4 Ogos 2015 – PFAM telah menjadi penganjur untuk FIFpro Asia Kongress tahun 2015 yang berlangsung di Grand Millenium Hotel, Kuala Lumpur. Kongres ini telah mengumpulkan seluruh persatuan pemain bolasepak professional sekitar Asia bagi membincangkan mengenai hal ehwal pemain bolasepak juga perancangan masa hadapan untuk setiap persatuan. Negara-negara yang menyertai kongres ini adalah Australia, Japan, New Zealand, India, Indonesia, Korea Selatan, Palestine, Singapura dan juga Malaysia. Beberapa watak popular yang hadir dalam kongres ini antaranya ialah bekas penyerang sensasi Selangor Bambang Pamungkas selaku Timbalan Presiden Persatuan Pemain Bolasepak Indonesia (APPI).
Kongres ini bermula pada hari Rabu bertarikh 4 Ogos 2015 apabila perbincangan mula dilakukan oleh setiap wakil persatuan dan diketuai oleh Theo Van Seggelen, Setiausaha Agung FIFPro. Antara topik yang dibincangkan dalam kongres untuk hari pertama ialah Pembangunan dan Profesionalisasi FIFPro, Piala Dunia FIFA 2022 Qatar dan mengenai Percaturan Perlawanan.
Kongres ini diteruskan lagi pada hari kedua dengan topik yang lebih berbeza. Untuk hari kedua, topic perbincangan lebih menjurus kepada isu pemain bola sepak dan beberapa agenda perbincangan telah dilakukan dalam perjumpaan tersebut. Pertama, mereka membincangkan mengenai Projek FIFPro Asia yang menekankan tentang strategi perhubungan pemain dan juga kajian terhadap pemain. Kedua, perbincangan mengenai Kertas Kerja FIFPro Asia 2013 – 2017.
Untuk hari ketiga perbicangan yang lebih serius dilakukan apabila setiap wakil negara akan menjalani sesi perbincangan ‘one to one’ bersama Jawatankuasa Tertinggi FIFPro iaitu Theo Van Seggelen, Frederique Winia dan Brendan Schwab. Buat wakil negara, PFAM telah menyampaikan segala laporan kerja kepada mereka dan menerima juga cadangan buat penambahbaikan untuk kelansungan PFAM dalam memperjuangkan nasib pemain pemain bolasepak tempatan dan pemain asing yang bermain dalam liga Malaysia.
Selepas sahaja perjumpaan bersama Jawatankuasa Tertinggi FIFPro, ini menandakan kongres ini telah sampai ke penghujungnya. PFAM mengambil serius segenap isi yang diterima dalam perbincangan Kongress FIFPros Asia ini kerana isu yang diangkat bukan sahaja untuk kelansungan perjalanan PFAM tetapi ia juga melibatkan rancangan jangka masa panjang untuk pemain bolasepak Malaysia. PFAM mengucapkan jutaan terima kasih kepada seluruh wakil persatuan pemain bolasepak dari sekitar Asia kerana telah memberikan komitmen yang tinggi dalam kongres ini. Banyak input yang diperolehh melalui kongres ini yang dapat membantu mengubah sistem bolasepak dunia.