David Oniya Peringatan Dalam Pemergian

Tanggal 13 Jun 2015, dunia bolasepak negara digemparkan dengan berita kematian Kapten Pasukan T-Team David Faramola Oniya yang rebah ketika beraksi bersama pasukan beliau berpunca daripada serangan jantung secara mengejut. Bagi Malaysia ini merupakan satu tragedi yang sangat mengejutkan tetapi bagi kancah bolasepak dunia perkara ini sudah lama membelenggu pemain bolasepak antarabangsa bermula dari tahun 1889, William Cropper dari pasukan Staveley di England rebah ketika menentang Grimsby Town yang menyebabkan kematian beliau pada umur 26 tahun. Insiden ini turut juga menyerang beberapa pemain ternama seperti Marc-Vivien Foe bekas pemain Manchester City yang meninggal dunia semasa mewakili negara beliau Cameroon pada tahun 2002 dan juga Antonio Puerta bekas pemain Sevilla yang menjadi buruan beberapa kelab besar seperti Manchester United turut tidak terlepas daripada menjadi mangsa apabila rebah semasa menentang Getafe FC pada tahun 2007.

Ekoran daripada perkara ini, Persatuan Pemain Bolasepak Antarabangsa (FIFPro) telah melakukan kajian mengenai serangan jantung di antara pemain bolasepak dunia dan hasil daripada kajian tersebut menunjukkan sejak tahun 2008, lebih daripada 25 peratus pemain bolasepak telah meninggal dunia disebabkan oleh serangan jantung. PFAM mengambil serius akan hal ini dan PFAM percaya, pelan penambahbaikan perlu dilakukan dalam kadar yang segera agar kesihatan para pemain diberikan keutamaan khusus di masa hadapan.

Beberapa mekanisme di peringkat antarabangsa telah dilaksanakan. Pada tahun 2004, Suruhanjaya Perubatan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa telah memperkenalkan Protokol Loussana iaitu pemeriksaan perubatan fizikal sebelum pertandingan yang lebih dikenali dengan Pre-Competition Medical Assessment (PCMA) untuk mengelakkan kematian secara mengejut akibat serangan jantung dalam kalangan atlet dunia. Dalam dunia bolasepak pula, perkara ini telah diperkenalkan dalam Piala Dunia FIFA 2006 oleh Gabungan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dengan mengambil prinsip yang sama dalam Protokol Loussana. Hal ini turut disambut oleh Kesatuan Persatuan Bola Sepak Eropah  (EUFA) yang menyerap masuk Pemeriksaan Perubatan Sebelum Pertandingan (PCMA) ke dalam Peraturan Perubatan mereka pada tahun 2013. Namun sehingga sekarang kita masih lagi dihujani dengan kes kes kematian pemain bolasepak akibat daripada serangan jantung secara mengejut. Mengapa perkara ini masih berlaku?

PFAM telah menghubungi Dr. Vincent Gouttebarge, Ketua Pegawai Perubatan FIFPro berkenaan perkara ini dan beliau telah melahirkan rasa bimbang mengenai PCMA ini atas beberapa sebab utama. Pertama, apabila kesahihan pemeriksaan perubatan sebelum pertandingan ini masih lagi dipertikaikan terutamanya dalam kualiti dan tafsiran keputusan pemeriksaan kepada pemain. Kedua, tidak ada satu prosedur pemeriksaan yang standard kepada setiap negara untuk mengikut eviden saintifik yang terbaru. Ketiga, yang paling utama adalah apabila pemeriksaan ini tidak berbentuk mandatori dalam beberapa peringkat professional seperti liga domestik.

Jonathan McKain, pemain Kelantan yang berada di atas padang semasa tragedi itu berlaku, telah menyuarakan pandangannya kepada PFAM berkenaan hal ini. Beliau yang merupakan bekas Eksekutif Persatuan Pemain Bolasepak Australia, berkongsi bahawa ada empat masalah yang timbul dalam tragedi David Oniya ini. Pertama, apabila tiada pegawai perubatan yang bertugas semasa perlawanan berlangsung. Kedua, bagaimana mendiang boleh dibenarkan bermain dengan keadaan beliau yang baru sahaja terlibat dengan kecederaan yang serius dibahagian kepala. Ketiga, masalah dari segi kelewatan tindakan serta merta oleh pasukan perubatan ke dalam padang akibat daripada pemandu ambulan yang duduk di kawasan penonton untuk menonton perlawanan. Keempat, apabila para pemain di atas padang tidak mempunyai sebarang pengetahuan sekiranya berhadapan dengan situasi kecemasan seperti dalam kes ini. Beliau menegaskan keempat-empat masalah ini perlu diperbetulkan supaya kita dapat menangani perkara ini dengan tepat jika perkara ini berulang semula.

Dr Vincent Goutterbarge ketika dihubungi oleh PFAM berhubung isu ini, turut memberi cadangan untuk mengoptimumkan peluang bagi proses menyelamat pemain di atas padang seperti pemeriksaan tahunan terhadap latar belakang kesihatan keluarga pemain dan juga pemain. Seterusnya, beliau mencadangkan supaya pasukan perubatan bersama pegawai perubatan disediakan untuk menangani kes serangan jantung mengejut sekiranya berlaku di atas padang. Akhir sekali, beliau juga mencadangkan untuk peralatan perubatan seperti automated external defibrillator iaitu alat untuk mengesan denyutan jantung dan memberi kejutan elektrik sokongan untuk pemain disediakan bagi tujuan perubatan.

Maka, PFAM berpendirian, sudah tiba masanya perkara ini diletakkan dalam perhatian tertinggi selari dengan semangat yang diangkat oleh FIFPro dalam menjaga kebajikan para pemain. Adalah menjadi satu pertimbangan yang berat untuk Malaysia mengambil langkah ini demi memastikan kesihatan, keselamatan dan kebajikan pemain terpelihara. PFAM juga bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak khususnya FAM bagi menjayakan mekanisme ini. Yang paling penting, setiap kelab dan pasukan bertanggungjawab dalam memastikan tahap keselamatan dan kesihatan pemain bolasepak negara terjamin. Sememangnya, hidup dan mati adalah di tangan Tuhan, namun sekurang-kurangnya kita semua mengambil langkah yang secukupnya bagi menyediakan ruang yang terbaik buat para pemain profesional di Malaysia. Oniya sudah meninggalkan kita dalam keadaan yang amat tidak disangka-sangka, tugas kita adalah untuk memastikan betapa pemergiannya tidak sia-sia.

 

Izham bin Ismail
Ketua Pegawai Eksekutif
PFA Malaysia

Share this article:

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp