Supporting the Players, Building the Game

Isu Liverpool: Nilai Lambang Di Dada

Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin kepada semua pencinta bolasepak negara. Doa saya kepada kalian agar Syawal kali ini menjadi lebih bermakna dan disambut dengan penuh rasa kesyukuran.

Namun begitu, warna sambutan Syawal kita kali ini sedikit terpalit dengan isu perlawanan yang membabitkan Skuad Pilihan Malaysia menentang pasukan Liverpool. PFAM tidak mahu menyentuh secara terperinci tentang keperluan perlawanan ini kerana ia merupakan hak FAM untuk menganjurkan, tetapi fokus PFAM lebih menjurus terhadap tindakan FAM yang bakal menghukum Selangor FA kerana tidak melepaskan tiga pemain mereka ke kem latihan skuad pilihan Malaysia.

Isu ini bermula apabila tiga pemain Selangor FA iaitu Robert Cornthwaite, Afiq Azmi serta Hazwan Bakri tidak diberikan pelepasan oleh pengurusan Selangor FA seperti yang dinyatakan sendiri oleh pengurus pasukan, YB Amiruddin Saari. Rentetan dari keputusan tersebut, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah mengeluarkan kenyataan bahawa pihak Selangor FA telah melanggar Peraturan Perpindahan dan Status Pemain Liga M dan boleh didenda sebanyak RM 50,000 kerana tidak melepaskan pemain mereka bagi menyertai kem latihan skuad pilihan Malaysia. Maka, disinilah wujudnya polemik dan perdebatan antara pemegang-pemegang taruh bolasepak Malaysia samada wujud kewajaran atau tidak berkenaan kenyataan yang dibuat oleh FAM. Oleh hal yang demikian, PFAM ingin menjelaskan kepada pembaca situasi ini dari aspek perundangan dan juga pendirian PFAM terhadap isu ini.

Pertama, dari aspek perundangan berkenaan kewajipan pasukan kelab untuk melepaskan pemain bagi menyertai perlawanan antarabangsa. Bagi membolehkan setiap pasukan kelab melepaskan pemain mereka, ada 2 ‘ujian’ yang harus dilepasi iaitu:

  1. Samada perlawanan tersebut merupakan sebuah “Perlawanan Antarabangsa”; dan
  2. Samada perlawanan tersebut berada dalam kalendar FIFA.

Untuk menjawab ‘ujian’ (i), PFAM ingin merujuk kepada Artikel 1 Lampiran 1 Peraturan Perpindahan Dan Status Pemain FAM mengenai Pelepasan Pemain Untuk Mewakili Negara bagi mengetahui makna sesebuah “Perlawanan Antarabangsa” iaitu :

Setiap Pasukan diwajibkan untuk melepaskan Pemain berdaftar mereka bagi mewakili Skuad Kebangsaan jika dipanggil oleh FAM untuk bermain di perlawanan Antarabangsa di antara Pasukan Malaysia dan Pasukan Kebangsaan dari Negara lain.

Daripada artikel ini sudah jelas menyatakan perlawanan antarabangsa hanya melibatkan perlawanan antara dua pasukan kebangsaan.

‘Ujian’ (ii) hanya akan terpakai apabila ‘ujian’ (i) dipenuhi dimana kegagalan memenuhi tuntutan ‘ujian’ (i) sudah cukup untuk Selangor tidak memenuhi tuntutan panggilan tersebut. Sekiranya ‘ujian’ (i) berjaya dipenuhi, ‘ujian’ (ii) juga perlu mengambilkira sama ada perlawanan tersebut di dalam kalendar FIFA atau tidak. Tuntutan panggilan hanya berjaya sepenuhnya apabila kedua-dua ujian telah dipenuhi. Akhirnya, Artikel 3 Lampiran 1 Peraturan Perpindahan Dan Status Pemain FAM akan terpakai dimana artikel ini menyebut :

Pelepasan Pemain adalah tidak wajib untuk perlawanan yang dijadualkan pada tarikh yang tidak disenaraikan dalam kalendar perlawanan Antarabangsa FAM.

Oleh itu, PFAM melihat betapa kenyataan FAM yang bakal mengenakan tindakan terhadap pasukan Selangor FA adalah tidak betul kerana bertentangan dengan peraturan yang digubal oleh FAM sendiri iaitu di bawah Artikel 1 dan Artikel 2 Lampiran 1 Peraturan Pemindahan Dan Status Pemain FAM.

Untuk memahami dengan lebih mendalam, PFAM ingin merujuk kepada kes-kes yang telah diputuskan di peringkat antarabangsa. Kes yang terbabit adalah antara FIFA dengan tiga kelab utama eropah iaitu Barcelona, Werder Bremen dan Schalke 04 dalam Mahkamah Timbangtara Sukan pada tahun 2008. Kes ini berkenaan dengan pelepasan tiga pemain bolasepak antarabangsa untuk mewakili negara mereka bagi Sukan Olimpik 2008 di Beijing. Pemain yang terlibat ialah Lionel Messi (Argentina) dari Barcelona, Rafinha (Brazil) dari Schalke 04 dan  Diego (Brazil) dari Werder Bremen. Pada mulanya, Jawatankuasa Status Pemain FIFA telah mengeluarkan satu keputusan menyatakan bahawa Sukan Olimpik merupakan satu perlawanan antarbangsa dan kelab-kelab yang terlibat wajib untuk melepaskan pemain mereka untuk beraksi di Sukan Olimpik. Tetapi apabila tiga kelab ini melakukan rayuan di Mahkamah Timbangtara Sukan Dunia (CAS), Mahkamah memutuskan bahawa kelab-kelab yang terlibat tidak wajib untuk melepaskan pemain mereka ke Sukan Olimpik kerana ia bukan berada di bawah definisi “Perlawanan Antarabangsa” dan keputusan yang telah dilakukan oleh Jawatankuasa Status Pemain FIFA ditolak serta merta.

