Pada 10 September 2025, Persatuan Pemain Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFA Malaysia) meneruskan siri #PFAMTour2025 dengan mengadakan kunjungan hormat ke Negeri Sembilan FC bertempat di Wisma PBNS, Seremban. Kunjungan ini bertujuan memperkukuh hubungan bersama pasukan, di samping menyampaikan maklumat penting berkaitan hak, kebajikan, serta pembangunan pemain bola sepak profesional.
Turut hadir dalam sesi kali ini, Ketua Pegawai Eksekutif PFA Malaysia, En. Izham Ismail, yang menekankan pentingnya hak dan kebajikan pemain terus dipelihara. Beliau turut menegaskan komitmen PFA Malaysia untuk menjadi suara utama pemain dalam memastikan mereka diberi perlindungan sewajarnya, selaras dengan piawaian bola sepak profesional.
Selain itu, Robbie Gaspar, wakil daripada FIFPRO Asia/Oceania turut berkongsi mengenai peranan FIFPRO, badan antarabangsa yang mewakili lebih 60,000 pemain bola sepak profesional di seluruh dunia. Penerangan ini memberi pencerahan kepada pemain Negeri Sembilan FC tentang jaringan sokongan global yang melindungi kepentingan mereka.
Sebagai pengisian edukasi terbaharu, sesi kali ini turut menampilkan En. Kamarul Akhir dari Asiana.my, yang memberikan penerangan mengenai tatacara dan prosedur bergambar pasukan di padang. Perkongsian ini diharap dapat membantu pasukan mengekalkan standard imej profesional dalam setiap sesi bergambar rasmi.
Untuk sesi ini juga, telah diadakan satu sesi pengundian oleh para pemain Negeri Sembilan FC bagi FIFPRO World 11 2025, iaitu pemilihan tahunan pemain terbaik dunia yang dianjurkan oleh FIFPRO.
Kunjungan ini diakhiri dengan acara simbolik, iaitu penyerahan pennant PFA Malaysia kepada Kapten Negeri Sembilan FC, Khuzaimi Piee, sebagai tanda penghargaan dan jalinan kerjasama erat antara kedua-dua pihak.
Dengan penganjuran #PFAMTour2025, PFA Malaysia akan terus komited dalam memperkukuh hubungan dengan pasukan-pasukan Liga Malaysia serta memastikan hak, kebajikan, dan pembangunan pemain sentiasa menjadi keutamaan.
📸 Shamim Asiana.my
#PFAMalaysia
#SupportingThePlayers
#BuildingTheGame