PFAM & FIFPRO Gabung Tenaga Bantu Pemain Mauritania Yang Terkandas Di Malaysia Selama 10 bulan

 

PFAM baru-baru ini telah menerima makluman daripada FIFPRO berhubung kes seorang pemain bola sepak dari Mauritania, Youssouf Wade, yang telah terkandas di Malaysia selama 10 bulan.

Pemain tersebut sebelum ini pernah beraksi bersama sebuah kelab tempatan. Namun akibat masalah dalaman kelab, beliau gagal memperbaharui pas lawatan dan pasportnya, sekali gus menyebabkan beliau tidak dapat meninggalkan Malaysia.

Bertindak atas makluman tersebut, PFAM dan FIFPRO telah bekerjasama rapat bagi membantu mengatur perjalanan pulang beliau ke negara asal. PFAM turut bekerjasama dengan Kedutaan Mauritania di Indonesia untuk mendapatkan Dokumen Perjalanan Kecemasan (DPK) bagi membolehkan proses kepulangan dilaksanakan.

Selain itu, PFAM juga membantu pemain berkenaan memperoleh Pas Istimewa daripada Jabatan Imigresen Malaysia menerusi Program Repatriasi Migran yang merupakan satu inisiatif bagi memudahkan penghantaran pulang warga asing secara teratur, selamat dan bermaruah.

Kerjasama ini turut disokong oleh Barbara Mere (FIFPRO Legal Counsel), En. Asyraf Zulkefle (Eksekutif Perundangan PFAM) dan Hanani Azrin (Eksekutif Pentadbiran PFAM) yang memainkan peranan penting dalam memastikan proses ini berjalan lancar.

PFAM kekal komited untuk terus melindungi kebajikan dan hak semua pemain bola sepak profesional di Malaysia, tanpa mengira warganegara.

Share this article:

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp