Supporting the Players, Building the Game

Jawatankuasa Status FAM Perlu Bertindak Untuk Kekal Relevan

Tunggakan2

Persatuan Pemain-Pemain Profesional Malaysia (PFAM) ingin membawa perhatian Jawatankuasa Status FAM berhubung kelewatan pengurusan kes para pemain yang masih tidak mendapat sebarang respon daripada Jawatankuasa Status FAM.

Pada 18 November 2015, PFAM telah pun membuat kenyataan media berhubung 8 kes pemain yang masih belum didengari oleh Jawatankuasa Status FAM sekalipun segala aduan dan affidavit telah pun diserahkan pada bulan Jun 2015. 

Dukacitanya, perkara ini amat dikesali apabila PFAM melihat Jawatankuasa Status FAM seolah-olah tidak mengambil serius kenyataan yang dibuat oleh PFAM dan lebih malang, tidak mengambil serius berkenaan hal kebajikan dan hak para pemain yang telah lama dinafikan oleh majikan. Sesungguhnya, perkara ini ternyata menyongsang dengan semangat kesukanan dan profesionalisme yang ingin dijelmakan menerusi penyelesaian kes dalam pertelingkahan sukan.

PFAM amat mengharapkan agar kes-kes pemain ini diselesaikan secara segera bagi membolehkan keadilan diletakkan pada tempatnya. PFAM turut ingin mencadangkan bahawa satu tempoh masa perlu diletakkan bagi memastikan Jawatankuasa Status FAM tidak mengambil masa yang terlalu lama untuk menyelesaikan sesuatu kes. Sekiranya Jawatankuasa Status FAM gagal untuk menyelesaikan dalam tempoh yang ditetapkan, PFAM berpendapat bahawa kes tersebut perlu dibawa dengan penubuhan National Dispute of Resolution Chamber di peringkat negara yang lebih adil dan bebas bagi membolehkan pemain membuat rayuan terus ke Dispute Resolution Chamber of FIFA. Bagi PFAM ini adalah situasi menang-menang iaitu kes pemain dapat didengar secara segera, manakala Jawatankuasa Status FAM tidak lagi terbeban dengan kes tertunggak.

PFAM menghormati Jawatankuasa Status FAM sebagai sebuah autoriti yang sah untuk menyelesaikan kes-kes berhubung status kontrak ini dan terus percaya bahawa Jawatankuasa Status FAM harus kekal relevan. Namun, sekiranya ada ruang untuk penambahbaikan, ia juga perlu dibuat demi kepentingan kita bersama. 

Berikut dilampirkan sekali lagi kes-kes yang masih tertunggak :

1) Kes penamatan kontrak Farouk Hashim (Kuala Lumpur)

2) Kes penamatan kontrak Fariss Azlan (Kuala Lumpur)

3) Kes penamatan kontrak Fazilidin Khalid (Kuala Lumpur)

4) Kes penamatan kontrak Azrul Ahmad (Felda United)

5) Kes tunggakan bayaran pampasan Yoganathan Munusamy (Sabah)

6) Permohonan alasan keputusan Anis Faron (JDT II)

7) Kes tunggakan bayaran pemain ATM

8) Kes tunggakan gaji Jonathan McKain (Kelantan)

 

Izham Ismail

Ketua Pegawai Eksekutif 

PFA Malaysia

 

Building the Game