Supporting the Players, Building the Game

Suara Malaysia Di Kongres FIFPro 2014

FIFProCongress

Persatuan Pemain-Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) telah menghadiri Kongres FIFPro Sedunia 2014 bertempat di Tokyo, Jepun selama 3 hari bermula dari 28 Oktober sehingga 30 Oktober 2014. PFAM telah diwakili oleh Presiden, Hairuddin Omar dan Ketua Pegawai Eksekutif, Izham Ismail. 

Kongres kali ini merupakan penyertaan kali pertama PFAM sebagai ahli selepas didaftarkan sebagai ahli FIFPro pada tahun lepas di Kongres FIFPro di Ljublana, Slovenia. 

Lebih dari 100 orang wakil persatuan pemain bolasepak dari lebih 60 negara hadir bagi mewakili suara lebih 65,000 pemain bolasepak profesional seluruh dunia. 

Kongress dimulakan dengan ucaptama dari Presiden FIFPro yang juga Presiden Persatuan Pemain Bolasepak Perancis (UNFP), Philippe Piat diikuti dengan sesi plenari yang membincangkan isu-isu berkaitan pemain, antaranya isu penamatan kontrak, anti-perkauman, sistem perpindahan pemain dan kes pengaturan perlawanan.

PFAM juga hadir dalam mesyuarat Bahagian FIFPro Asia yang dipengerusikan oleh Brendan Schwab dari PFA Australia dan dihadiri bersama wakil persatuan pemain dari Indonesia, New Zealand, Jepun, Australia, India, Korea Selatan, Palestin dan China. Pengerusi FIFPro Asia, Brendan Schwab yang juga merupakan Naib Presiden FIFPro Dunia telah menyifatkan penubuhan semula PFAM adalah merupakan antara kejayaan besar FIFPro bagi memartabatkan suara pemain bolasepak profesional di rantau ini. Beliau turut menyeru usaha yang sama turut digiatkan dalam kalangan negara lain di Asia, dan menjadikan PFAM sebagai model kepada negara lain. Ini merupakan suatu penghormatan yang tinggi buat PFAM apabila dijadikan sebagai model ikutan walaupun PFAM masih baru ditubuhkan semula. 

PFAM juga telah menyertai kempen anti-perkauman untuk menentang diskriminasi kaum dalam bolasepak. Ini merupakan mesej terpenting dalam memastikan unsur diskriminasi ini tidak timbul bersesuaian dengan status sukan ini sebagai sebuah sukan yang universal.

Presiden PFAM, Hairuddin Omar telah menyifatkan Kongres FIFPro kali ini sebagai sangat bermakna kerana ia merupakan platform terbaik untuk menunjukkan solidariti persatuan pemain bolasepak seluruh dunia untuk memartabatkan suara pemain bolasepak profesional di Malaysia, Asia dan seluruh dunia, dan beliau berasa amat bangga kerana PFAM telah memainkan peranan aktif dalam perhimpunan kali ini.

Selain itu, FIFPro dengan kerjasama FIFA dan Interpol telah melancarkan kempen menentang pengaturan perlawanan seluruh dunia, dan PFAM menyambut baik kempen ini dan menyokong penuh usaha ini. 

Ketua Pegawai Eksekutif PFAM, Izham Ismail berkata, PFAM amat berbesar hati menjadi ahli baru dalam FIFPro dan semoga dengan sokongan FIFPro dan perancangan rapi PFAM, kebajikan dan hak pemain-pemain bolasepak profesional di Malaysia akan lebih terbela dan seterusnya memartabatkan permainan bolasepak Malaysia sepertimana slogan rasmi PFAM "Supporting The Players, Building The Game".

Bahagian Pemasaran & Komunikasi

PFA Malaysia

 

 

Building the Game