KUNJUNGAN HORMAT PFA MALAYSIA KE KEDAH FA DALAM #PFAMTOUR2025

 

Pada 16 Disember 2025, Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFA Malaysia) meneruskan siri jelajah #PFAMTour2025 dengan mengadakan kunjungan hormat ke Persatuan Bola Sepak Kedah yang berlangsung di Stadium Sultan Abdul Halim, Alor Setar. Kunjungan ini bertujuan untuk memperkukuh hubungan strategik bersama kelab serta menyampaikan maklumat penting berkaitan hak, kebajikan dan pembangunan pemain bola sepak profesional di Malaysia.

Kunjungan ke Kedah FA ini merupakan lawatan pertama PFA Malaysia ke sebuah kelab yang beraksi dalam Liga A1, sekali gus menandakan komitmen berterusan PFA Malaysia untuk mendekati semua peringkat liga bola sepak tempatan.

Ketua Pegawai Eksekutif PFA Malaysia, En. Izham Ismail, hadir dalam sesi ini dan menegaskan komitmen berterusan PFA Malaysia dalam memperjuangkan hak serta kebajikan pemain. Beliau menekankan peranan PFA Malaysia sebagai suara utama pemain, selain memastikan perlindungan dan sokongan yang sewajarnya selari dengan standard profesional industri bola sepak.

Sesi ini turut menampilkan Wan Zack Haikal, selaku Ahli Jawatankuasa PFA Malaysia, yang berkongsi penerangan dan pengalaman beliau sebagai seorang pemain bola sepak profesional. Perkongsian tersebut merangkumi realiti kehidupan seorang pemain, aspek kerjaya, kebajikan, hak dan tanggungjawab profesional, serta cabaran yang dihadapi sama ada di dalam mahupun di luar padang. Perspektif daripada sudut pandang pemain ini memberikan kefahaman yang lebih menyeluruh kepada para pemain yang lain.

Sebagai sebahagian daripada pengisian program, satu sesi soal jawab (Q&A) yang interaktif turut diadakan melibatkan para pemain serta wakil pengurusan kelab. Sesi ini membuka ruang perbincangan mengenai isu-isu semasa berkaitan kebajikan pemain dan mengenal pasti langkah penambahbaikan yang boleh dilaksanakan secara bersama demi memastikan kesejahteraan pemain terus terpelihara.

Dalam sesi yang sama, PFA Malaysia turut menerangkan peranan FIFPRO, badan induk global yang mewakili lebih daripada 60 kesatuan pemain profesional di seluruh dunia, termasuk PFA Malaysia sebagai ahli rasmi. FIFPRO memainkan peranan penting dalam melindungi hak, kebajikan dan keselamatan pemain di peringkat antarabangsa, selain menyediakan akses kepada dasar, garis panduan dan inisiatif global merangkumi keselamatan kontrak, kesihatan mental, pembangunan kerjaya serta peralihan selepas persaraan.

Kunjungan ini diakhiri dengan acara simbolik penyerahan pennant PFA Malaysia kepada wakil Kedah FA, En. Ahmad Shakir Jamaludin, sebagai tanda penghargaan dan jalinan kerjasama erat antara kedua-dua pihak.

Melalui penganjuran #PFAMTour2025, PFA Malaysia kekal komited untuk memperkukuh hubungan dengan pasukan-pasukan Liga Malaysia serta memastikan hak, kebajikan dan pembangunan pemain terus menjadi keutamaan dalam usaha memajukan industri bola sepak profesional negara.

Share this article:

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp