Kenyataan Presiden PFAM Mengenai Penswastaan Liga & Isu Kontrak Pemain

PENDAHULUAN

  1. Saya mulakan kenyataan saya ini dengan mengucapkan Selamat Tahun Baru kepada semua peminat bolasepak Malaysia dan juga kepada semua yang telah menyokong perjuangan PFAM selama ini.
  2. 2016 sememangnya merupakan tahun yang amat dinanti oleh semua pemegang taruh bolasepak Malaysia kerana tahun ini bakal menyaksikan liga tempatan kita diswastakan setelah sekian lama diselia oleh FAM.
  3. Umum mengetahui, betapa tujuan penswastaan ini adalah untuk membantu meningkatkan nilai komersial bolasepak negara dan secara jangka panjangnya, dengan melalui beberapa proses evolusi yang dipercayai boleh dilakukan menerusi peningkatan kuasa nilai komersial, mampu untuk meningkatkan mutu bolasepak Malaysia.
  4. Secara jujur dan tanpa sekelumit rasa prejudis terhadap niat utama penswastaan ini, saya bersetuju dengan langkah transformasi yang ingin kita lakukan.
  5. Pun begitu, dengan perasaan jujur dan tanpa prejudis yang sama juga, saya melihat, di sebalik usaha keras yang ditonjolkan oleh seluruh warga kerja FM-LLP dalam memahamkan kita berkenaan penswastaan liga dan juga menyusun stuktur dan penjenamaan liga, ruang untuk mengisi kelompongan dalam isu pematuhan kontrak terutamanya berkenaan pembayaran gaji kepada para pemain masih mempunyai kesenjangan yang amat ketara – dan perkara ini secara jelas dan amat mendukacitakan, tidak disentuh oleh pihak FM-LLP.

SITUASI KINI

  1. Secara peribadi, saya melihat tiada usaha yang konkrit dibuat oleh FM-LLP dalam memastikan tiada kes berulang berkenaan isu tunggakan gaji buat para pemain.
  2. Saya maklum, mungkin FM-LLP akan menyatakan bahawa tugas mereka adalah hanya untuk mengawal selia liga dan perkara-perkara yang sejajar dengannya, namun begitu, perlu ditekankan bahawa apalah gunanya kita menswastakan liga sekiranya kes sama masih berulang dan adalah lebih malang apabila kes tersebut adalah pasak utama dalam kancah bolasepak kita.
  3. Gaji, pemain dan permainan bolasepak adalah sebuah rantaian simbiosis yang amat signifikan dalam arus bolasepak moden. Apabila perkara ini tidak dibendung, ia samalah seperti mempunyai sebuah rumah yang rapuh tiangnya, tetapi kita hanya mengecat luarannya sahaja untuk kelihatan baru tanpa menyelesaikan masalah utama rumah tersebut.
  4. Akhirnya, rumah itu akan roboh jua dan segala usaha pembaharuan yang kononnya dibuat, akan jadi sia-sia. Oleh sebab itu, bagi pihak pemain, terutamanya yang sedang dan pernah berhadapan dengan isu ini, penswastaan liga amat dinantikan untuk membawa sebuah perubahan yang baru, seperti seorang rakyat marhein yang menantikan bajet baru pada setiap tahun. Sayangnya, ia tidak terjelma dalam aturan yang dirangka oleh FM-LLP.

CADANGAN

  1. Saya berpendapat, sebagai sebuah syarikat yang mempunyai kuasa untuk menganjurkan sesebuah pertandingan, FM-LLP sepatutnya menggunakan kuasa yang ada untuk membela nasib pemain dan FM-LLP sepatutnya melihat perkara ini sebagai sebahagian kaedah untuk menjaga integriti liga kita.
  2. Sehubungan itu, dengan dada yang terbuka, saya ingin mencadangkan beberapa mekanisme yang boleh dilaksanakan oleh FM-LLP bagi menjaga kebajikan pemain.
  3. Secara umumnya, bayaran tertunggak adalah bayaran yang tidak dibuat mengikut terma yang dipersetujui dan pada tarikh yang ditetapkan, sesuatu bayaran tidak dianggap tertunggak sekiranya:

(a) jumlah dibayar secara penuh; atau

(b) adanya perjanjian bertulis untuk memanjangkan tempoh tarikh pembayaran dibuat; atau

(c) terdapatnya tuntutan perundangan atau sebarang prosiding yang relevan – dengan pasukan berjaya buktikan bahawa prosiding ini bukan bertujuan untuk melengahkan pembayaran.

Oleh hal yang demikian, sekiranya perkara-perkara di atas tidak dipenuhi, maka ia terangkum sebagai bayaran tertunggak dan inilah yang memerlukan kaedah utuk membanterasnya.

  1. Antara langkah atau mekanisme yang boleh dilaksanakan bagi membantu ke arah penyelesaian tunggakan gaji para pemain dari berulang adalah seperti pemotongan geran kepada pasukan, pemotongan hadiah kemenangan atau juga pemotongan wang penyiaran untuk menyelesaikan masalah gaji pemain. Dalam erti kata yang lain, wang tersebut akan terus diserahkan kepada para pemain dan bakinya barulah diberikan kepada pasukan.
  2. Selain itu, penalti seperti pemotongan mata liga juga boleh dikenakan bagi pasukan yang gagal membayar gaji pemain tepat pada waktunya atau mempunyai tunggakan yang melebihi dua bulan.
  3. Memperkenalkan sistem kawalan kewangan yang lebih berdisiplin dan rasional dengan menggalakkan pasukan untuk beroperasi berdasarkan kapasiti kewangan mereka.
  4. Menggalakkan juga pasukan untuk membuat pelaburan jangka panjang bagi menjamin keupayaan kewangan yang stabil.
  5. Memastikan pasukan melunaskan tanggungjawab mereka seperti menyelesaikan segala hutang kepada pemain sebelum bermula musim baharu. Kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan pasukan berkenaan tidak boleh menyertai saingan seterusnya.
  6. Di samping itu, adalah wajar juga untuk sebuah badan ditubuhkan bagi mengawal selia kewangan dan pengurusan gaji pasukan-pasukan agar ia tidak menganiaya pemain. PFAM mencadangkan agar setiap pasukan dikenakan syarat dimana jumlah perbelanjaan gaji mestilah tidak lebih dari 60% dari jumlah keseluruhan perbelanjaan pasukan.
  7. Selain itu, turut dicadangkan, agar setiap pasukan wajib mempunyai jaminan bank sebelum boleh didaftarkan dalam saingan liga agar pemain masih dibayar gaji sekiranya pasukan mempunyai masalah kewangan.
  8. Mungkin cadangan ini dianggap drastik dan radikal, tapi saya percaya, sekiranya kita benar-benar serius untuk memerangi isu tunggakan gaji pemain, cadangan ini perlu dipertimbangkan sebaik-baiknya.

HARAPAN

  1. Akhir kata, tiada salahnya untuk membuat sesuatu perubahan, dan sebaik-baik perubahan adalah perubahan yang memberi manfaat. Sebagai wakil setiap pemain bolasepak profesional di Malaysia, saya mengharapkan agar isu tunggakan gaji pemain ini tidak akan berulang lagi dalam saingan liga swasta 2016.
  2. PFAM amat bersedia untuk berkerjasama dengan FM-LLP bagi mencari penawar mujarab untuk isu ini. Selamat datang 2016, semoga kita tidak pincang dalam melangkah.

 

Hairuddin Omar
Presiden
PFA Malaysia

Share this article:

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp