Supporting the Players, Building the Game

PFAM, TFC Jalin Kerjasama

TFC

Pada 13 Disember 2014, PFAM telah dijemput untuk menyerikan majlis pelancaran ‘TFC Privilege Program’ yang diadakan di Lot10 Shopping Mall. TFC yang merupakan sebuah syarikat jualan barangan sukan khususnya bolasepak telah sudi menjadi rakan penaja kepada pihak PFAM apabila telah bersetuju untuk memberikan Kad VIP kepada semua ahli PFAM. Ini bermakna setiap ahli PFAM bakal menikmati beberapa keisitmewaan apabila membuat pembelian di outlet TFC.

Majlis dimulakan dengan pengenalan mengenai TFC Privilege Program oleh pegawai pemasaran TFC iaitu Pam. Ting. Beliau menerangkan bahawa setiap pencinta bolasepak bakal mendapat faedah daripada program ini. Setiap pelanggan akan menikmati beberapa faedah seperti diskaun harijadi dan potongan harga bagi setiap pembelian barangan di setiap outlet TFC. Pemain bolasepak profesional juga tidak terkecuali dari mendapat kesistimewaan. Setiap ahli PFAM bakal mendapat Kad VIP daripada TFC kerana TFC merupakan rakan penaja kepada PFAM.

Pada majlis pelancaran juga, CEO PFAM, Izham Ismail telah memberikan penerangan kepada tetamu yang hadir berkenaan fungsi PFAM sebagai ‘representative’ buat pemain bolasepak profesional. Isu kepentingan profesionalisma dalam bolasepak juga disentuh oleh beliau demi memastikan bolasepak di Malaysia berada pada tahap yang lebih baik.

Timbalan Presiden PFAM iaitu Rezal Zambery Yahya dan dua ahli PFAM, saudara Rudie Ramli dan Fauzi Saari turut hadir bagi memeriahkan majlis. Mereka telah dijemput bagi berkongsi pengalaman mereka dalam kancah bolasepak tanah air. Mereka juga sempat memberi nasihat kepada bakal- bakal pemain bolasepak profesional dari Frenz United supaya melihat bolasepak sebagai suatu karier yang mempunyai masa depan yang cerah. Bolasepak hari ini bukan lagi seperti dizaman yang dahulu. Ia merupakan satu industri yang semakin berkembang maju.

Pihak PFAM berharap agar usaha murni pihak TFC dapat diteruskan pada masa hadapan dan dijadikan contoh oleh pihak lain. PFAM mempelawa mana-mana organisasi untuk menjadi rakan penaja kepada PFAM dalam usaha menjaga kebajikan pemain bolasepak profesional di Malaysia seterusnya membangunkan bolasepak Malaysia di mata dunia.

Tuan Muhammad Arief 

Eksekutif Pemasaran & Komunikasi

PFA Malaysia

 

Building the Game