Bukan semua pemain berbakat akan berkelana ke persatuan berdana besar, ramai lagi dalam kalangan mereka yang lebih mengutamakan kekerapan bermain berbanding memanaskan bangku simpanan. Syaratnya, asalkan persatuan boleh memberi gaji tepat pada waktunya, menjaga kebajikan pemain seperti yang dipersetujui di dalam kontrak, saya percaya tahap kompetitif liga masih boleh dikekalkan. Pada masa yang sama juga, persatuan juga harus berusaha untuk meningkatkan lagi pengurusan profesional supaya meningkatkan lagi daya saing dalam liga tempatan. Seperti juga dalam perniagaan, apabila sesuatu perusahaan IKS (Industri Kecil & Sederhana) ingin bersaing dengan syarikat multinasional, ia juga perlu mengubah statusnya dengan perancangan yang lebih besar dan usaha yang lebih kuat. Selagi mana persatuan terus berada dalam zon selesa, selagi itulah persatuan tidak akan berkembang dan terus mencari alasan untuk menutup kepincangannya.  Maaf Tan Sri, it is just my two cents.

Mungkin ada suara-suara sinis yang menyatakan bahawa mutu permainan yang ditonjolkan pemain adalah tidak setimpal dengan bayaran yang diminta, bagi saya perkara itu adalah subjektif. Ia terpulang kepada pengurusan masing-masing untuk membuat penilaian tersebut kerana kalianlah yang menentukan kewajaran kalian mengeluarkan wang yang besar untuk membiayai mereka. Cuma perkara yang saya ingin tekankan di sini, dalam kemelut isu keingkaran kontrak dan tunggakan gaji, menjadikan pemain sebagai ‘kambing hitam’ adalah tindakan yang tidak wajar. Di peringkat antarabangsa, FIFPro (Kesatuan Pemain Bolasepak Dunia) telah menyarankan agar pindaan dibuat terhadap Artikel 17 dalam Peraturan FIFA terhadap Status dan Pemidahan Pemain bagi memastikan majikan (persatuan) menghormati kontrak yang dibuat tanpa sewenang-wenangnya menjejaskan kebajikan pemain. Semoga ia menjadi sebuah realiti di Malaysia juga bagi mengubati ‘penyakit misteri’ ini.

Hakikatnya, inilah gambaran realiti yang masih bersisa dalam kancah liga profesional Malaysia.

Izham Ismail
Ketua Pegawai Eksekutif
PFA Malaysia

 

Building the Game