Mengikut perkara yang tertakhluk di bawah Artikel 1 Lampiran 1 Peraturan Perpindahan dan Status Pemain FIFA, pelepasan pemain untuk mewakili negara hanya boleh diwajibkan jika perlawanan tersebut tersenarai di dalam kalendar perlawanan antarabangsa FIFA dan seharusnya sudah ada keputusan yang dibuat oleh Jawatan Eksekutif FIFA yang mewajibkan sesuatu perlawanan tersebut. Merujuk kembali kepada kes Olimpik 2008 tersebut, mahkamah telah mendapati kejohanan Olimpik itu sendiri tidak tersenarai di dalam kalendar perlawanan antarabangsa FIFA dan tiada sebarang keputusan khusus oleh Jawatankuasa Eksekutif FIFA yang mewajibkan kelab-kelab untuk melepaskan pemain mereka untuk beraksi di kejohanan ini. Isu yang sama berbangkit dalam hal ini, di mana perlawanan antara Skuad Pilihan Malaysia menentang Liverpool sudah tentunya tidak tersenarai secara langsung di dalam kalendar perlawanan antarabangsa FIFA, menjadikan perlawanan ini hanya sekadar perlawanan pertunjukan khususnya untuk peminat-peminat kelab Liverpool di negara ini.

Dengan penuh hormat, PFAM beranggapan FAM tidak seharusnya mendefinisikan perlawanan pertunjukan ini sebagai sebuah perlawanan antarabangsa yang memerlukan pemain-pemain yang terpilih wajib untuk melaporkan diri di dalam Skuad Pilihan Malaysia, sekaligus mewajibkan juga pasukan kelab atau negeri mereka untuk melepaskan pemain-pemain tersebut bagi beraksi dalam perlawanan tersebut.

Kedua, PFAM ingin membangkitkan berkenaan isu risiko–risiko yang bakal dihadapi oleh pasukan kelab atau negeri sekiranya melepaskan pemain mereka ke perlawanan pertunjukan ini. Dengan merujuk kepada Artikel 2 Lampiran 1 Peraturan Perpindahan dan Status Pemain FIFA, pemain-pemain yang mewakili negara mereka dalam perlawanan antarabangsa hanya akan  dibayar dengan kos perjalanan tetapi tidak bagi ganti rugi yang lain seperi kecederaan dan elaun-elaun yang lain. Jika pemain mengalami kecederaan dan sebagainya, kos rawatan pemulihan semuanya perlu ditanggung oleh kelab pemain itu sendiri. Hanya dalam Kejohanan Piala Dunia FIFA, kelab akan dibayar ganti rugi oleh FIFA sekiranya pemain mereka mengalami kecederaan semasa bermain di dalam kejohanan tersebut dibawah Program Perlindungan Kelab FIFA.

Untuk berlaku adil, melihat dari sudut perspektif pasukan Selangor FA, perkara inilah yang menjadi kebimbangan kepada pasukan Selangor FA. Memandangkan keperluan yang mendesak bagi mengharungi cabaran Liga Super, adalah menjadi suatu pengharapan yang tinggi untuk pasukan Selangor FA memastikan para pemainnya berada dalam kecergasan yang terbaik. Oleh hal yang demikian, berdasarkan kekhuatiran yang berasas, disamping status perlawanan “Pilihan Malaysia v Liverpool” sebagai hanya perlawanan pertunjukan, Selangor FA tidak melepaskan 3 pemainnya dan bagi PFAM, ia merupakan hak yang dinyatakan secara jelas dalam undang-undang.  

Kesimpulannya, artikel ini dibuat bukan bertujuan untuk menentang FAM, tetapi ia adalah sebahagian dari nilai profesionalisme yang ingin disuburkan dalam kancah bolasepak Malaysia. PFAM percaya FAM masih merupakan sebuah badan yang tertinggi dalam mentadbir bolasepak Malaysia, namun ada masanya FAM juga memerlukan “check and balance” bagi memastikan integriti dan kredibiliti FAM dapat dijaga.

Bolasepak ini milik kita, Jalur Gemilang yang terpasak di dada para pemain adalah maruah kita, dan penyatuan yang kita zahirkan ini adalah bukti rasa cinta kita kepada bolasepak Malaysia kerana selamanya, DEMI MALAYSIA!

Akhir kata, buat pemain bolasepak profesional di Malaysia, You’ll Never Walk Alone. 

 

Izham Ismail

Ketua Pegawai Eksekutif

PFA Malaysia

Building the Game