Supporting the Players, Building the Game

Kenyataan Media PFAM Berhubung Isu Kontrak Gary Steven Robbat

KENYATAAN MEDIA PFAM BERHUBUNG ISU KONTRAK GARY STEVEN ROBBAT

 

Hari ini (Jumaat, 16/1/12015), Persatuan Pemain-Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) telah hadir bersama Gary Steven Robbat ke Wisma FAM berhubung isu kontrak beliau yang dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Status FAM. Pihak yang terlibat dalam mendapatkan status Gary ialah Kedah FA dan Johor Darul Takzim (JDT). Gary telah memberikan keterangan berkenaan perjalanan karier beliau dan telah menjawab soalan-soalan yang dikemukakan oleh Jawatankuasa Status.

Berhubung hubungan Gary bersama Kedah FA, Jawatankuasa telah memutuskan bahawa Kedah FA tidak mempunyai hak untuk mendapatkan khidmat Gary bagi sesi 2015. Ini berdasarkan peruntukkan yang telah diperuntukkan sendiri di dalam Perkara 4, Jadual C – Syarat-syarat Khas, Kontrak Pemain antara Gary dengan Harimau Muda. Peruntukkan tersebut menyatakan seperti berikut :

“4. Setelah pemain tamat perkhidmatan bersama dengan FAM, pemain ini perlu diserahkan kembali kepada ahli gabungan FAM dimana pemain tersebut mulakan karier sebagai pemain bolasepak. Jika terdapat sebarang pertikaian diantara ahli gabungan, maka segala keputusan akan ditentukan oleh pihak FAM”

Oleh kerana Gary memulakan karier beliau sebagai pemain bolasepak bersama skuad Harimau Muda C, maka Kedah FA tidak mempunyai hak ke atas Gary apabila Gary menamatkan kontrak beliau bersama Harimau Muda. Memandangkan Harimau Muda C adalah pasukan asal Gary, dan Gary sudah tidak layak mewakili Harimau Muda C atas faktor had umur, Gary telah diisytiharkan sebagai ‘agen bebas’ dan tidak dimiliki oleh mana-mana pasukan.

Berhubung hubungan Gary bersama JDT, Jawatankuasa Status telah memutuskan bahawa Gary telah bersalah kerana menandatangani kontrak bersama JDT sebelum tempoh beliau dilepaskan oleh pasukan Harimau Muda. Sehubungan itu, Gary telah dikenakan hukuman denda sebanyak RM50,000 dan digantung selama 3 bulan bermula dari tarikh beliau diputuskan bersalah (Jumaat, 16/1/2015).

PFAM menghormati keputusan yang telah diberikan oleh Jawatankusa Status FAM berhubung isu ini. PFAM juga mengharapkan agar semua pihak maklum akan hal ini dan turut sama menghormati keputusan ini. Semoga keputusan ini menjadi tauladan buat semua pihak dalam memahami isi kandungan kontrak.

PFAM juga mendapat reaksi media selepas keputusan Jawatankuasa Status FAM dibuat dan saya mewakili pihak PFAM memohon maaf tindakan selepas keputusan menyinggung pihak media. Bukan niat PFAM untuk menghalang Gary dari memberi kenyataan kepada media dan menafikan hak bersuara Gary, tetapi PFAM menghormati Gary yang bergegas pulang ke Johor Baru. PFAM tidak berniat bermusuhan dengan pihak media apatah lagi bersifat angkuh dalam setiap tindakan kami. Kami akan belajar dari kejadian ini dan perbaiki tingkah laku dan tindakan kami. Maaf.

 

Izham Ismail

Ketua Pegawai Eksekutif

PFA Malaysia

Building the Game