Supporting the Players, Building the Game

KENYATAAN MEDIA PFAM MENGENAI ANUGERAH PEMAIN TERBAIK LIGA PREMIER BULANAN PFAM – asiana.my EDISI JULAI 2016

03

Kapten Pasukan Melaka United, Ilija Spasojević dipilih sebagai penerima anugerah pemain terbaik liga permier bulanan anjuran Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) untuk bulan Julai 2016. Anugerah itu disampaikan oleh Pengurus Pasukan Melaka United Soccer Association – MUSA, Datuk Mohd Yusoff Mahadi pada majis yang diadakan di Stadium Hang Jebat malam tadi. Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif PFAM, Izham Ismail serta wakil dari Asiana.my dan 139associates.

Anugerah Pemain Terbaik Bulanan PFAM – asiana.my ini dikelolakan oleh Persatuan Pemain-pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) dengan kerjasama All Sports Images and News Agency (asiana.my) dan 139associates sebagai rakan penaja utama . Anugerah ini adalah satu pengiktirafan kepada pemain-pemain bolasepak profesional daripada PFAM.

Lebih menarik anugerah yang juga pertama kali diperkenalkan terbabit di nobatkan kepada kapten pasukan MU itu, yang kini meledak 22 gol sekaligus mendahului senarai penjaring terbanyak liga setakat perlawanan ke -17 musim ini.

Pengurus pasukan Melaka United (MU), Datuk Wira Mohd Yusoff  Mahadi berkata,  kejayaan pemain yang dikenali sebagai Spasogoal ketika penyertaannya bersama kelab lamanya, Persib Bandung di Liga Indonesia berkenaan juga pemangkin usaha pasukan untuk muncul sebagai juara Liga Premier musim ini.

Beliau yang mewakili pengurusan Melaka United (MU) mengucapkan tahniah dan syabas kepada pemain importnya dari Montenegro  Ilija Spasojević yang dianugerahkan sebagai pemain terbaik bulanan Liga Premier bagi bulan Julai.

Katanya, penganugerahan berkenaan juga diharap menjadi pentas keyakinan lebih tinggi kepada pemain itu untuk memastikan misi MU layak ke Liga Super 2017 mampu menjadi kenyataan.
 

04
Menurutnya, ianya juga sebagai suntikan motivasi kepada kesemua pemain MU untuk terus menyerlah dan memberikan persembahan lebih berkualiti sepanjang pembabitan mereka bersama pasukan.
 
Baginya, MU bertuah berikutan membuat pilihan tepat menyenaraikan pemain berusia 29 tahun itu membarisi skuad MU musim ini, berikutan Spasogoal sudah membuktikan kelibatnya dalam saingan liga Malaysia ini amat berbaloi buat pasukan.
 
Malah Spasogoal juga diharap terus membentuk gabungan mantap bersama rakan sepasukan untuk meletakkan MU setanding skuad elit  di Malaysia dalam masa sama membimbing pemain muda berbakat untuk diketengahkan keperingkat yang lebih tinggi pada masa depan.

Sesi pemilihan dibuat melalui panel pemilih PFAM – Asiana.my yang terdiri daripada pengamal media yang memilih dan menyenarai pendek lima calon setiap bulan dan undian akan dibuka kepada seluruh peminat bola sepak di Malaysia.

Spasogoal menerima undian tertinggi sebanyak 50% mengalahkan empat calon lain iaitu Mohd Zaquan Adha (Johor DT II – 35%), Rafael Bonfim  (Johor DT II – 8%), Yashir Pinto (Melaka United – 5%) dan Gabriel Miguel Guerra (PKNS FC- 2%).

Beliau menerima hadiah trofi sumbangan Komuniti Ekonomi dan Sosial Rukun Tetangga Integrasi Nasional (KENAL), wang tunai RM500 sumbangan 139associates dan gambar beserta bingkai pemain sumbangan Asiana.my
 
Para pengundi boleh membuat undian melalui desktop, laptop, telefon pintar, atau tablet dan boleh menggunakan semua jenis pelayar (browser) melalui laman web rasmi PFAM iaitu www.pfam.my.

Undian ini akan dibuka selama sepuluh hari untuk peminat-peminat bolasepak mengundi calon kegemaran mereka. Semoga anugerah ini dapat menjadi pendorong kepada pemain untuk lebih bersungguh-sungguh untuk meningkatkan prestasi mereka.

Building the Game