Supporting the Players, Building the Game

Harian Metro: Jangan tindas pemain. PFAM mahu FAM selesai 8 kes tuntutan gaji pemain

JanganTindas

Kuala Lumpur: Persatuan Pemain Profesional Malaysia (PFAM) menggesa Jawatankuasa Status Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bertindak lebih serius dalam menangani masalah tuntutan gaji pemain.

Menurut PFAM, sehingga kini ada lapan kes yang masih belum diuruskan jawatankuasa berkenaan walaupun aduan dan afidavit diserahkan Jun lalu.

“PFAM membuat aduan rasmi kelewatan keputusan kes menerusi surat pada 10 Ogos lalu dan masih belum menerima maklum balas Jawatankuasa Status FAM.

“Kami kesal kerana kelewatan berlaku itu satu penindasan kepada hak pemain yang terpaksa mencari alternatif lain dalam meneruskan hidup sementara menunggu keputusan,” jelas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PFAM Izham Ismail menerusi satu kenyataan.

Antara lapan kes yang dibangkitkan PFAM adalah kes tunggakan gaji pemain Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan pemain Kelantan Jonathan McKain, kes penamatan kontrak Azrul Ahmad (FELDA United), permohonan alasan keputusan Anis Faron (Johor DT II) dan tunggakan bayaran pampasan Yoganathan Munusany (Sabah).

“PFAM amat mengharapkan Jawatankuasa Status mengambil serius dan segera mengambil tindakan atau inisiatif untuk menyelesaikan kes tertunggak demi kebajikan pemain.

“PFAM menghormati Jawatankuasa Status sebagai satu pihak yang sah untuk menyelesaikan kes berhubung status kontrak ini dan kenyataan ini dikeluarkan selepas segala bentuk saluran sudah digunakan bagi mempercepatkan keputusan kes, tapi masih tiada perkembangan positif daripada Jawatankuasa Status,” jelasnya.

Menurut Izham, kenyataan berkenaan dikeluarkan bagi mengangkat profesionalisme demi kepentingan bersama.

 

See more at: http://www.hmetro.com.my/node/93924#sthash.rZxwbEAh.dpuf

 

 

 

Building the Game