Sporting Successor: Tak Sama Tapi Serupa

Sporting Successor: Tak Sama Tapi Serupa

Tahun 2022, tahun baharu. Namun begitu, industri bolasepak khususnya di Malaysia dilihat masih berkisar berkenaan permasalahan yang sama. Artikel ini akan membincangkan berkenaan satu topik yang mungkin agak baharu dalam kalangan pemegang taruh bolasepak tempatan iaitu “Sporting Successor”. Bagi memudahkan kefahaman berkenaan topik “Sporting Successor” ini, akronim B.O.L.A. akan menjadi sandaran rujukan kepada para pembaca.

B – Badan Penguatkuasa

Seperti yang diketahui umum, Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) adalah badan yang bertanggungjawab untuk mengawal selia perkembangan sukan bola sepak secara terurus dan teratur di peringkat antarabangsa manakala urusan kawal selia perkembangan bola sepak di Malaysia adalah tanggungjawab Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Di dalam Regulations on the Status and Transfer of Players FIFA (RSTP), telah dinyatakan bahawa kelab yang bertanding di dalam liga dengan menggunakan slot atau lesen yang diterima daripada Entiti yang terdahulu adalah dianggap sebagai “sporting successor” kepada Entiti tersebut dan tertakluk kepada sebarang tindakan dan keputusan daripada FIFA. Kelab hendaklah memastikan tiada sebarang liabliti atau tanggungan yang ditinggalkan oleh Entiti terdahulu yang boleh menyebabkan perkara ini dibawa kepada FIFA.

Fahaman ini telah diambil dan diaplikasikan oleh FAM di dalam Peraturan Mengenai Status & Perpindahan Pemain Bolasepak Malaysia yang memberikan hak kepada FAM untuk mengenakan sebarang tindakan atau melakukan keputusan terhadap kelab bola sepak di Malaysia yang berada di dalam dimensi “sporting successor” ini.

O – Organisasi

Organisasi yang membentuk sistem kepimpinan kelab bola sepak di Malaysia tidak hanya bertindak sebagai entiti undang-undang malah sebenarnya lebih daripada itu. Walaupun kebebasan diberikan kepada kelab bola sepak untuk mentadbir urus pembangunan dalaman mereka, tetapi kelab itu mempunyai tanggungjawab yang sangat besar terhadap pemain, jurulatih serta jalinan hubungan dengan kelab bola sepak yang lain.

Perkara ini menjadi serius apabila berlakunya krisis kewangan di dalam kelab bola sepak tersebut. Kebanyakkan kelab akan memilih jalan singkat dengan menukar kepada entiti yang baru dengan harapan kaedah ini dapat mengelakkan mereka untuk terus menanggung bebanan hutang entiti terdahulu. Hal ini akan mengakibatkan hak serta kebajikan terhadap pemain dan jurulatih yang terdahulu terjejas dan tidak terbela.

L – Liabiliti

Rata rata kelab bola sepak di Malaysia lebih cenderung untuk mengamalkan konsep liabiliti terhad. Ini bermaksud hanya entiti undang-undang yang akan menanggung segala liabiliti sekiranya apa-apa yang tidak dingini berlaku kepada kelab bola sepak. Dengan kata mudahnya, sekiranya kepimpinan di dalam kelab bola sepak digantikan dengan yang baru, segala liabiliti entiti undang-undang terdahulu dianggap selesai. Perkara ini amat dipandang serius oleh Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Di dalam Kod Tatatertib FIFA telah dinyatakan bahawa entiti baru yang mengambil alih Pasukan bukan sahaja perlu bertanggungjawab terhadap liabiliti hutang yang ditinggalkan oleh pasukan lama malah boleh dikenakan sebarang hukuman di bawah peruntukan ini iaitu denda, sekatan perpindahan dan penolakan mata sekiranya gagal mematuhi keputusan yang dikeluarkan oleh FAM dan FIFA

A – Alasan untuk menentukan “sporting successor”

