Supporting the Players, Building the Game

RWY Sports Law Conference 2014

RWYSLC

Atas dasar pembudayaan ilmu dan profesionalisma, delegasi PFAM yang diketuai oleh saudara Izham Ismail selaku Ketua Pegawai Eksekutif telah menghadiri RWY Sports Law Conference 2014 pada 4 Disember 2014 (Khamis) – satu persidangan yang menghimpunkan delegasi- delegasi dari persatuan-persatuan sukan, pengamal undang-undang sukan dan para akademik dari seluruh pelusuk tanah air. Persidangan ini telah dianjurkan oleh Richard Wee & Yip, sebuah firma guaman yang aktif dalam perkembangan undang-undang sukan di Malaysia.

Persidangan dimulakan dengan ucaptama dari Chris Anderson yang merupakan Ketua Perundangan Everton FC berkenaan Financial Regulation dalam sesebuah kelab atau persatuan sukan. Menurut beliau, rata-rata kelab diseluruh dunia gagal untuk memahami akan kepentingan pengurusan kewangan kerana ini merupakan salah satu kunci kepada kejayaan sesebuah pasukan. Beliau juga memberikan satu analogi yang sangat mudah – titik kemusnahan sesebuah kelab/persatuan adalah apabila gagal untuk berbelanja mengikut kemampuan. Ibarat peribahasa melayu, ukur baju biarlah dibadan sendiri. Menurut Chris, perlaksanaan Financial Fair Play telah menjadikan kelab Everton bebas dari sebarang masalah kewangan apabila kelab berbelanja mengikut kemampuan dan hasilnya telah diterjemah dari sudut kedudukan Eveton dalam LIga Perdana Barclays. Sebagai sebuah kelab Eropah, mereka perlu mematuhi peraturan UEFA yang mewajibkan setiap kelab untuk mendapatkan lessen bagi menjalankan pergerakan kelab. Proses mendapatkan lesen tersebut akan melalui beberapa syarat yang antaranya adalah setiap kelab perlu bebas dari sebarang tunggakan gaji. Jika perkara ini gagal untuk ditangani, maka kelab akan digantung lesen bagi musim yang berikut sehingga kelab melunaskan segala bayaran yang tertunggak. Malah terdapat juga kelab seperti Besiktas yang dihalang untuk bermain di liga UEFA kerana tidak membayar gaji pemain. Pengurusan kewangan juga sebenarnya perlu memberikan impak kepada peminat.  Menurut peraturan UEFA, kelab boleh dikenakan penalti sekiranya meletakkan harga tiket yang terlalu tinggi. Ini kerana, industri bolasepak bukan hanya melibatkan pengurusan dan pemain tetapi juga peminat. ‘Football without fan is nothing’- kata Chris mengakhiri ucaptama beliau. PFAM melihat model yang diamalkan di Eropah perlu dilaksanakan di Malaysia bagi mengekang masalah kewangan dalam pengurusan sukan dari terus berleluasa. Harapan PFAM ingin melihat kelab dan persatuan sukan di Malaysia khususnya bolasepak bebas dari belenggu ini dan terus bergerak maju ke hadapan.

