Supporting the Players, Building the Game

Utusan Malaysia: PFAM sedia bantu pemain Kelantan

HaiPFAMSediaBantuKelantanKUALA LUMPUR – Presiden Persa­tuan Pemain Bola Sepak Profesional (PFAM), Hairuddin Omar memberi­tahu pihaknya sentiasa bersedia untuk menghulurkan bantuan serta memberi khidmat nasihat kepada mana-mana pemain yang menghadapi masalah dengan majikan, termasuk pemain Kelantan yang dilaporkan menghadapi masalah tidak dibayar gaji.

Utusan Malaysia melaporkan semalam, Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) didakwa gagal melunaskan gaji pemain dan pegawai pasukan The Red Warriors sejak dua bulan lalu.

Hairuddin bagaimanapun berkata, pemain Kelantan perlu me­laporkan kepada pihaknya untuk membolehkan PFAM mengambil tindakan susulan.

“Kami tidak boleh paksa mereka (pemain Kelantan) untuk datang kepada PFAM membuat laporan sebaliknya mereka perlu datang de­ngan kerelaan hati tanpa ada paksaan daripada mana-mana pihak. Saya secara peribadi menggalakkan pemain untuk membuat laporan.

“Kami di PFAM telah melantik peguam kami sendiri dan melalui peguam tersebut dia akan menilai kontrak setiap pemain (berdasarkan laporan dibuat) dan jika terdapat sesuatu yang melanggar kontrak (antara majikan dan pemain) PFAM akan memberi nasihat kepada pemain untuk minta surat penjelasan daripada majikan.

“Ambil contoh kes yang melibatkan pemain Angkatan Tentera Malaysia (ATM), mereka telah tampil untuk membuat laporan kepada PFAM setelah tidak mendapat gaji. Berdasarkan laporan itu, PFAM telah menghantar surat minta penjelasan kepada Persatuan Bola­sepak Angkatan Tentera (PBAT) dan mereka diberi tempoh tujuh hari untuk melakukannya.

“Bagaimanapun selepas surat pertama tidak mendapat jawapan, kami hantar surat minta penjelasan kali kedua dan beri tempoh 14 hari untuk mengemukakan sebab. Se­andainya masih gagal juga PFAM akan menghantar afidavit kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk tindakan susulan.

“Jadi kalau nak dikaitkan dengan kes melibatkan pemain Kelantan, mereka sendiri kena buat laporan kepada PFAM dan dari situ kami akan menilai dan memberi nasihat kepada pemain sama ada untuk minta surat penjelasan daripada majikan (KAFA) atau sebaliknya,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi semalam.

Dalam perkembangan lain, Hai­ruddin yang juga merupakan ke­tua pasukan ATM menggesa rakan sepasukannya untuk mempamerkan prestasi cemerlang dalam kempen Piala Malaysia meskipun skuad The Gladiators berdepan dengan masalah gaji tertunggak.

“Difahamkan untuk musim hadapan, ATM berkemungkinan besar tidak menggunakan khidmat pemain profesional. Seandainya perkara ini betul maka pemain sekarang perlu memanfaatkan peluang beraksi dalam pertandingan Piala Malaysia untuk menarik perhatian pasukan lain,” katanya.

Sumber: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/pfam-sedia-bantu-pemain-kelantan-1.131315#sthash.uylOB3bH.dpuf

Building the Game