
Pada 30 September 2025, Persatuan Pemain-Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) telah mengadakan satu kunjungan hormat ke Jabatan Perhubungan Perusahaan Malaysia (JPPM) di Putrajaya sebagai usaha memperkukuh hubungan strategik serta memperluaskan kerjasama dalam memperjuangkan hak dan kebajikan pemain bola sepak profesional di negara ini.
Kunjungan tersebut turut dihadiri oleh barisan eksekutif PFA Malaysia yang diketuai oleh eksekutif perundangan PFAM, En. Asyraf Zulkefle dan disambut mesra oleh Ketua Pengarah Jabatan Perhubungan Perusahaan Malaysia, YBrs. En. Aminuddin Ab. Rahman. Turut hadir mewakili JPPM ialah:
- En. Dedua anak Taim @ Tiam, Pengarah Bahagian Pemulihan Kerja dan Pengurusan Rundingan Damai JPMM
- Puan Rodzilah binti Mohd Anoar, Pengarah Bahagian Pertikaian Perusahaan JPMM
- En. Mohd Redzuan bin Abdullah, Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Perundangan
- Puan Zarina binti Mohd Sarip, Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Pertikaian Perusahaan
Dalam pertemuan itu, kedua-dua pihak telah membincangkan pelbagai aspek berkaitan hak perburuhan, penyelesaian pertikaian secara adil, serta peranan JPP dalam membantu memastikan hubungan industri yang lebih harmoni dan profesional antara pemain, kelab serta pihak berkepentingan lain dalam ekosistem bola sepak tempatan.
Sebagai makluman, Jabatan Perhubungan Perusahaan Malaysia (JPPM) merupakan agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia (KSM) yang berperanan penting dalam menggalakkan dan mengekalkan hubungan perusahaan yang harmoni antara majikan, pekerja dan kesatuan sekerja.
JPP juga bertanggungjawab dalam menyelesaikan pertikaian perhubungan perusahaan melalui rundingan damai, timbang tara dan kaedah penyelesaian yang adil serta berpaksikan undang-undang.
PFA Malaysia turut berkongsi aspirasi dan komitmen persatuan dalam meningkatkan tahap kesedaran pemain terhadap hak mereka sebagai pekerja profesional, selain berhasrat untuk terus bekerjasama dengan agensi kerajaan seperti JPP bagi memperkukuh perlindungan perundangan dan kebajikan pemain.
Kunjungan ini mencerminkan komitmen berterusan PFA Malaysia dalam memperjuangkan landskap bola sepak yang lebih profesional, telus dan berdaya saing selaras dengan matlamat untuk membina masa depan industri sukan negara yang mampan.