Persidangan diteruskan dengan perkongsian oleh Yang Arif Dato’ Mah Weng Kwai, Hakim Mahkamah Rayuan berkenaan Dispute Resolution in Sports. YA Dato’ Mah memulakan ucapan beliau dengan menyatakan bahawa setiap individu mempunyai hak disisi undang-undang. Ini termasuk mereka yang mengabdikan diri dalam arena sukan. Beliau mengakui bahawa setiap sukan di Malaysia mempunyai tribunal masing-masing bagi menyelesaikan sebarang pertelagahan yang berlaku. Pun begitu, mahkamah tidak akan sesekali teragak-agak untuk campurtangan sekiranya wujud kekhilafan dalam proses tribunal. Beliau juga ada menyentuh mengenai penyalahgunaan hak imej para atlit yang berleluasa di Malaysia. Para atlet perlu sedar bahawa mereka boleh menuntut gantirugi atas perkara ini dan mediasi merupakan cara yang praktikal untuk menyelesaikan perkara ini. Perkara ini dipersetujui oleh Paul J. Hayes yang juga panel jemputan bagi persidangan tersebut. Menurut Paul, pertelagahan dalam sukan bukan hanya melibatkan atlet sukan dan majikan, tetapi turut melibatkan atlet dan syarikat penaja. Paul juga ada menyentuh mengenai isu Doping dan Match Fixing. Dalam perbicaraan Doping, atlet tidak mempunyai hak untuk berdiam diri kerana ia akan membawa kepada anggapan bahawa mereka bersalah. Sebaliknya mereka perlu menjawab setiap persoalan ketika perbicaraan agar anggapan ini boleh dipatahkan.  Mediasi juga merupakan salah satu cabang penyelesaian luar mahkamah yang agak praktikal dalam menyelesaikan perselisihan antara pemain dengan pasukan. Selain itu juga, kaedah Arbitrasi turut boleh dilaksanakan dan diperkasakan. Kaedah ini adalah seperti perbicaraan dalam mahkamah tetapi lebih santai. Pihak PFAM melihat mekanisma ini perlu diperhebat di Malaysia dek kerana lambakan kes yang melibatkan tunggakan gaji yang gagal diselesaikan oleh pihak majikan terhadap pekerja iaitu para pemain. Jalinan kerjasama dengan Kuala Lumpur Regional Centre for Arbitration (KLRCA) akan dipergiat dalam membantu perkembangan kaedah arbitrasi dalam kes bolasepak.

Isu hak komersil dan hak atlet turut dibincangkan dalam persidangan ini. Antara panel-panel jemputan adalah Lazarus Jensen Xavier (Penolong Setiausaha Agung FAM), Ben Ibrahim (Pengacara di Foxsports Asia) dan Richard Wee (pengamal undang- undang sukan). Ben menyatakan bahawa ramai atlet yang memandang enteng kepentingan media terhadap perkembagan karier mereka walhal sukan sudah menjadi gaya hidup mereka. Seharusnya para atlet meletakkan media salah satu komponen penting dalam hidup. Tanpa menafikan bahawa media kadangkala mencipta ‘drama’ dalam sesuatu isu bagi melariskan perniagaan, Ben turut memberi ‘tips’ kepada atlet untuk menangkis perkara ini dari berlaku – tahu akan hak mereka di media dan mengetahui garis panduan media.

Menurut Lazarus pula, pemain adalah tertakhluk kepada kontrak berkenaan penampilan mereka di media. Di dalamnya terdapat garis panduan yang perlu untuk mereka ketahui dan fahami. Jangan hanya melihat pada angka sahaja, mereka perlu melihat kontrak secara keseluruhan. Selain itu, beliau bersetuju dengan Ben mengenai perihal karier dalam sukan. Pemain bolasepak kata beliau perlu menilai sejauh mana bolasepak sebagai sebuah karier, barulah mereka akan serius dalam merancang kehidupan mereka. Isu agen juga mendapat perhatian para panelis. Rata-rata bersetuju akan kepentingan agen dalam mengurus karier seorang pemain. Lazarus telah menyatakan bahawa pemain bolasepak boleh menggunakan ejen yang telah berdaftar dengan FIFA bagi mengelakkan manipulasi ejen terhadap pemain. Namun, beliau mengakui bahawa sisten agen di Malaysia masih kabur kerana Malaysia tidak mempunyai garis panduan yang jelas tentang penggunaan agen dan atas sebab itu, beliau tidak menggalakkan penggunaaan agen kerana khuatir hak pemain akan terjejas. Richard Wee pula menerangkan mengenai kepentingan insuran demi menjamin kelangsungan hidup kerana umum mengetahui bahawa kerjaya dalam sukan tidaklah begitu panjang dan pemain terdedah dengan risiko mengalami kecederaan yang boleh membantutkan karier mereka pada usia muda.

Secara kesimpulannya, pihak PFAM telah mendapat input-input yang sangat bermanfaat dari persidangan ini. PFAM akan terus berusaha menjaga kebajikan para pemain bolasepak profesional dan akan memberikan penerangan kepada semua pemain tentang hak-hak yang perlu untuk mereka ketahui dan fahami. 

Tuan Muhammad Arief 

Eksekutif Pemasaran & Komunikasi

PFA Malaysia

Building the Game