Bismillahirrahmanirrahim dan selamat sejahtera,
Hari ini, 11 Mei 2016, merupakan tarikh yang menggenapkan tempoh 90 hari yang diberikan oleh pihak FM-LLP kepada pasukan-pasukan yang mempunyai tunggakan bayaran gaji kepada para pemain.
Dukacita dimaklumkan, bahawa sehingga ke tarikh ini, para pemain yang membuat aduan masih belum menerima pembayaran penuh atau sekurang-kurangnya skala pembayaran yang menunjukkan komitmen pasukan untuk menjelaskan tunggakan bayaran kepada mereka.
Bagi kes tunggakan pasukan KAFA, PFAM berasa kecewa apabila KAFA gagal mematuhi jadual bayaran gaji yang telah dipersetujui secara bersama oleh kedua-dua pihak. Bagi kes tunggakan pasukan ATM, sehingga kini, PFAM masih tidak menerima sebarang makluman berkenaan proses pemabayaran yang ingin dibuat. Bagi kes tunggakan Azrul Ahmad pula, PFAM amat berdukacita apabila Jawatankuasa Rayuan FAM masih tidak membuat keputusan berhubung rayuan Felda FC.
Justeru, PFAM mengharapkan agar pihak FM-LLP segera mengambil serius hal ini dan mula mengambil tindakan atau penalti yang setimpal buat pasukan yang masih mendiamkan diri. PFAM ingin mencadangkan, memandangkan jendela perpindahan pemain akan dibuka pada bulan Jun, hukuman seperti sekatan pengambilan/perpindahan pemain dikenakan ke atas pasukan yang masih ingkar untuk membuat bayaran selain dikenakan potongan mata dan sebagainya.
PFAM sememangnya mengharapkan agar badan induk bolasepak negara benar-benar serius dan membuktikan kredibilitinya sebagai sebuah badan neutral dalam menjaga hak dan kebajikan para pemain. PFAM benar-benar menuntut agar badan induk bolasepak negara akhirnya mampu membuktikan sesuatu yang boleh dibanggakan. Sesungguhnya, dalam apa sahaja yang kita lakukan, aset harus diberi keutamaan dan dilindungi, namun, agak ironi, dalam kancah bolasepak Malaysia, aset penting seperti pemain tidak diberikan layanan yang sepatutnya, malah lebih mengecewakan ia dilakukan secara terang-terangan tanpa dikenakan apa-apa.
Semoga Tuhan merahmati bolasepak Malaysia.
Terima kasih