Terdapat beberapa kriteria yang diambil kira sebelum menentukan entiti baru kelab bola sepak perlu menggalas tanggungjawab liabiliti entiti terdahulu. Perkara ini secara khusus telah dibincangkan dalam beberapa kes terdahulu. Contohnya, di dalam CAS 2011/A/2646 Club Rangers de Talca v FIFA, Mahkamah Timbang Tara Sukan telah memberikan beberapa kriteria untuk menjawab persoalan “sporting successor” antaranya adalah :

-Tujuan entiti baru menggalas tanggungjawab pengurusan kelab
-Pembelian unit ekonomi termasuklah hak persekutuan sebagai persatuan kebangsaan, perpindahan pemain, trofi, peralatan sukan dan komited untuk terus menggunakan nama, lencana, lagu kelab, lambang, t-shirt dan warna kelab
-Kelab berada di kawasan Bandar (atau negeri) yang sama
-Hebahan mengenai penggantian dan pemerolehan didaftarkan di dalam undang undang negara

Contoh kes terdahulu

Keputusan Kamar Penyelesaian Pertikaian (DRC) ref. no. 04152285 pada 10 April 2015

Kes ini melibatkan kelab Korea, Seoul FC dan Kelab Australia, Newcastle Jets FC mengenai pertikaian berkenaan hak pampasan latihan terhadap pemain yang dipindahkan daripada kelab pertama ke kelab kedua.

DRC menolak tuntutan seperti yang telah ditetapkan di bawah undang-undang limitasi masa dua tahun di dalam Regulations on the Status and Transfer of Players. Kelab Korea tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut telah mengemukakan rayuan kepada CAS.

Kelab Australia pula menentang prosiding CAS dan menekankan bahawa mereka telah ditadbir urus oleh entiti undang undang yang baru dengan menggunakan lesen baharu dan disebabkan itu tidak bersalah terhadap sebarang hutang daripada pemilik kelab sebelumnya yang sedang ketika itu menjalani prosiding kebankrapan.

Penimbang tara tunggal mengisytiharkan bahawa tuntutan daripada Kelab Korea boleh diterima mengikut preskripsi dan menolak keputusan sokongan FIFA dan kes ini dirujuk kembali kepada DRC untuk menentukan sama ada mengikut situasi di atas (i.e entiti undang-undang yang baru menguruskan kelab), Kelab Australia mempunyai kedudukan untuk disaman ataupun sebaliknya.

Mengikuti arahan daripada CAS, DRC meneruskan prosiding dan secara terperinci mengesahkan alasan-alasan di dalam CAS award 2013/A/3425 untuk berpihak kepada Kelab Korea yang membenarkan “sporting successor” kelab dari sudut pandang undang-undang.

• Sesebuah Kelab adalah entiti sukan yang dikenal pasti oleh dirinya dengan tergabungnya beberapa set elemen yang membentuk imej nya;
• Tugas sesebuah kelab melebihi daripada sekadar entiti yang mengoperasikannya;
• Obligasi yang dipikul oleh mana-mana entiti yang bertanggungjawab terhadap aktivitinya sewajarnya dihormati;
• Entiti sesebuah kelab terbentuk apabila: nama, warna, penyokong, sejarah, pencapaian sukan, trofi, stadium, senarai pemain, tokoh bersejarah, etc. yang membenarkan kelab itu dibezakan daripada kelab kelab yang lain;
• Penerusan dan pengekalan mengikut institusi sukan pada ketika itu di hadapan entiti yang menguruskannya untuk dikenali walaupun ada pertukaran pengurusan syarikat dan berbeza sepenuhnya.

DRC menyimpulkan bahawa “Terdapat elemen yang mencukupi untuk membuktikan bahawa Club C adalah kelab yang sama megikut sejarah walaupun wujud pertukaran pengurusan syarikat di sebalik operasi pasukan.” (Cf. par. 16 a., p. 8).

Menurut Kamar, dengan menggunakan nama yang sama, lambang yang sama, stadium yang sama dan pemain yang sama, telah wujud satu kemahuan untuk menggunakan identiti dan imej kelab bola sepak tersebut untuk pihak ketiga mengenalinya sebagai kelab yang sama [Newcastle Jets FC].

