Supporting the Players, Building the Game

Sepak Mula!

SepakMulaMinggu lepas, Piala Sumbangsih telah pun berlangsung sebagai simbol pembuka tirai saingan liga bolasepak tempatan bagi musim 2015. Ketepikan kemelut kontroversi yang mencacatkan keindahan perlawanan pembuka tirai minggu lepas dan fokus kepada aksi pada perlawanan tersebut. Mempertemukan dua pasukan terhebat tempatan ketika ini, JDT dan Pahang, ternyata kedua-dua pasukan mempunyai kelas yang tersendiri dan pastinya semua peminat bolasepak Malaysia akan begitu teruja untuk menyaksikan pasukan kesayangan masing-masing memulakan saingan bagi kancah 2015.

Sememangnya, liga bolasepak sentiasa mempunyai nilai sentimental yang tersendiri. Saya telah mengikutinya sejak saya berusia 8 tahun lagi (sebagai penyokong Selangor), dan saya telah melihat bagaimana liga ini berevolusi bagi memenuhi selera peminat bolasepak serta mengikut kesesuaian dan keperluan prestasi pasukan bolasepak negara. Saban tahun kita akan diperkenalkan dengan format-format baharu, peraturan-peraturan unik dan polisi-polisi terkini. Kesemua ini dilakukan setelah mendengar pelbagai respon daripada pelbagai pihak bagi memastikan wujudnya penambahbaikan pada setiap tahun. Perlu diakui, mungkin ada yang menemui kegagalan, kurang berkesan atau dikatakan menyusahkan pasukan sehingga merencatkan perjalanan liga. Namun saya percaya, pastinya kita akan belajar dari kesilapan tersebut dan syabas saya ucapkan kepada penganjur liga bolasepak tempatan kita yang sentiasa berani melakukan perubahan demi perubahan.

Itu kisah lampau. Tahun ini, lembaran baru bermula. Saya agak lebih teruja dan tertarik untuk mengikuti perkembangan liga pada tahun ini atas beberapa faktor. Pertama, penggunaan 4 pemain import secara serentak berbanding 3 pada tahun lepas. Terdapat pelbagai reaksi berkenaan polisi terbaru ini, namun bagi saya, setuju atau tidak, suka atau tidak, kita harus menerimanya dan sebaik-baik penerimaan adalah dengan menerimanya secara positif. Pastinya ramai akan melihat penggunaan 4 pemain import ini adalah sebagai daya tarikan peminat ke stadium mahupun mampu memperkuatkan pasukan masing-masing. Saya pula melihat lebih dari itu. Saya mengharapkan agar dengan adanya 4 orang pemain import ini bermain secara serentak, para pemain tempatan kita akan mencontohi profesionalisme mereka secara total. Bermula dari saat latihan, ke persiapan pra perlawanan, kemuadian aksi di atas padang hinggalah ketika melangkah keluar dari padang, etika profesionalisme pemain-pemain import ini harus diteladani sebaiknya oleh pemain tempatan kita khususnya pemain-pemain muda bagi membina sebuah karakter profesional yang mantap.

Kedua, tahun ini menyaksikan banyak pasukan sanggup berbelanja besar dalam mempersiapkan diri mengharungi saingan musim ini. Bukan sahaja pasukan-pasukan di Liga Super, namun pasukan-pasukan di Liga Perdana sekalipun turut serius dengan persiapan masing-masing. Sabah umpamanya (sebagai contoh), sanggup berbelanja besar untuk membawa dua bintang ternama, El Hadji Diouf dan Abdoulaye Faye bagi mengukuhkan pasukan mereka. Bagi saya ini sebagai satu petanda yang sangat positif, bukan sahaja dari aspek kualiti dan kerancakan aksi, namun dari aspek pemasaran jenama pasukan baik dari dalam dan luar negara.

Ketiga, tahun ini juga kita bakal menyaksikan pasukan dari Malaysia berpeluang untuk beraksi di Liga Juara-Juara Asia (ACL). Pasukan JDT berpeluang untuk mengulangi sejarah yang dibuat oleh pasukan Selangor pada tahun 1967, apabila bersaing dalam saingan tertinggi kelab-kelab Asia tersebut. Sekiranya JDT berjaya memasuki saingan terbabit, ia harus menjadi sebuah kejayaan untuk dibanggakan bersama, bukan perkara yang dinadikan dengan hasad dengki. Sememangnya, ia akan meletakkan jenama bolasepak Malaysia di tahap yang lebih tinggi, dan perkara ini amat penting bagi membolehkan lebih ramai pencari-pencari bakat seluruh dunia untuk datang ke Malaysia bagi mengikat bakat-bakat tempatan kita.

Keempat, jika segalanya berjalan lancar dan diizinkan Allah, musim ini adalah musim terakhir saingan liga tempatan kita sebelum diswastakan pada tahun hadapan. Maka, ini merupakan cabaran terbesar bagi setiap pasukan tempatan untuk mula ‘berdikari’ terutamanya dari aspek pencarian dana (yang telah banyak kali saya ulas) bagi meneruskan survival pasukan masing-masing.

Kelima dan yang terakhir, pastinya adalah disebabkan ini musim pertama saingan liga tempatan ‘disertai’ oleh PFAM. Sememangnya PFAM begitu komited dalam membantu meningkatkan kualiti saingan bolasepak tempatan menerusi penerapan nilai-nilai profesionalisme dalam diri setiap pemain dan juga diterapkan sekali dalam mentaliti pengurusan pasukan. Saya sering percaya, apabila semua pemegang taruh dalam bolasepak sudah mencapai sebuah pemahaman profesionalisme yang standard, kita akan menyaksikan magis sebenar bolasepak Malaysia. Bagi tujuan menyemarakkan lagi semangat pemain-pemain tempatan, PFAM akan mewujudkan anugerah Pemain Terbaik Bulanan PFAM yang akan dipilih sendiri oleh peminat-peminat bolasepak tempatan. Semoga dengan inisiatif kecil PFAM ini, ia mampu memeriahkan lagi saingan liga bolasepak Malaysia pada musim ini.

Akhir kata, selamat maju jaya saya ucapkan buat semua pasukan yang bertanding pada musim 2015 ini. Beraksilah dengan jiwa yang besar, penuh etika dan memenuhi tuntutan profesionalisme yang tinggi. Buat semua pemegang taruh bolasepak Malaysia, ayuh bersama-sama lonjakkan kegemilangan yang telah lama kita ‘pendam’. Buanglah ‘drama-drama’ yang tidak sepatutnya berlaku di peringkat mulanya lagi. Ingatlah, ini bolasepak kita, ini wajah kita!

Izham Ismail
Ketua Pegawai Eksekutif
PFA Malaysia

Building the Game