Supporting the Players, Building the Game

Sinar Harian: Azmeer sah boleh wakili ATM musim depan

 

Azmeer

KEMELUT mengenai status perpindahan bek kiri Perak, Azmeer Yusoff ke Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akhirnya terlerai apabila isu perpindahan berkenaan berjaya diselesaikan baru-baru ini.

Mengulas lanjut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Persatuan Pemain Bola Sepak Malaysia (PFAM), Izham Ismail berkata, isu perpindahan berkenaan dilihat selesai  apabila Azmeer akhirnya mencapai kata sepakat dengan pihak pengurusan skuad The Bos Gaurus itu untuk berhijrah menyertai skuad The Gladiators itu musim depan.

Malah menurut Izham, pemain berkenaan (Azmeer), kini bebas menyertai latihan bersama ATM sebagai persiapan mengharungi musim baharu Liga Malaysia (Liga-M).

“Alhamdulillah, kini semuanya telah selesai. Terima kasih kepada semua pihak, terutamanya kepada Pengurus Perak, Datuk Azhar Ahmad yang sudi menerima kedatangan kami baru-baru ini bagi menyelesaikan isu berkenaan.

“Semoga ianya menjadi contoh kepada pasukan lain untuk bertindak lebih profesional dalam menguruskan pasukan masing-masing kelak dan yang penting sekali kerjasama antara Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) dan PFAM berterusan selepas ini,” katanya lagi.

Sementara itu, Azhar berkata, pihaknya gembira kerana kemelut berkenaan berjaya diselesaikan lebih awal sebelum bermulanya saingan Liga-M, musim 2015.

Katanya, penyelesaian lebih awal berkenaan diharap dapat membantu proses pembentukan skuad Seladang yang lebih mantap bagi mengharungi musim yang lebih mencabar kelak.

“Proses persiapan pasukan kita berjalan lancar setakat ini dengan kemasukan beberapa nama baharu yang sekali gus kita harap dapat membantu kita mencipta kejayaan musim depan,” katanya.

Sumber: Sinar Harian, Isnin, 10 November 2014, http://www.sinarharian.com.my/ultras/liga-malaysia/azmeer-sah-boleh-wakili-atm-musim-depan-1.331929

 

 

Building the Game