Supporting the Players, Building the Game

Ramadhan dan Bolasepak

RamadanMari sama-sama kita membuka warkah  ini dengan meluahkan rasa syukur kerana dapat bertemu sekali lagi dengan bulan Ramadhan, bulan paling mulia buat penganut agama Islam. Mungkin pada pengamatan ramai pihak, kehadiran Ramadhan akan memperlahankan segala urusan kerja mahupun sesuatu produktiviti, namun ia tidak pernah merencatkan perkembangan liga bolasepak tempatan dengan adanya beberapa perlawanan yang menjadi tumpuan bagi semua pasukan. Walaubagaimanapun, baru-baru ini kita dihimpit isu yang tidak menyenangkan.

Presiden Persatuan Pemain Bolasepak Professional Malaysia (PFAM), Hairuddin Omar telah melahirkan rasa kesal apabila Jawatankuasa Pertandingan Liga tidak menitik beratkan isu keagamaan dalam menyusun jadual perlawanan liga Malaysia. Hal ini berlaku apabila masa perlawanan antara pasukan Angkatan Tentera Malaysia dengan Lion IX pada 20 Jun 2015 tidak dianjakkan dan dikekalkan pada jam 8.30 malam. Ini bermaksud pemain-pemain yang beragama Islam sukar bersedia untuk perlawanan kerana jarak masa dari waktu berbuka puasa sehingga waktu perlawanan hanyalah satu jam sahaja. Lantas pengendali ATM, Hamid Ramli sendiri menyatakan mungkin pemain mereka perlu minum air sahaja semasa berbuka untuk memastikan kecergasan mereka pada tahap yang tinggi.

Beliau juga kecewa apabila kita seolah-olaha tunduk dengan waktu yang ditetapkan oleh Singapura sedangkan kita sebagai penganjur mempunyai hak serta kuasa untuk mengarahkan mereka melewatkan perlawanan bagi memberi masa kepada pemain-pemain yang beragama Islam berbuka dan bersiap sedia dengan lebih rapi sebelum perlawanan. Namun perkara ini seperti di abaikan oleh Jawatankuasa Pertandingan tanpa memandang keadaan pemain yang sukar untuk fokus terhadap perlawanan yang bakal mereka hadapi.

PFAM percaya penekanan terhadap aspek agama merupakan salah satu elemen penting yang perlu dititikberatkan dalam kancah bola sepak tempatan. Seperti di peringkat antarbangsa, beberapa negara telah mengambil perhatian mengenai aspek agama dalam liga tempatan mereka. Sebagai contoh di England, Faith in Football Working Group telah ditubuhkan di bawah Persatuan Bolasepak England (FA England) pada tahun 2011 yang berfungsi untuk menasihati FA England mengenai elemen sosial termasuk agama yang memberi impak terhadap bola sepak England. Bukan itu sahaja, dibawah peraturan FA England seseorang pemain tidak boleh dipaksa untuk bermain dalam mana mana perlawanan jika pemain tersebut mempunyai tanggungjawab dalam agama beliau melainkan wujud persetujuan daripada pemain untuk bermain dalam perlawanan tersebut. Malah, beberapa buah kelab ternama juga telah memainkan peranan dalam menghormati institusi agama antaranya Kelab Bolasepak Newcastle United yang menyediakan sebuah surau untuk para pemain serta penyokong yang beragama Islam untuk menunaikan solat dengan selesa. Jika dapat kita tafsir dari setiap pelaksanaan ini, mereka sudah berada pada satu tahap yang lebih tinggi apabila meletakkan aspek agama sebagai salah satu elemen penting dalam dunia bola sepak mereka. Ini juga merupakan salah satu alternatif untuk mereka memahami dan menyatukan setiap bangsa juga agama dalam institusi bola sepak di England.

Maka PFAM dengan rasa rendah diri memohon agar Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengambil inisiatif segera dalam mengangkat aspek agama ke dalam institusi bola sepak tempatan dengan memberi ruang kepada pemain untuk menunaikan tanggungjawab mereka terhadap agama masing masing. Selain itu, inisiatif ini juga boleh diambil kira sebagai medium oleh FAM untuk mengangkat prinsip bola sepak dunia iaitu fair play ataupun persaingan yang sihat. PFAM turut percaya, keprihatinan FAM terhadap perkara ini bukan sahaja menjaga kebajikan dan kesihatan para pemain, malah turut memberikan ruang yang lebih harmoni selari dengan usaha mengangkat bolasepak sebagai agen perpaduan masyarakat. Sukan ini milik kita, jangan kita perjudikannya.

Izham bin Ismail

Ketua Pegawai Eksekutif

Persatuan Pemain Bolasepak Professional Malaysia

 

Building the Game