CAS 2016/A/4550 Darwin Zamfir Andrade Marmolejo v. Club Deportivo La Equidad Seguros SA & FIFA – CAS 2016/A/4576 FC Ujpest 1885 v. FIFA

Kes ini melibatkan kes penggantian Kelab Hungary, Ujpest.

Di dalam konteks penamatan kontrak tanpa sebab yang munasabah daripada pemain, Panel perlu memutuskan sama ada memanjangkan hukuman yang melibatkan sekatan pendaftaran pemain (cf. Art. 17.4 RSTP) kepada entiti undang-undang baru yang dikenali sebagai Ujpest 1885, yang telah mengantikan kelab asal, Ujpest FC di mana pemain telah menandatangan kontrak dan turut terlibat dengan prosiding pencairan.

Panel yang mengadili kes ini telah sekali lagi merujuk kepada alasan di dalam CAS award 2013/A/3425 (par. 139) untuk menyimpulkan bahawa Ujpest 1885 adalah “sporting successor” terhadap Ujpest FC walaupun terdapat perubahan terhadap pengurusan atau entiti undang undang yang mengoperasikan kelab, memberi perhatian kepada aspek seperti berikut:

• Kedua dua kelab, Ujpest 1885 dan Ujpest FC bertanding di dalam divisyen pertama di dalam Kejuaraan Hungary menggunakan nama Ujpest FC yang sama;
• Logo dan warna Ujpest FC masih kekal sama;
• Kedua dua kelab baru dan lama mendaftarkan alamat yang sama;
• Kedua duanya mempunyai pengarah sukan yang sama.

Situasi di Malaysia

Di Malaysia, situasi ini mungkin kurang dibangkitkan sebelum ini memandangkan konsep pertandingan liga di Malaysia yang menggunakan Persatuan Bolasepak (Football Association) berbanding Kelab Bolasepak (Football Club).

Namun selepas ‘Dasar Perswastaan’ dilaksanakan, topik “sporting successor” adalah sangat kritikal untuk diamati dan didasari oleh setiap pihak. Ini memandangkan, Association bukan lagi merupakan pasukan bolasepak yang bertanding, tetapi telah ditukar statusnya menjadi Kelab Bolasepak yang dimiliki oleh Syarikat. Pun begitu, identiti pasukan bolasepak berkenaan masih lagi dikekalkan, termasuklah slot untuk bertanding di dalam liga yang dianjurkan.

Namun begitu, persoalan yang timbul :

1) Adakah hutang yang dimiliki oleh Association sebelum ini, perlu ‘diwarisi’ oleh Syarikat yang memiliki Kelab Bolasepak tersebut?
2) Adakah hukuman yang dikenakan ke atas Association sebelum perswastaan, akan turut ‘diwarisi’ oleh Syarikat yang memilik Kelab Bolasepak tersebut?
3) Adakah Association masih boleh menjalankan fungsinya sebagai “Persatuan” sekalipun Association tersebut (yang sebelum ini merupakan “Kelab”) di dalam era sebelum “Dasar Perswastaan” mempunyai hutang sebagai Kelab Bolasepak?
4) Adakah Kelab Bolasepak yang menjadi ahli gabungan kepada Association yang berhutang, boleh dibenarkan bertanding di dalam Liga?

Perkara ini jika ingin dibincangkan dari aspek definisi dan teknikal perundangan, mungkin terdapat “loopholes” yang boleh dijumpai, dan akhirnya akan menafikan tujuan konsep “sporting successor” ini diwujudkan. Semestinya, terma yang digunakan oleh FIFA adalah bersifat umum dan perlu diperincikan mengikut kesesuaian di peringkat domestik.

Di sinilah pentingnya peranan FAM untuk me-Malaysia-kan konsep “sporting successor” agar maksud dan tujuan asal konsep ini diperkenalkan – iaitu untuk menjaga kepentingan dan kebajikan para pemain, jurulatih dan kakitangan – dapat diteruskan dan dipelihara integritinya.

Izham Ismail
Ketua Pegawai Eksekutif
PFA Malaysia

Share this article:

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on linkedin
LinkedIn
Share on whatsapp
WhatsApp