KUNJUNGAN HORMAT PFA MALAYSIA KE TERENGGANU FC DALAM #PFAMTOUR2025/26

 

Pada 27 Januari 2026, Persatuan Pemain Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFA Malaysia) meneruskan siri jelajah #PFAMTour2025/26 dengan mengadakan kunjungan hormat ke Terengganu FC. Kunjungan ini berlangsung di Ar-Riyadah Residence, Kuala Terengganu dan merupakan sebahagian daripada inisiatif berterusan PFA Malaysia dalam memperkukuh hubungan strategik bersama kelab-kelab bola sepak tempatan.

Kunjungan tersebut bertujuan untuk menyampaikan maklumat penting berkaitan hak, kebajikan serta pembangunan pemain bola sepak profesional di Malaysia. Sesi ini turut menjadi platform perbincangan dua hala antara PFA Malaysia dan para pemain Terengganu FC mengenai isu-isu semasa pemain, struktur sokongan kelab, serta inisiatif bagi mempertingkatkan kesejahteraan pemain secara menyeluruh, sama ada di dalam mahupun di luar padang.

Sebagai sebahagian daripada pengisian program, satu sesi soal jawab (Q&A) interaktif telah diadakan melibatkan para pemain serta wakil pengurusan kelab. Sesi ini membuka ruang perbincangan konstruktif mengenai isu-isu kebajikan pemain, sambil mengenal pasti langkah-langkah penambahbaikan yang boleh dilaksanakan secara bersama bagi memastikan kesejahteraan pemain terus terpelihara.

Dalam sesi yang sama, PFA Malaysia turut menerangkan peranan FIFPRO, badan induk global yang mewakili lebih daripada 60 kesatuan pemain profesional di seluruh dunia, termasuk PFA Malaysia sebagai ahli rasmi. FIFPRO memainkan peranan penting dalam melindungi hak, kebajikan dan keselamatan pemain di peringkat antarabangsa, selain menyediakan akses kepada dasar, garis panduan dan inisiatif global merangkumi keselamatan kontrak, kesihatan mental, pembangunan kerjaya, serta peralihan selepas persaraan.

Selain itu, para pemain Terengganu FC turut mengambil kesempatan untuk mendaftar dan memperbaharui keahlian sebagai ahli PFA Malaysia, sekali gus memperkukuh jaringan sokongan serta meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan perlindungan hak dan kebajikan pemain profesional.

Turut hadir dalam sesi ini ialah Ketua Pegawai Eksekutif PFA Malaysia, En. Izham Ismail, yang menegaskan komitmen persatuan dalam memastikan kebajikan dan hak pemain terus menjadi keutamaan seiring dengan pembangunan bola sepak profesional negara.

Sesi kunjungan ini diakhiri dengan pertukaran pennant sebagai simbolik jalinan kerjasama antara PFA Malaysia dan Terengganu FC. Pertukaran tersebut disempurnakan oleh Exco PFA Malaysia, Ubaidullah Shamsul, yang juga merupakan pemain Terengganu FC, kepada En. Mohd Syahrizan Mohd Zain, Ketua Pegawai Operasi Terengganu FC. Sementara itu, plak penghargaan diserahkan oleh En. Sheikh Farouk Sheikh Mohamed Al-Bajrai, Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu FC, kepada Ketua Pegawai Eksekutif PFA Malaysia, En. Izham Ismail.

PFA Malaysia merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada pihak pengurusan Terengganu FC atas kerjasama serta komitmen yang diberikan dalam menjayakan program ini. Sokongan yang ditunjukkan amat dihargai dan menjadi faktor penting dalam memastikan kelancaran pelaksanaan sesi serta keberkesanan pengisian program bersama para pemain.

PFA Malaysia percaya bahawa hubungan kerjasama yang erat antara persatuan pemain dan kelab merupakan kunci kepada pembinaan ekosistem bola sepak yang lebih mampan dan profesional. Menerusi siri #PFAMTour2025/26, PFA Malaysia kekal komited untuk terus mendekati kelab-kelab Liga Malaysia bagi memastikan suara pemain sentiasa didengari, dilindungi dan diperkasakan selaras dengan aspirasi pembangunan bola sepak negara.

Share this article:

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp