Supporting the Players, Building the Game

Kursus Kejurulatihan PFAM-NFDP-FAM

Kursus(Foto oleh Kamarul Akhir / asiana.my)

Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM), dengan kerjasama Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah menganjurkan kursus kejurulatihan Pra-C bertempat di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil bermula 21 Disember sehingga 24 Disember 2015.

Kursus disertai oleh 24 pemain bolasepak profesional yang masih bermain secara aktif di kancah Liga Super, Liga Perdana dan Liga FAM dan mereka semua juga merupakan ahli PFAM yang berdaftar. 

Kursus ini dianjurkan sebagai langkah awal dalam mempersiapkan pemain dengan ilmu pengetahuan dalam bidang kejurulatihan dan sebagai persiapan untuk pemain untuk menempuhi alam selepas bergelar pemain profesional. 

Antara pemain yang menyertai kursus ini ialah kapten Selangor FA, Shahrom Kalam yang menyifatkan kursus ini sangat penting untuk membuka minda pemain dalam bidang kejurulatihan selain penting dalam membina karakter seorang pemain. 

Kursus ini juga disertai oleh Abdulafees Salam, pemain import dari Nigeria yang berasa amat gembira dengan usaha PFAM memberi peluang dan pendedahan awal kepada semua pemain yang berminat menjadi jurulatih di masa hadapan.

Kursus yang berlangsung selama 4 hari ini dikendalikan oleh Ketua Pencarian Bakat NFDP, P. Ganasamurthy dan Pemangku Ketua Jabatan Kejurulatihan FAM yang juga bekas pemain bolasepak negara, Lim Chuan Chin. 

Majlis penutup kursus ini telah disempurnakan oleh Timbalan Presiden PFAM, Rezal Zambery Yahya dan dalam ucapannya menegaskan bahawa tanggungjawab sebagai kepimpinan PFAM untuk memastikan ahli PFAM mempunyai bekalan yang cukup apabila mereka bersara. Ini penting untuk memastikan kelangsungan hidup yang stabil dan kursus ini adalah kaedah paling ideal untuk semua ahli melengkapkan diri bagi berhadapan dengan keadaan pasca karier. 

Beliau juga menekankan visi PFAM untuk pemain bolasepak di bawah PFAM meneruskan legasi dan meneruskan bakti dalam bolasepak Malaysia di masa hadapan sebagai jurulatih. 

Ketua Pegawai Eksekutif PFAM, Izham Ismail berkata, PFAM akan terus komited untuk memberi platform kepada semua pemain untuk memajukan diri dalam apa jua bidang termasuk kejurulatihan dan program seumpama ini akan terus diadakan di masa hadapan.

 

Building the Game