SETENGAH TAHUN TANPA GAJI, TUNGGAKAN MENCECAH RM 2.3 JUTA

18 Januari 2023 yang lepas merupakan tarikh akhir bagi notis yang dihantar ke Melaka United FC menerusi PFAM untuk melunaskan tunggakan gaji yang dihadapi oleh para pemain.

Tunggakan gaji yang bermula daripada Julai 2022 sehingga Disember 2022 telah menyebabkan pemain Melaka United FC berdepan dengan situasi 6 bulan tidak bergaji. Lebih mendukacitakan, pemain yang mempunyai komitmen bulanan terpaksa berhempas pulas untuk meneruskan kelangsungan diri dan keluarga sehingga berulang kali menerima panggilan daripada pihak bank untuk menyelesaikan pembayaran bulanan.

Realiti yang dihadapi oleh pemain Melaka United FC amat mendukacitakan kerana sebagai pemain bola sepak profesional di dalam negara, mendapat bayaran gaji daripada majikan berdasarkan kepada persetujuan di dalam kontrak adalah hak yang sewajarnya dipenuhi dan tidak perlu untuk mereka merayu seolah seolah meminta bantuan ataupun seolah olah mereka melakukan kesalahan untuk menerima gaji mereka sendiri.

Terdahulu, pada 4 November 2022, satu keputusan telah dikeluarkan oleh Majlis Resolusi Pertikaian Kebangsaan bagi kelab Melaka United FC untuk melunaskan jumlah satu bulan gaji terlebih dahulu namun sehingga kini, jumlah tersebut masih gagal untuk dibayar.

Terkini, laporan tunggakan gaji bagi bulan bulan yang berikutnya telah dihantar ke FAM bagi tujuan perbicaraan Majlis Resolusi Pertikaian Kebangsaan.

Dalam masa yang sama, isu pemilikan yang timbul di dalam Melaka United FC mengeruhkan lagi keadaan kerana pihak pihak yang sewajarnya bertanggungjawab untuk menangani masalah tunggakan gaji ini dilihat seolah olah tidak mahu memberi kerjasama.

PFAM bertegas untuk membawa pihak pihak yang bertanggungjawab untuk melunaskan bayaran gaji terhadap pemain ke muka pengadilan bagi membela nasib pemain yang terkesan secara langsung akibat daripada sikap pengurusan yang tidak mengambil serius untuk memperjuangkan hak dan kebajikan pemain.

Share this article:

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp