WAKILI NEGARA: ANTARA PATRIOTISME DAN KEBAJIKAN PEMAIN

Baru baru ini, Jurulatih Utama Skuad Harimau Malaya berkongsi mengenai satu isu berkenaan pemain bola sepak tempatan yang menolak pelawaan untuk mewakili pasukan kebangsaan bagi Kejohanan AFF sehingga ada pihak melabelkan tindakan ini sebagai suatu tindakan yang tidak patriotik. Adakah benar label ‘tidak patriotik’ ini merupakan perkara yang tepat memandangkan rata-rata pemain yang menolak panggilan ini adalah kelompok yang sama berjuang bermati-matian untuk membawa Malaysia ke Piala Asia secara merit.

Semua pihak perlu kekal bertenang dan membahaskan isu ini secara ilmiah. Secara rangkuman besar, perkara fundamental terhadap isu ini adalah berkenaan soal patriotisme dan soal hak kebajikan para pemain. Sebenarnya, perkara ini bukanlah merupakan perkara yang asing malah ia telah lama mendapat perhatian di landskap bola sepak antarabangsa. Baru-baru ini, Tunku Ismail Sultan Ibrahim juga ada mengeluarkan satu kenyataan mengenai isu ini dan PFAM bersetuju dengan pandangan tersebut.

Kita semua perlu untuk bersetuju, bahawa kalendar perlawanan bola sepak yang sangat padat boleh menjejaskan kesihatan dan prestasi pemain. Sebagai seorang pemain profesional, di mana keseluruhan hidup dan rutin harian mereka adalah perihal jadual latihan, pemakanan dan perlawanan untuk satu tempoh yang lama, adalah sangat wajar untuk para pemain bola sepak mendapatkan rehat serta cuti yang mencukupi – bukan atas dasar untuk memanjakan mereka – tetapi kerana itu adalah hak yang sepatutnya diberikan kepada seseorang yang bekerja.

Dalam satu tinjauan yang dilakukan oleh FIFPRO di dalam Tinjauan Pemain dan Jurulatih Berprestasi Tinggi 2022, 55% daripada pemain menyatakan bahawa mereka berhadapan dengan kecederaan disebabkan oleh jadual perlawanan yang sangat membebankan, 40% daripada pemain bersetuju bahawa jadual perlawanan yang sangat padat memberikan kesan terhadap kesihatan mental mereka dan 50% daripada mereka menyatakan bahawa ‘off season’ mereka telah dipotong kepada separuh oleh kelab dan pasukan kebangsaan disebabkan oleh jadual yang sangat ketat.

Bayangkan sekiranya dalam tempoh setahun, pemain perlu untuk menghadapi lebih daripada 30 perlawanan dan hanya mempunyai rehat kurang daripada 5 hari untuk menghadapi setiap perlawanan. Pasti akan timbul masalah dari sudut prestasi dan kesihatan.

Pemain Tengah Manchester City, Kevin De Bruyne ada mengeluarkan kenyataan di satu sidang media mengenai jadual musimnya yang sangat padat dan meletihkan sehingga beliau melihat Liga Negara Negara UEFA sebagai tidak penting dan membebankan. Perkara ini membuktikan bagaimana jadual yang padat memberikan kesan yang jelas kepada kesihatan mental pemain.

Ditambah pula dengan isu perjalanan antarabangsa secara kerap yang boleh memberikan kesan secara langsung kepada kesihatan pemain. Perubahan zon masa, gangguan ritma harian (jetlag) secara kerap boleh menjadi punca utama.

Kapten pasukan Jepun, Maya Yoshida menyatakan bahawa isu yang dihadapi pemain perlu lebih diberi perhatian terutama sekali apabila melibatkan perjalanan antarabangsa. Beliau yang bermain di liga luar negara dan perlu kembali ke Jepun bagi persediaan Piala Dunia turut berkongsi bagaimana pemain perlu mempunyai kekuatan fizikal yang tinggi untuk berhadapan dengan perjalanan antarabangsa yang kerap.

Mungkin ada yang skeptikal atau secara sinis menyindir kononnya jadual perlawanan yang dilalui oleh para pemain tempatan tidaklah sebanyak para pemain di luar negara, dan itupun tiada pemain luar negara yang menolak panggilan skuad kebangsaan mereka. Namun perlu diingat, di luar negara contohnya di Eropah, tidak ada perlawanan antarabangsa yang diadakan di luar jadual kalendar FIFA. Atas dasar itulah, mereka tidak mempunyai pilihan selain untuk hadir ke kem skuad kebangsaan – sekalipun mereka mengadu kepenatan. Rungutan-rungutan daripada para pemain seperti yang dinyatakan adalah bukti bahawa jika mereka diberi pilihan, mereka juga ingin meminta perlepasan bagi mendapatkan rehat secukupnya.

Justeru, bagi langkah kehadapan, sewajarnya, penstrukturan kalendar perlawanan perlu diperhalusi secara seimbang bagi mencari titik pertemuan yang membawa situasi menang-menang kepada semua pihak. Melabelkan para pemain sebagai tidak patriotik adalah sesuatu yang tidak wajar kerana menyarung jersi kebangsaan adalah impian tertinggi bagi setiap pemain. Namun dalam era bolasepak profesional, keadilan yang sama wajar juga diberikan kepada para pemain agar mereka mendapat rehat yang secukupnya bagi memastikan kelangsungan karier mereka selaku pemain bolasepak profesional. Soal patriotik atau tidak, cukup subjektif untuk diadili. Pemain juga boleh dikatakan patriotik sekiranya pemain menolak panggilan kerana merasakan mereka tidak mampu memberikan aksi terbaik ketika mewakili negara berdasarkan keadaan tubuh badan mereka, dan ‘pengkhianatan’ ini yang tidak sanggup dilakukan oleh pemain. Perlu diingat, jersi negara itu ‘berat’ dengan amanah dan tanggungjawab, bukannya hanya sekadar tujuan populariti mengumpul caps antarabangsa. Inilah sudut pandang yang perlu diperakui oleh semua pihak dalam isu ini.

Perkara lain yang perlu diakui juga, pemain adalah manusia dan bukanlah mesin. Sebagai manusia, pemain juga berhak untuk membuat pilihan, dan pilihan itu wajar dihormati oleh semua. PFAM juga ingin mengucapkan jutaan penghargaan kepada para pemain yang menyahut panggilan skuad kebangsaan dan PFAM percaya mereka akan memberikan perjuangan sehabis baik demi bendera yang mereka wakili. Secara tidak langsung, ia memberikan “national pools” yang lebih besar dan pilihan yang lebih banyak untuk jurulatih bagi mempersiapkan skuad kebangsaan yang lebih baik di masa hadapan. Kita semua sudah menyaksikan, walau siapapun yang dipilih untuk mewakili negara, mereka akan memberikan segala-galanya demi membuktikan bahawa mereka sedia berjuang untuk negara.

Akhirnya, kita semua punya pandangan. Landasan bersetuju untuk tidak bersetuju harus dilalui dengan cermat sekaligus membawa nilai profesionalisme ke tahap yang lebih tinggi. PFAM sentiasa percaya, mengutamakan kebajikan pemain adalah kunci kepada kejayaan yang lebih terjamin disamping kekal kompetitif untuk meningkatkan kualiti pasukan kebangsaan kita.

PFA MALAYSIA

Share this article:

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp