Pada 21 Ogos 2025, Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) telah mengadakan kunjungan hormat ke Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) di Putrajaya sebagai sebahagian daripada usaha berterusan dalam memperkukuhkan perlindungan kebajikan serta hak-hak pemain bola sepak profesional di negara ini.
Kunjungan tersebut diketuai oleh Pemangku Presiden PFA Malaysia En. Razman Roslan, Ketua Pegawai Eksekutif En. Izham Ismail bersama Eksekutif persatuan, dan disambut mesra oleh Puan Betty Hassan, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia.
Antara perkara utama yang dibincangkan merangkumi aspek kesedaran mengenai hak pekerja yang diperuntukkan di bawah Akta Kerja 1955 serta undang-undang lain yang terlibat. Fokus turut diberikan kepada penambahbaikan struktur kontrak pekerjaan melibatkan pemain bola sepak, termasuklah mekanisme bagi penyelesaian pertikaian berhubung tuntutan kontrak antara pemain dan kelab. Dalam masa yang sama, turut diperkukuhkan usaha kerjasama strategik bagi memperluas penerangan serta advokasi kepada para pemain mengenai hak mereka sebagai pekerja profesional.
Menurut Izham, kunjungan ini penting bagi memastikan suara pemain bola sepak didengari di peringkat pembuat dasar, di samping membina hubungan erat dengan pihak Jabatan Tenaga Kerja.
“PFAM komited untuk memastikan setiap pemain mendapat perlindungan sewajarnya sebagai pekerja profesional. Melalui kerjasama erat dengan JTKSM, kami yakin usaha ini dapat memberikan manfaat besar bukan sahaja kepada pemain, malah kepada ekosistem bola sepak tempatan secara keseluruhan,” jelas beliau.
Sementara itu, pihak JTKSM turut menyambut baik inisiatif PFAM dan menegaskan kesediaan mereka untuk terus bekerjasama dalam memastikan undang-undang buruh dilaksanakan secara adil terhadap semua golongan pekerja termasuk atlet profesional.
Kunjungan hormat ini menandakan langkah ke hadapan dalam memperkukuh hubungan strategik antara PFAM dan agensi kerajaan, seiring dengan misi PFAM untuk menyokong pemain, membina permainan, serta mempertingkatkan standard profesionalisme bola sepak di Malaysia.
Gambar penuh : https://www.facebook.com/share/1Az2icVSLB/