BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM
ASSALAMUALAIKUM DAN SELAMAT SEJAHTERA
- Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan salam musim bolasepak Liga Malaysia 2017. Saya sedar, walaupun musim bolasepak sudah pun memasuki perlawanan keempat, namun tidak keterlaluan untuk saya mengucapkan salam ini sebagai permulaan bicara saya selaku Presiden PFAM pada tahun 2017.
- Secara peribadi, 2017 adalah merupakan tahun yang agak beremosi kepada saya, kerana mungkin ramai yang telah maklum, saya sudahpun mengumumkan persaraan saya sebagai pemain bolasepak profesional setelah berkecimpung dalam dunia ini selama 20 tahun.
- Pun begitu, tugas dan amanah selaku Presiden Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia akan tetap saya langsungkan demi memartabatkan nilai perjuangan para pemain bolasepak profesional di Malaysia pada tahap yang selayaknya.
- Dalam wadah kali ini, saya ingin mengambil sedikit masa untuk berbicara mengenai pemilihan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia yang baru, di mana pemilihannya akan dibuat pada bulan Mac nanti.
- Mungkin pada keramaian orang, pemilihan Presiden dan kepimpinan baru FAM hanyalah dilihat sebagai suatu proses biasa bagi persatuan sukan. Namun bagi kami, yang telah lama mengabdikan diri dalam dunia bolasepak, inilah “pilihanraya umum” yang sangat kami nantikan, kerana jika bolasepak ini umpama sebuah negara, di pilihanraya inilah, kita akan menentukan kelangsungan bolasepak Malaysia untuk generasi seterusnya.
- Saya melihat, pemilihan Presiden tahun ini agak menarik yang membabitkan pertembungan calon heavyweight yang telah dinamakan iaitu Tan Sri Anuar Musa dan Penaung PFAM sendiri, Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim atau lebih dikenali sebagai TMJ. Ternyata, kedua-dua calon mempunyai kredibiliti yang tersendiri dan boleh dikatakan ini adalah antara pemilihan Presiden yang paling menarik di sepanjang tempoh saya terlibat dalam dunia bolasepak.
- Pada saya, dari kaca mata seorang pemain, untuk menjadi seorang Presiden FAM, seseorang itu wajib memenuhi 3 kriteria iaitu pertama, meletakkan FAM sebagai KEUTAMAAN dalam urusan kerjanya, kedua, mempunyai PENGETAHUAN DAN PENGALAMAN dalam asam garam bolasepak Malaysia, dan ketiga, mempunyai NETWORKING yang luas dalam dunia bolasepak samada di dalam dan di luar negara.
- Mengapa saya menggariskan TIGA (3) kriteria ini? Kerana kita perlu akui, bolasepak kita sememangnya memerlukan perhatian yang amat khusus dan kita memerlukan sistem sokongan dan safety net yang besar untuk memastikan iltizam bolasepak Malaysia tercapai dengan jayanya.
- Tempoh 5 tahun pertama selepas pemilihan Presiden dan kepimpinan baru adalah sangat kritikal bagi memandu semula halatuju bolasepak negara dan kita ternyata tidak boleh berkompromi dalam memilih seorang PRESIDEN FAM yang baru.
- Sehubungan itu, berdasarkan kriteria yang telah saya gariskan, dan melihat kepada keperluan semasa dalam bolasepak Malaysia, dan juga tanpa menafikan kredibiliti calon-calon lain, selaku Presiden PFAM, saya amat yakin dan percaya, bahawa individu yang paling layak untuk menjadi Presiden FAM pada pemilihan kali ini adalah Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim (TMJ).
- Perlu dijelaskan, sokongan ini bukan kerana TMJ adalah penaung PFAM, tetapi ia berdasarkan track record DYAM Tunku yang saya kira tidak perlu untuk saya huraikan dengan panjang lagi.
- Pertamanya, berkenaan isu KEUTAMAAN. Secara umumnya, kita pun mengetahui bahawa DYAM Tunku adalah bukan merupakan seorang ahli politik mahupun memegang pelbagai jawatan utama dalam pentadbiran kerajaan. Sekalipun DYAM Tunku mempunyai tugasannya sendiri selaku Tunku Mahkota Johor, namun DYAM Tunku sememangnya mampu memberi keutamaan kepada bolasepak sepertimana dengan apa yang DYAM Tunku lakukan di Johor.
- Inilah yang kita mahukan daripada seorang Presiden FAM yang baru. Seseorang yang boleh menjadikan FAM sebagai keutamaan dalam urusan kerjanya dan bukan menjadikan FAM sebagai hanya jawatan sisipan. Sepertimana yang saya nyatakan tadi, FAM memerlukan seorang Presiden yang benar-benar boleh memberi fokus kepada urusan pentadbiran FAM bagi memastikan segala halatuju yang dibuat oleh FAM dijalankan dengan terperinci dan betul.
