Supporting the Players, Building the Game

Warkah 1 Mei

1Mei

Alhamdulillah, bersyukur ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah kurnia-Nya, kita semua diberi peluang untuk terus menikmati kelangsungan sebuah kehidupan. 

Alhamdulillah, ini juga adalah merupakan kali kedua PFAM menyambut hari yang istimewa ini sebagai sebuah persatuan yang memperjuangkan hak dan kebajikan para pemain bolasepak profesional di negara ini. Menyoroti semula apa yang dilalui, ternyata sudah banyak perubahan positif yang berlaku terutamanya terhadap mentaliti para pemain yang kini sudah mula menitikberatkan hak dan kebajikan mereka bukan sahaja sebagai seorang pemain bolasepak, tetapi sebagai seorang pekerja profesional yang diiktiraf oleh undang-undang negara. Begitulah yang diinginkan oleh PFAM, hormat itu hanya akan hadir apabila pemain itu sendiri 'menghormati' karier mereka selaku pemain profesional dan ilmu adalah kuncinya.

Alhamdulillah, PFAM juga sudah mula melihat bagaimana para majikan yakni pasukan turut mula mengambil langkah proaktif dalam memastikan agar para pemain dijaga dengan baik. Pasukan sudah mula mengambil kira pandangan pemain, sudah mula 'ringan' untuk berbincang dan juga memberikan kerjasama yang baik dengan PFAM. Pun begitu, tidak dinafikan juga, dalam perkembangan positif ini, masih juga ada segelintir pasukan yang tidak menjalankan tanggungjawab mereka sebagai majikan yang baik. Untuk hal sebegini, pesan PFAM hanya satu, hidup punya karma dan karma itu hidup. 

Alhamdulillah, walau apa pun ujian yang melanda, tabik hormat buat para pemain yang terus berjuang di atas padang atas nama sebuah kecintaan. Inilah nilai yang harus dimaknai dan wajib diraikan pada hari ini. 

PFAM mengambil kesempatan untuk mengucapkan takziah kepada keluarga dan sahabat handai pemain Melaka United, Stefan Petrovski yang meninggal dunia hari ini. PFAM bersama-sama dengan PFA Australia, wakil dan keluarga Stefan Petrovski akan memberi kerjasama untuk memastikan segala urusan akan dipermudahkan buat semua pihak. 

Izham Ismail

Ketua Pegawai Eksekutif

PFA Malaysia

Building the Game