Supporting the Players, Building the Game

PFAM, Asiana.my Berbuka Puasa Bersama Penghuni Asrama Darul Falah

main

Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) bersama-sama dengan Asiana.my serta organisasi NGO Kindness Malaysia pada Selasa lalu telah meraikan lebih 80 tetamu yang terdiri daripada anak-anak yatim, anak-anak saudara baru (mualaf) dan fakir miskin di Asrama Darul Falah (ASDAF) di Kuala Lumpur.

Ketua Pegawai Eksekutif PFAM, Saudara Izham Ismail berkata ini merupakan Ramadhan kedua PFAM terlibat dalam program kebajikan sebegini selepas Program Ziarah Ramadhan PFAM yang melibatkan 10 keluarga di Taman Maluri yang diadakan pada bulan Ramadhan pada tahun lepas. Beliau juga menzahirkan rasa syukur kerana PFAM sekali lagi diberi kesempatan untuk terus membantu golongan yang kurang bernasib baik.

"Hal ini merupakan kolaborasi antara PFAM, Asiana.my serta Kindness Malaysia dalam usaha meraikan anak-anak yatim, mualaf dan fakir miskin yang berada di ASDAF ini.

"Ia juga merupakan salah satu daripada tanggungjawab sosial dari pihak PFAM kepada masyarakat", katanya pada majlis tersebut.

Bagi pengetua ASDAF, Ustaz Sa'ari Bin Kiban, pihaknya mengucapkan terima kasih atas sumbangan dan perhatian yang diberikan oleh PFAM, Asiana.my dan Kindness Malaysia.

"Alhamdulillah, saya mewakili pihak ASDAF bersyukur dan berbesar hati dengan sumbangan yang diterima" jelas Ustaz Sa'ari.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Bendahari PFAM, Amirizdwan Taj Tajuddin, exco PFAM Mohd Fairuz Abdul Aziz serta para pemain dari pasukan AirAsia Allstars FC.

PFAM juga turut menyampaikan sumbangan duit raya kepada penghuni dan juga kakitangan ASDAF.

 

 

Building the Game