- Kedua, isu PENGETAHUAN DAN PENGALAMAN dalam bolasepak Malaysia. Saya kira, seluruh Malaysia dan Asia sedar dan melihat bagaimana kemajuan yang telah ditunjukkan oleh pasukan JDT ketika DYAM Tunku mengambil alih sejak 5 tahun yang lalu.
- DYAM Tunku tahu dan sedar, dalam iklim bolasepak Malaysia, apakah yang perlu dijadikan keutamaan bagi membuat sebuah revolusi dalam bolasepak. DYAM Tunku tahu dan sedar, pencapaian adalah ukuran bagi mendapatkan kepercayaan dan sokongan daripada semua pemegang taruh bolasepak. DYAM Tunku tahu dan sedar, dengan mentaliti dan sikap yang betul, bolasepak Malaysia boleh ditransformasikan ke tahap yang lebih tinggi.
- Inilah yang DYAM Tunku lakukan di JDT, penerapan pengurusan yang cemerlang, yang akhirnya menjelmakan profesionalisme yang tinggi dalam kalangan pegawai, pemain dan juga penyokong, di samping pembinaan infrastruktur dan fasiliti yang bertaraf dunia. Inilah ekosistem yang sangat kondusif yang seterusnya menjadi formula kejayaan JDT hari ini. Bayangkanlah, jika DYAM Tunku mampu melaksanakan perkara yang sama di peringkat nasional.
- Malah bukan dalam isu pengurusan kelab sahaja, selaku Penaung PFAM, DYAM Tunku sememangnya indvidiu yang amat memahami kebajikan para pemain. DYAM Tunku sedar, dalam dunia bolasepak, pemain adalah merupakan aset paling bernilai yang perlu untuk dijaga dan dipelihara.
- DYAM Tunku sudah banyak kali bersuara bagi pihak pemain tatkala pemain dihimpit oleh masalah gaji, malah YM Tunku dengan murah hatinya, telah memberikan sumbangan duit raya bagi pemain-pemain yang terlibat dengan isu tunggakan gaji. Malah, DYAM Tunku turut menyokong usaha penubuhan National Dispute Resolution Chamber (NDRC) yang mana akan menjadikan sistem keadilan yang lebih telus dan berasingan. Inilah Presiden yang kita mahukan, yakni Presiden yang benar-benar memahami nadi dan denyut bolasepak Malaysia.
- Ketiga, berkenaan NETWORKING yang luas. Sememangnya, hubungan baik DYAM Tunku dengan kelab-kelab ternama dunia seperti Valencia dan Borusia Dortmund adalah sangat kritikal bagi membangunkan semula bolasepak Malaysia.
- Kita sememangnya perlu belajar dari yang terbaik, oleh itu, mempunyai jalinan rangkaian yang luas adalah merupakan sistem sokongan dan safety net yang boleh kita gunakan untuk terus memperkasakan sistem pengurusan kelab, sistem pembangunan pemain muda, sistem pembangunan kejurulatihan dan juga pengurusan pasukan kebangsaan.
- Kemasukan kepakaran luar, penyusunan Perlawanan Berkelas A, pendedahan luar negara, adalah elemen-elemen segar yang boleh disuntik oleh DYAM Tunku bagi memperkasakan liga dan juga prestasi bolasepak kebangsaan.
- Berdasarkan penilaian menerusi ketiga-tiga kriteria yang saya nyatakan tadi, kami (PFAM) percaya, betapa TMJ adalah individu yang tepat untuk memikul amanah ini.
- Tanpa menafikan sumbangan dan jasa yang telah diberikan oleh legasi Presiden yang terdahulu dalam pembangunan bolasepak Malaysia, yang kita juga harus berterimas kasih atas sumbangan besar yang diberikan oleh mereka,
- Namun, sekarang adalah waktu untuk menukar baton dalam kepimpinan Presiden bagi memastikan larian yang kita lakukan seterusnya adalah larian yang benar-benar membawa perubahan yang positif kepada bolasepak Malaysia.
- Cuma harus diingatkan, perubahan tidak akan berlaku dengan sekelip mata. Kita tidak boleh mengharapkan bahawa bolasepak Malaysia akan terus berada di puncak sebaik sahaja DYAM Tunku menjadi Presiden. Namun apa yang boleh kita harapkan, dengan hadirnya DYAM Tunku selaku Presiden FAM yang baharu, akan berlaku perubahan mentaliti, dasar dan gerak kerja bagi mentrasnformasikan FAM dan seterusnya bolasepak Malaysia.
Hairuddin Omar
Presiden
PFA Malaysia