Supporting the Players, Building the Game

Kekal Sihat Di Musim Panas

KekalSihatMusimPanas

Akhir-akhir ini, cuaca di Malaysia tidak menentu dengan mencatat suhu maksimum sehingga 39 darjah celcius. Cuaca panas ternyata memberi tekanan fizikal kepada tubuh badan manusia. Kesannya terhadap kesihatan adalah daripada tahap sederhana atau ‘mild’ kepada yang boleh menyebabkan maut sebagai contoh; strok haba.

Strok haba merupakan satu keadaan di mana paras suhu badan anda meningkat melebihi 40.5 darjah celcius (suhu normal badan manusia kira-kira 37.0 darjah celcius). Antara tanda-tanda awal strok haba adalah sakit kepala berdenyut, mual, kurang berpeluh walaupun berada dalam suhu panas, denyutan nadi yang pantas, otot lemah dan kejang, kulit kering dan kemerahan dan sawan serta pitam.

Secara asas, semua orang adalah berisiko menjadi mangsa cuaca panas. Antara gejala-gejala yang sering terjadi semasa cuaca panas melampau adalah seperti sakit kepala, keletihan, lemah tumpuan, pening, lemah atau kekejangan otot dan mual serta muntah. Lebih teruk lagi, cuaca panas melampau mampu menyebabkan dehidrasi, kekeliruan dan tidak sedarkan diri (koma).

Pun begitu, kesan ini dapat dikurangkan sekiranya anda mengamalkan perkara berikut:

  • Minum air kosong dengan banyak tanpa mengira tahap aktiviti fizikal yang dilakukan. JANGAN tunggu sehingga anda dahaga;
  • Minuman isotonic adalah digalakkan kerana ia boleh menggantikan garam dan mineral yang hilang semasa berpeluh;
  • Lebihkan masa di dalam rumah dan hadkan aktiviti luar;
  • Berehat secara kerap;
  • Mandi atau gunakan kipas angina untuk menyejukkan badan;
  • Pakai pakaian yang ringan, berwarna terang dan longgar;
  • Pakai topi atau payung yang besar;
  • Pakai losyen pelindung suria.

ELAKKAN perkara berikut :

  • Minum minuman yang mengandungi kafein, alkohol atau kandungan gula yang tinggi;
  • Membiarkan seseorang di dalam kereta yang tertutup tanpa pendingin hawa
  • Bersenam dalam cuaca yang panas.

Oleh yang demikian, PFAM ingin menasihati semua pihak terutama kumpulan yang lebih berisiko terdedah kepada cuaca panas yang melampau iaitu mereka yang terbabit dengan kegiatan aktiviti luar seperti buruh, peladang, ahli sukan, tentera, polis dan pihak-pihak kumpulan untuk mematuhi panduan yang telah diberikan. Ini bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku seperti strok haba. Kekal sihat di musim panas.

Eksekutif Pemasaran & Komunikasi

PFA Malaysia

 

 

Building the Game