Doping – Perang Yang Berpanjangan

Sejak kebelakangan ini, isu mengenai doping sedang rancak memenuhi dada akhbar-akhbar tempatan. Walaupun ia sedikit reda di media massa buat seketika, ternyata pelbagai persoalan dan spekulasi masih dibincangkan di kalangan masyarakat. Ingin saya tekankan bahawa tujuan artikel ini ditulis adalah bukan untuk menyemarakkan lagi isu yang sudah hangat ini tetapi ia lebih ke arah untuk meningkatkan lagi pemahaman pembaca berkenaan doping dengan melihat topik ini dari sudut yang lebih luas.

Menyingkap kembali sejarah awal persukanan, atlet-atlet zaman dahulu sudah mula mengamalkan diet khas dan mengambil bahan perangsang seperti kafein, kokain dan alkohol untuk meningkatkan prestasi mereka dalam acara masing-masing. Istilah doping mula digunakan sejak kurun ke-20 lagi di mana ia merujuk kepada penggunaan perubatan haram ke atas kuda-kuda lumba. Tragedi kematian Knud Enemark Jensen, iaitu atlet berbasikal Denmark yang dipercayai mengambil amphetamine ketika beraksi di Sukan Olimpik 1960 di Rom telah menjadi titik permulaan kepada penguatkuasaan ujian bahan terlarang di kalangan ahli-ahli sukan.

Pada tahun 1966, FIFA melakar sejarah dengan menjadi salah satu badan sukan antarabangsa terawal yang memperkenalkan ujian doping dalam kejohanan-kejohanan dunia yang dianjurkannya. Jawatankuasa Perubatan FIFA memainkan peranan utama untuk mengawal aktiviti doping dalam semua perlawanan bola sepak yang melibatkan badan induk itu. FIFA telah mengeluarkan undang-undang anti dopingnya sendiri pada tahun 2012 hasil kerjasama dengan Agensi Anti Doping Dunia (WADA). Melalui penguatkuasaan ini, kesemua konfederasi dan persatuan bola sepak yang bernaung di bawah FIFA boleh mengaplikasikan ia secara terus ataupun menjadikannya sebagai rujukan.

Jika sebelum ini sukan berbasikal pernah dikejutkan dengan pengakuan Lance Armstrong yang mengambil bahan-bahan terlarang sepanjang kariernya, arena bola sepak juga tidak terlepas daripada skandal doping. Satu laporan yang dikeluarkan oleh sekumpulan penyelidik dari Jerman mendapati bahawa sebilangan pemain yang mewakili Jerman Barat dalam Piala Dunia edisi 1954 menerima suntikan methamphetamine Pervitin sebelum menentang Hungary dalam aksi final. Dalam kes lain, pada tahun 1998, mahkamah Itali mengeluarkan arahan untuk menyerbu kelab Juventus dan menjumpai beberapa jenis bahan terlarang. Seorang penyiasat juga mendakwa kelab tersebut umpama sebuah hospital kecil yang serba lengkap. Kedua-dua kes diatas hanyalah sebahagian daripada realiti dunia bola sepak dan apa yang berlaku di belakang tabir. Ia jelas menunjukkan bahawa terdapat sesetengah tabiat yang sudah dianggap ‘normal’ dan ‘tidak memudaratkan’ oleh mereka.

Sesebuah pasukan itu boleh diibaratkan sebagai satu ‘rantaian’ di mana setiap individu saling bergantung antara satu sama lain. Contohnya, untuk memenangi sesuatu kejohanan, pasukan itu harus berada di tahap fizikal dan mental yang terbaik. Jurulatih haruslah memastikan para pemain memberikan persembahan yang bagus, dan para pemain wajib menjaga diri mereka daripada perkara yang boleh mengganggu prestasi seperti kecederaan. Pegawai medikal pula berperanan untuk mengoptimumkan proses rehabilitasi ataupun pemulihan agar pemain-pemain dapat kembali beraksi. Dalam konteks doping, apabila pengambilan bahan terlarang ataupun penyalahgunaan ubat-ubatan dan bahan perangsang diamalkan secara meluas oleh sesebuah pasukan, ini menunjukkan bahawa ‘rantaian’ tersebut telah dikompromi.

Oleh demikian, semua pihak yang terlibat harus sedar bahawa aktiviti doping boleh dikawal sekiranya mereka memikul tanggungjawab itu bersama-sama dengan sebaik mungkin. Bak kata presiden WADA, iaitu Craig Reedle dalam salah satu ucapan beliau, “Doping is a problem. I think we can win the battles, but I question whether we can ever win the war.”

Share this article:

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp