PFAM & KEFWA Gabung Tenaga Bantu Pemain Kenya Ditipu Ejen Palsu

● Pemain bolasepak Kenya, Davis Agesa Amuzu menyangka beliau akan menyertai sebuah kelab di Malaysia.

● Beliau telah ditipu oleh ejen palsu dan terkandas di Malaysia selama empat bulan.

● Persatuan pemain di Kenya dan Malaysia yang disokong oleh FIFPRO dan FIFPRO Afrika telah mengatur perjalanan pulang beliau.

Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) dan Kenya Footballers Welfare Association (KEFWA), bersama sama dengan FIFPRO dan FIFPRO Afrika, telah membantu seorang pemain bola sepak Kenya yang berada dalam keadaan terdesak untuk pulang ke negara asalnya selepas beliau ditipu oleh seorang ejen palsu.

Davis Agesa Amuzu yang baru sahaja menamatkan musim dalam liga teratas Kenya, didekati oleh seorang jurulatih tempatan dari Kenya yang mengatakan bahawa beliau mengenali seseorang yang boleh membantu beliau mencari kelab di luar negara.

Melalui media sosial, Agesa Amuzu diperkenalkan kepada seorang dari Ivory Coast yang mengatakan bahawa beliau merupakan seorang ejen dan akan membantu pemain tersebut menyertai kelab profesional di Malaysia.

Walaupun ejen tersebut tidak mendedahkan nama kelab Malaysia tersebut, pemain tersebut sangat berminat dan berharap impian untuk bermain di luar negara dan mendapatkan pendapatan yang mencukupi untuk menyokong keluarganya akan menjadi kenyataan.

Agesa Amuzu mempercayai ejen tersebut walaupun mereka hanya berkomunikasi melalui media sosial. Beliau memenuhi semua keperluan untuk membolehkannya berpindah ke kelab di Asia yang mana beliau telah membayar visa, pasport, tiket dan juga membayar ejen sejumlah EUR4,000.

Agesa Amuzu mengharapkan beliau akan mendapat pulangan pelaburan ini apabila beliau bermain untuk kelab baru tersebut.

Namun, perkara tersebut tidak pernah berlaku.

Agesa Amuzu tiba di Malaysia pada 18 Mei 2023. Ejen telah memberitahunya bahawa selepas ketibaan di Malaysia, beliau perlu menghubungi seorang “kawan”, yang akan menjemputnya dari lapangan terbang untuk menguruskan penginapan dan membawanya ke kelab baru. Namun, individu tersebut tidak membalas sebarang panggilan atau mesej dari Agesa Amuzu, begitu juga ejen dari Ivory Coast tersebut.

Selepas berada di lapangan terbang hampir sehari, Agesa Amuzu mengambil keputusan untuk mencari penginapan, dan menginap di hotel berdekatan selama beberapa hari sehingga beliau kehabisan wang. Beliau telah meninggalkan hotel dan tinggal di jalanan untuk beberapa hari, sehingga seorang lelaki menjemputnya untuk tinggal di tempatnya, dengan syarat bahawa beliau membayar sebahagian dari sewa tempat tinggal tersebut.

Agesa Amuzu menghubungi keluarganya di Kenya untuk mendapatkan bantuan kewangan. Keluarga beliau mendapatkan bantuan daripada komuniti dan media sosial untuk mengumpul dana bagi menyokongnya. Malangnya, ini juga menyebabkan beberapa orang menipu keluarga beliau dan mengambil sebahagian besar dana yang dikumpulkan.

Menerima maklumat dari mesej keluarga di media sosial, Persatuan Pemain Kenya (KEFWA) menghubungi mereka untuk menghulurkan bantuan. Bersama-sama dengan FIFPRO Afrika dan Persatuan Pemain-Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM), perbincangan telah diadakan untuk mencari cara terbaik untuk menyokong pemain tersebut.

Kedutaan Kenya di Malaysia telah ditemui untuk membantu menyelesaikan masalah denda menetap melebihi tempoh yang dibenarkan dan menguruskan dokumen perjalanan beliau, serta menyusun penerbangan pulang Agesa Amuzu ke Kenya. Lebih kurang empat bulan selepas meninggalkan negaranya, pemain tersebut kembali ke Nairobi pada 27 September 2023.

“Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada PFA Malaysia, KEFWA, kedutaan Kenya dan FIFPRO, yang sentiasa bersama saya ketika saya berada dalam kesusahan di Malaysia,” kata Agesa Amuzu. “Mereka membantu dan membimbing saya melalui kesusahan yang saya alami.”

Ejen Palsu: Amaran Kepada Pemain

 

Kisah Agesa Amuzu sejajar dengan kempen yang dilancarkan oleh FIFPRO Afrika dan FIFPRO Asia dengan kerjasama Yayasan Didier Drogba dan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) tahun ini, untuk mendidik pemain bola sepak tentang risiko yang berkaitan dengan individu yang berpura-pura menjadi ejen. Antara perkara yang perlu dititikberatkan oleh pemain untuk memastikan kes penipuan melibatkan ejen palsu dapat dihindarkan ialah:

● Sahkan pendaftaran ejen dengan persatuan bola sepak atau lesen FIFA mulai Oktober 2023.
● Jangan membuat sebarang pembayaran kepada ejen sebelum menandatangani kontrak dengan kelab.
● Jangan menandatangani perjanjian dengan ejen tanpa mendapatkan nasihat undang-undang terlebih dahulu.

Share this article:

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp