Kisah 1 Mei

Cabaran itu nyawa. Kerana nyawa, manusia mengistilahkan perjalanan hidup mereka. Ramai yang mati akibat cabaran, tapi lebih ramai yang hidup 1000 tahun lagi kerana kepercayaan bertempur dengannya.

Begitulah fitrah dalam kehidupan seorang manusia, yang hidupnya berjuang dalam memaknakan kehidupan. Dalam rencah kehidupan, kita pasti akan melakukan perkara yang akan melangsungkan kehidupan kita – bekerja. Sama ada kita berkeja dalam dunia yang kita sukai atau sekadar mengikut rutin hakiki, ia tetap membawa dogma yang sama.

Dunia kini semakin dewasa. Begitu juga kehidupan selaku seorang pemain bolasepak profesional. Hari ini, bolasepak bukan lagi sekadar sukan dan minat, malah ia merupakan sebuah industri yang menuntut satu peradaban yang fundamental. Pemain bolasepak profesional kini adalah sebuah karier yang tidak boleh dipandang mudah lagi. Atas dasar itulah, perlindungan hak dan kebajikan harus diangkat seiring dengan status karier ini.

Kini, dalam diam, PFAM yang baharu sudahpun berusia 8 bulan. Jika dibandingkan dengan umur manusia, apalah sangat seorang bayi seusia ini mampu lakukan. Namun, di PFAM, tempoh ini benar-benar mematangkan. Hampir setiap hari PFAM ‘bertemu’ dengan isu-isu yang melibatkan pelanggaran hak dan kebajikan para pemain. Hampir setiap hari PFAM dicabar dan digasak oleh cabaran memperjuangkan hak pemain. Inilah yang menjadi cabaran besar kepada PFAM – untuk memastikan pemain dilindungi sepenuhnya sepertimana dalam pekerjaan yang lain.

Secara peribadi, saya percaya bahawa kunci untuk mengubah sesuatu perkara adalah dengan ilmu dan kesedaran. Dua elemen ini harus hadir secara berpakej, yang akhirnya akan membentuk sebuah kesatuan yang cukup utuh. Inilah yang diinginkan oleh PFAM untuk dijelmakan oleh setiap pemain. Pemain perlu sedar betapa mereka mempunyai hak yang diperuntukkan dalam undang-undang dan hak itu harus diperjuangkan walau apa pun caranya. Hanya dengan cara itu, barulah profesion ini akan dihormati seperti yang selayaknya.

Selama 8 bulan ini juga, banyak peristiwa yang boleh dijadikan teladan buat para pemain dan pasukan. Antaranya, isu melibatkan 12 orang pemain Perlis yang akhirnya mendapat keadilan yang sewajarnya setelah berjuang hamper 6 bulan untuk mendapatkan hak mereka yang telah dinafikan. Kes ini merupakan kemenangan moral yang sangat bermakna, bukan sahaja kepada pemain Perlis itu sendiri, bahkan juga buat profesion pemain bolasepak yang mahukan karier ini dihormati sebaiknya.

Semestinya peringatan kepada para pemain bahawa kalian bukanlah maksum kepada hukuman. Kes Gary Steven Robbat telah membuktikan betapa kita seperkara bahawa yang salah tetap salah, dan pemain perlu bersedia untuk menerima hukumannya. Lantas, untuk mengatasinya, ilmu pengetahuan haruslah dicari dan dihadam seeloknya.

Kendati pun begitu, kredit harus juga diberikan kepada para pemain bolasepak profesional Malaysia. PFAM berbangga, kini angin perubahan sudah mula bertiup dalam kalangan para pemain. Pemain kita sudah mula cakna akan hak mereka, sudah mula berani memperjuangkan hak mereka serta sentiasa dahaga untuk mendalami hak mereka. Alhamdulillah, dengan izin Allah, segala perancangan yang direncana oleh Presiden dan barisan Exco sudah mula menampakkan hasil. Semoga angin perubahan ini terus bertiup kencang dan tidak akan berhenti.

1 Mei merupakan tarikh yang cukup simbolik, suka saya untuk berkongsi cerita di sebaliknya. Tahukah kita, bahawa perjuangan untuk mendapatkan perlindungan pekerja bukannya semudah yang disangka. Banyak halangan yang terpaksa ditempuh dan kita seharusnya berterima kasih kepada gerakan seramai 200,000 orang pekerja US yang sanggup memboikot dengan mengosongkan premis pekerjaan demi perjuangan tempoh bekerja selama 8 jam sehari. Inilah bukti, sekiranya setiap daripada pemain bersatu dalam memperjuangkan hak mereka, isu-isu penindasan terhadap pemain pasti tidak akan berlaku. Atas dasar itulah, sekali lagi saya ingatkan, perjuangan PFAM bukanlah perjuangan saya, tetapi perjuangan para pemain sendiri. PFAM hidup bernadikan semangat pemain, PFAM hidup berdenyutkan iltizam pemain dan sekiranya PFAM ditakdirkan mati, biarlah ia mati dengan perjuangan bermaruah para pemain.

Buat para pemain, sedarlah, perjuangan kalian hari ini bakal menjadi sebuah legasi ikutan buat pembangunan bolasepak negara di masa hadapan. Sepertimana yang saya mulakan di awal tadi, cabaran itu nyawa, dan jangan sesekali kita biarkan tangan-tangan kotor mencarik nyawa kita.

Selamat Hari Pekerja 2015.

Izham Ismail
Ketua Pegawai Eksekutif
PFA Malaysia

Share this article:

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp