Supporting the Players, Building the Game

Kenyataan PFAM Berhubung Isu Kontrak Mohd Azrif Nasrulhaq

PFAM mengambil pendekatan secara objektif berkenaan isu perpindahan Azrif Nasrulhaq yang melibatkan dua pasukan Liga Super 2016 iaitu Selangor dan JDT.

PFAM berpendirian bahawa prinsip asas harus diletakkan sebagai keutamaan iaitu kontrak perlu difahami, dipatuhi dan dihormati. Berdasarkan peraturan, seorang pemain tidak boleh mempunyai dua kontrak pada waktu yang sama dan sesebuah pasukan hanya boleh berunding secara terus dengan pemain pada tempoh 3 bulan terakhir kontrak seseorang pemain. Melainkan pada tempoh yang dinyatakan, mana-mana pasukan yang berminat untuk mendapatkan pemain daripada pasukan lain, rundingan harus terus dibuat antara kedua-dua pasukan (dalam kes ini, antara JDT dan Selangor). 

Keterbukaan JDT untuk menerima nasihat PFAM mengenai permasalahan ini amat dihormati oleh PFAM. Tindakan balas dan penjelasan yang dibuat oleh pasukan JDT mengenai isu ini dan penerimaan pasukan Selangor juga wajar diberikan pujian bagi memastikan isu ini tidak melarat ke tahap yang lebih kritikal. Inilah nilai profesionalisme yang ditonjolkan oleh kedua-dua pasukan dan ia wajar dijadikan panduan oleh pasukan-pasukan lain.

Tindakan kedua-dua pasukan ini untuk menyelesaikan isu ini tanpa ke Jawatankuasa Status FAM secara tidak langsung turut menyelamatkan karier Azrif dari dikenakan hukuman atas kesalahan menandatangani dua kontrak. PFAM berharap agar perkara ini dijadikan teladan oleh semua dan tidak berulang di masa hadapan.

Pesanan PFAM buat semua pemain, adalah menjadi perkara yang amat penting untuk pemain benar-benar memahami dan mematuhi kontrak yang mereka tandatangani. Pemain perlu mengambil serius dalam hal ini kerana sekiranya tersilap langkah, ia akan membawa kemudaratan yang lebih besar. 

PFAM bersedia untuk membantu mana-mana pemain untuk lebih memahami isi kandungan kontrak supaya perkara sebegini tidak berulang kerana ia pastinya akan menjejaskan nilai profesionalisme dalam karier seorang pemain bolasepak.

Izham Ismail

CEO PFA Malaysia

Building the Game