Padang tiruan atau sintetik mula diperkenalkan pada tahun 1966 di Houston, Texas. Tujuan ia digunakan adalah untuk menggantikan padang rumput asli di Astrodome, iaitu stadium berbumbung pertama di dunia. Ketika itu pemilik dan jurutera stadium menghadapi masalah rumput yang tidak tumbuh dengan sempurna akibat kurang pendedahan kepada cahaya matahari yang disebabkan oleh bumbung stadium tersebut. Mereka mencari penyelesaian dengan menggunakan karpet hijau yang diperbuat daripada nilon dan hingga ke hari ini padang rumput tiruan ataupun dikenali sebagai Astro Turf, telah mengalami perubahan sejajar dengan kemajuan teknologi. Dalam bola sepak profesional, pasukan Queens Park Rangers dari England merupakan antara kelab terawal yang menggantikan padang asli dengan padang sintetik generasi kedua (2G) sekitar 1980-an.
Jika dilihat dari sudut positif, penggunaan padang rumput tiruan mempunyai beberapa faedah yang menguntungkan. Pertama, ia boleh digunapakai untuk pelbagai acara seperti konsert ataupun karnival tanpa mengganggu kualiti padang tersebut. Kedua, padang sintetik tidak memerlukan cahaya matahari dan kriteria ini adalah sangat sesuai terutamanya apabila digunakan di stadium-stadium besar yang mempunyai kawasan penjuru yang agak redup. Ketiga, kadar kerosakan padang dapat diminimumkan kerana rumput tiruan boleh bertahan dengan lama walaupun digunakan berulang kali dalam satu jangka masa yang dekat. Selain itu, ia juga sesuai digunakan di dalam apa jua keadaan cuaca sama ada panas, sejuk ataupun di tempat yang berhujan seperti Malaysia tanpa melibatkan kos yang terlalu tinggi.
Namun, di sebalik faedah-faedah yang dinyatakan di atas, mengapakah masih terdapat tanggapan negatif terhadap penggunaan padang rumput tiruan?
Dalam satu temu ramah bersama ESPN, pemain kebangsaan pasukan bola sepak wanita Amerika Syarikat, Sydney Leroux, meluahkan rasa tidak puas hati terhadap keputusan FIFA yang mewajibkan kesemua perlawanan bola sepak wanita ketika Piala Dunia 2015 nanti diadakan di atas padang sintetik. Seperti kebanyakan pemain bola yang lain, Leroux membesar dengan bermain di atas padang asli dan beliau dengan lantang melontarkan pendapat bahawa padang sintetik menyebabkan kulit melecet ataupun turf burn dan ia juga mengubah cara permainan seseorang. Secara peribadi, saya bersependapat dengan beliau kerana mengikut pengalaman menjaga pasukan remaja yang berlatih setiap hari di atas padang tiruan, melecet di bahagian tepi peha ataupun kami menggelarnya “luka 50 sen” sudah menjadi kebiasaan. Walaupun ia adalah sekadar kulit melecet, tetapi jika tidak dijaga dengan betul ia boleh mengakibatkan seseorang pemain itu terpaksa meninggalkan latihan selama beberapa hari untuk membiarkan ia sembuh. Hal ini secara tidak langsung membuatkan pemain berfikir dua kali untuk melakukan sliding tackle dan lebih berhati-hati dalam mencatur pergerakan di atas padang. Dari segi cara permainan, Leroux mengakui pergerakan bola di atas rumput tiruan adalah lebih laju serta sukar diramal. Disebabkan faktor ini, pemain terpaksa bergerak dengan pantas serta mengolah kemahiran teknikal seperti cara merembat atau mencungkil bola untuk disesuaikan dengan permukaan padang. Selain daripada itu, faktor suhu juga harus diambil kira kerana ketika cuaca panas suhu permukaan rumput sintetik boleh menjangkau 38⁰C. Kesan daripada faktor-faktor diatas, pemain akan berasa lebih letih dan hal ini sedikit sebanyak akan memberi impak negatif kepada persepsi mereka terhadap bermain di atas rumput tiruan.
Banyak pihak mengganggap bermain di atas padang tiruan boleh meningkatkan risiko kecederaan tetapi satu kajian mendapati kebarangkaliannya adalah 10-14% lebih rendah jika dibandingkan dengan rumput asli. Kajian ini sebenarnya membandingkan rumput sintetik berkualiti tinggi yang menepati spesifikasi ditetapkan oleh FIFA dengan rumput asli berkualiti rendah yang mempunyai rumput kering dan kasar serta bertompok-tompok. Profesor Jan Ekstrand, iaitu naib presiden jawatankuasa perubatan UEFA telah melakukan beberapa siri kajian mengenai kadar kecederaan yang melibatkan padang rumput tiruan. Dalam konteks ini, rumput tiruan yang dimaksudkan adalah rumput tiruan generasi ketiga (3G), iaitu padang sintetik yang mempunyai ciri-ciri lebih sofistikated jika dibandingkan dengan padang generasi sebelumnya. Apa yang menarik mengenai hasil penyelidikan Ekstrand adalah secara amnya risiko kecederaan adalah sama antara padang tiruan dan asli.
Kuncinya di sini adalah penyelenggaran padang. Kita mampu memiliki padang bola sepak yang diperbuat daripada rumput jenis yang terbaik di dunia ataupun padang tiruan generasi yang terkini tetapi jika tiada penyelenggaran yang berkualiti secara terus menerus, kita akan masih menghadapi masalah yang sama. Pernah sekali ketika berada di China untuk satu kem latihan, saya ditegur oleh pekerja stadium kerana membuang ais di atas padang mereka. Apabila saya bertanya kenapa, pekerja itu membalas bahawa dia ingin menjaga rumput itu sebaik-baiknya kerana padang itu akan digunakan untuk perlawanan keesokan hari. Dalam hati kecil saya berkata, takkanlah buang ais pun boleh menjejaskan kualiti padang. Namun, apabila melihat betapa komited pekerja stadium itu terhadap tugasannya, saya berasa kagum. Mungkin kita memandang ringan terhadap perkara yang kecil seperti itu tetapi mereka mengambil serius tentang hal-hal sedemikian. Saya yakin terdapat beberapa padang bola sepak di Malaysia (rumput asli dan tiruan) yang dijaga dengan begitu baik dan rapi sekali. Persoalannya, adakah kita mahu bekerjasama antara satu dengan lain, berkongsi kepakaran, mendengar pendapat dan menjalankan penyelidikan demi meningkatkan standard bola sepak tanah air?