Supporting the Players, Building the Game

KENYATAAN PRESIDEN PFA MALAYSIA, HAIRUDDIN OMAR MENGENAI PERANAN PFAM DAN ISU HAK PEMAIN

kenyataan-balas-02_web

KENYATAAN PRESIDEN PFA MALAYSIA, HAIRUDDIN OMAR MENGENAI PERANAN PFAM DAN ISU HAK PEMAIN

1. Salam buat semua pencinta bolasepak tanahair, yang terus setia bersama menyokong jatuh bangun bolasepak Malaysia.

2. Tahun 2016 bakal melabuhkan tirainya, bersama pelbagai kisah suka duka bolasepak kita. Pun begitu, tatkala kita sedang merangka halatuju 2017 (yang sebenarnya pun masih kabur), kita sekali lagi – yang seakan lumrah, dibentangkan kes-kes yang tak lekang dek panas, tak lapuk dek hujan seperti isu tunggakan gaji, ketidakpatuhan  kontrak, masalah kewangan dan seterusnya.

3. Lebih menyedihkan, adalah berlakunya ugutan-ugutan beberapa pasukan besar yang mengancam untuk menarik diri dari kancah saingan musim hadapan sekiranya tidak menerima sumber kewangan yang mencukupi.

4. Sebagai sebuah persatuan pemain, kami sememangnya mengambil serius akan hal ini. Kami melihat isu ini dari sudut para pemain, yang sememangnya merupakan penerima kesan terbesar apabila perkara-perkara sebegini terjadi. Atas sebab itulah, saya agak kecewa dengan kenyataan Tan Sri Anuar Musa (TSAM) yang mempersoalkan tindakan kami memperjuangkan hak para pemain dengan menyatakan bahawa hal persatuan adalah bukan hal kami.

5. Bagi makluman TSAM, secara profesionalnya, PFAM tidak pernah langsung mencampuri urusan pengurusan sesebuah persatuan, kerana kami hormat tentang 'kedaulatan' setiap persatuan. Namun, PFAM hanya akan terlibat, apabila ada menerima laporan daripada para pemain (ahli PFAM), yang meminta bantuan kami bagi menyelesaikan permasalahan mereka. Segala usaha telah kami lakukan, namun masih menemui jalan buntu dan persatuan seolah-olah tidak serius dalam usaha menyelesaikan masalah gaji ini, dan perkara ini yang amat mengecewakan kami lantas ia tidak memcerminkan sikap profesional persatuan.

6. Mengapa PFAM katakan begitu? Kerana kami melihat pasukan-pasukan yang terus berhutang dengan para pemain ini, masih ligat merekrut pemain-pemain baru bagi mempersiapkan diri bagi saingan musim hadapan. Ia ternyata ironi dengan jawapan yang selalu diberikan oleh pasukan apabila diminta penjelasan oleh kami iaitu tidak mempunyai dana, menunggu duit penaja dan lain-lain. Ia juga sangat ironi dengan kenyataan TSAM yang berbunyi, "pasukan mana yang tak mahu bayar gaji pemain". Hal ini yang tidak mencerminkan tahap profesional mereka, juga tidak mencerminkan pun rasa tanggungjawab mereka untuk menjaga kebajikan para pemain yang telah bertungkus lumus berjuang untuk pasukan sepanjang musim.

7. Bilamana TSAM turut mempersoalkan tugas PFAM untuk meningkatkan daya profesionalisme para ahlinya, saya sekali lagi kecewa apabila TSAM cuba bermain "blame-game", berbanding menjawab isu pokok. Sepanjang PFAM beroperasi, telah banyak usaha yang kami lakukan dalam usaha meningkatkan tahap profesionalisme para ahli, dan sebagai pemain yang telah hampir 20 tahun bermain dalam liga bolasepak Malaysia, saya berani katakan bahawa mentaliti profesionalisme para pemain kini sudah semakin baik. Sekalipun diakui masih ada para pemain yang bermasalah, namun ia adalah suatu proses berterusan dan PFAM akan terus komited dalam melaksanakan tugas kami.

8. Tapi sayangnya, profesionalisme dalam pengurusan pasukan, dilihat tidak selari dengan tempoh yang dikatakan BERPENGALAMAN dan MATANG. Persatuan masih berada di takuk lama, isu yang berlaku pula adalah isu yang berulang, malah ketika kita ke arah penswastaan liga, pasukan masih lagi belum bersedia untuk keluar dari "comfort zone" mereka. Akhirnya, yang menjadi mangsa, PEMAIN.

9. Pada pandangan saya, mungkin TSAM berasa 'panas' apabila kerap ditekan oleh PFAM sejak tahun lepas. Tapi itulah PFAM, kami akan terus memperjuangkan nasib dan kebajikan para pemain secara PROFESIONAL, tanpa melibatkan kepentingan emosi dan peribadi. Setiap kes dikendalikan secara objektif tanpa menerima pengaruh daripada sesiapa. PFAM juga, sebagai ahli gabungan FIFPro yang diiktiraf oleh FIFA, menjunjung prinsip yang diperjuangkan oleh FIFPro yang menjadi badan yang mewakili 65,000 pemain profesional di seluruh dunia. Kami sentiasa bergerak berlandaskan undang-undang dan menjunjung penuh prinsip profesionalisme dalam tindakan kami.

10. Selaku Presiden PFAM, saya juga ingin menyatakan sokongan penuh kepada Saudara Izham Ismail, CEO PFAM, yang telah menjalankan tugasnya dengan cemerlang dalam tempoh hanya 2 tahun setengah PFAM beroperasi. Apa yang dikatakan beliau, adalah perkara yang betul, dan itulah juga suara hati daripada kami semua, ahli PFAM. 

11. Pesanan saya, bolasepak mungkin dilihat hanya sebagai sukan pada kebanyakan orang, mungkin juga dilihat sebagai 'mileage' untuk individu-individu tertentu, tetapi walau apa pun niat dan pandangan anda semua tentang bolasepak, pada kami, pemain profesional, bolasepak adalah KEHIDUPAN kami. Inilah punca rezeki kami, punca rezeki keluarga kami, punca rezeki anak-anak kami, punca rezeki kelangsungan hidup kami. Dan pastinya, bila kehidupan kami terganggu, kami akan terus berjuang demi keadilan yang sepatutnya kami peroleh.

HAIRUDDIN OMAR,

PRESIDEN PFA MALAYSIA

 

 

Building the Game