Supporting the Players, Building the Game

Jerebu & Bolasepak: Kenyataan PFAM Mengenai Isu Jerebu & Cadangan Kepada FAM

Jerebu               Ketika ini, negara Malaysia sedang dilanda oleh keadaan jerebu yang amat membimbangkan. Keadaan berjerebu yang dikatakan berpunca dari negara Indonesia telah melanda negara dalam tempoh sudah lebih dari dua minggu. Lantaran keadaan berjerebu ini, banyak aktiviti yang terjejas termasuklah saingan Piala Malaysia yang sedang berlangsung ketika ini.

            Umum mengetahui bahawa keadaan berjerebu boleh memberi kesan kepada kesihatan. Berdasarkan standard yang ditetapkan oleh Jabatan Meteorologi, Pusat Kaji Cuaca Nasional, mana-mana kawasan yang mempunyai bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang melebih 100 adalah kawasan yang dikategorikan sebagai Tidak Sihat. Oleh hal yang demikian, mana-mana aktiviti luar yang telah dijadualkan di kawasan yang sudah melebihi paras Tidak Sihat adalah tidak digalakkan dan dinasihatkan untuk dibatalkan.

            Dalam konteks bolasepak, keadaan berjerebu ini turut memberi kesan kepada pemain bolasepak. Dari aspek kesihatan, keadaan berjerebu ini akan membuatkan para pemain terdedah kepada risiko mengalami “stress haba”. Pendedahan kepada asap jerebu yang berbahang dan cuaca lembap (humid) yang keterlaluan semasa menjalankan aktiviti bersukan boleh mengakibatkan perkara ini. Kehilangan haba badan melalui proses perpeluhan boleh terjejas sekiranya kelembapan udara persekitaran adalah tinggi (65-75%).  Oleh kerana udara persekitaran lembap peluh tidak dapat disejatkan. Hal ini akan menyebabkan seseorang pemain mengalami kekejangan otot (biasanya berlaku di otot betis dan abdomen akibat stres haba), kehilangan air berlebihan yang boleh mengakibatkan seseorang itu rebah, peluh tidak berhenti, pucat, pening, loya serta denyutan nadi yang laju dan juga strok haba yang boleh mendatangkan gangguan serius pada sistem saraf hingga membawa maut. Di samping itu juga, pernafasan para pemain turut akan terjejas kerana perlu bernafas dalam tempo yang tinggi serta terdedah terhadap udara yang tidak bersih.

            Menurut Peraturan Keselamatan dan Kawalan Stadium FIFA, telah dinyatakan secara umum di Perkara 4.4(h) yang mana menyatakan bahawa pihak penganjur perlawanan perlu memenuhi piawaian kesihatan tempat kerja yang ditetapkan oleh sesuatu negara. PFAM beranggapan bahawa peruntukkan ini haruslah turut terpakai terhadap keadaan berjerebu jika melihat dari konteks bolasepak di Malaysia. Ini bermakna, sekiranya pihak berkuasa negeri atau negara mengeluarkan sebarang arahan untuk meminda sesuatu perlawanan, penganjur perlawanan WAJIB untuk mematuhinya demi keselamatan dan kesihatan para pemain. Di sini juga, PFAM ingin mengucapkan terima kasih kepada FAM yang telah bertindak bijak dengan meminda tarikh perlawanan antara JDTII dan Kedah disebabkan faktor jerebu. PFAM berharap agar perkara ini akan diambil serius oleh pihak FAM dalam meniti jadual perlawanan mendatang.

PFAM juga mengharapkan agar FAM sentiasa meletakkan faktor kesihatan dan keselamatan para pemain sebagai keutamaan. Hakikatnya, ia bukan sahaja melibatkan para pemain semata-mata, malah turut melibatkan pihak pengurusan pasukan, pegawai perlawanan, pengadil dan juga penonton. Adalah penting untuk FAM mengambil serius akan hal ini bagi mengelakkan kemudaratan yang lebih besar di masa hadapan. Dari aspek komersial pula, PFAM juga khuatir, sekiranya perlawanan masih diteruskan dalam keadaan berjerebu ini, ia akan memberi kesan negatif kepada jumlah kehadiran penonton ke stadium dan sekaligus merencatkan kemeriahan Piala Malaysia tahun ini.

            PFAM ingin menasihatkan kepada para pemain untuk minum air secukupnya bagi mengelakkan kadar dehidrasi yang tinggi. Saranan ini turut diberikan kepada setiap pengurusan pasukan negeri dan kelab bagi memastikan para pemain mendapat tahap penjagaan kesihatan yang sewajarnya.

             PFAM juga menyarankan agar FAM mengeluarkan Garis Panduan bagi berhadapan dengan situasi jerebu untuk dijadikan rujukan oleh semua pasukan-pasukan bolasepak di Malaysia terutamanya terhadap pasukan yang masih bersaing dalam saingan Piala Malaysia. Di kesempatan ini juga, PFAM turut menyediakan Garis Panduan PFAM Menangani Jerebu untuk dijadikan rujukan oleh semua pemain dan pegawai pasukan. Semoga memberi manfaat kepada semua.


CADANGAN GARIS PANDUAN MENANGANI JEREBU

  1. Merujuk bacaan IPU bagi setiap ibu negeri di Malaysia dan lokasi stadium dan padang latihan memandangkan ia menempatkan hampir semua pasukan bolasepak yang bersaing dalam liga Malaysia khususnya di saingan Piala Malaysia.
  2. Nilai IPU perlu sentiasa dikemaskini oleh pengurusan pasukan setiap hari dan dimaklumkan kepada barisan kejurulatihan dan para pemain.
  3. Tindakan yang boleh dilakukan oleh para pemain demi menjaga keselamatan dan kesihatan :
  1. Sentiasa berada di dalam bangunan;
  2. Menggunakan topeng pelindung mulut dan hidung apabila berada di luar bangunan;
  3. Mengurangkan akitviti di luar bangunan sekiranya tiada latihan;
  4. Minum banyak air (sekurang-kurangnya 3 liter air – lebih dari kadar pengambilan biasa)
  5. Memaklumkan kepada barisan kejurulatihan sekiranya mempunyai masalah kesihatan terutamanya dari aspek pernafasan dan minta dikecualikan daripada latihan;
  6. Mendapatkan rawatan sesegera mungkin sekiranya mengalami masalah kesihatan.
  1. Setiap pasukan haruslah menyediakan keperluan perubatan yang secukupnya pada setiap kali sesi latihan atau dalam mana-mana program yang dibuat di bawah seliaan pasukan.
  2. Setiap pasukan haruslah membuat pemeriksaan kesihatan para pemain dan barisan kejurulatihan pada sebelum dan selepas sesi latihan serta hari perlawanan.
  3. Setiap pasukan harus menyediakan ‘Standard Operation Procedure’ sendiri bagi berhadapan dengan situasi-situasi kecemasan berkenaan jerebu.
  4. Sekiranya bacaan IPU melepasi 200, adalah dinasihatkan agar segala sesi latihan luar dibatalkan demi keselamatan para pemain dan pegawai.

Izham Ismail

Ketua Pegawai Eksekutif

PFA Malaysia

 

 

Building the Game