
Persatuan Pemain Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFA Malaysia) telah mengadakan kunjungan hormat ke Kelantan Red Warrior FC bertempat di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh hubungan strategik antara persatuan pemain dan kelab bola sepak tempatan.
Kelantan Red Warrior FC merupakan kelab kedua yang dikunjungi oleh PFA Malaysia dalam siri lawatan ke kelab-kelab yang beraksi dalam Liga A1, sebagai usaha berterusan untuk memahami situasi dan keperluan pemain di peringkat liga serta memperkukuh kerjasama bersama kelab.
Kunjungan ini diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif PFA Malaysia, En. Izham Ismail, bersama barisan Eksekutif PFA Malaysia, dan disambut mesra oleh En. Nik Khuzaimi Nudin, Ketua Pegawai Operasi Kelantan Red Warrior FC.
Program kunjungan ini bertujuan menyampaikan maklumat penting berkaitan hak, kebajikan, dan pembangunan pemain bola sepak profesional di Malaysia. Ia turut menjadi platform perbincangan dua hala antara PFA Malaysia dan para pemain Kelantan Red Warrior FC mengenai isu-isu semasa, sokongan daripada kelab, serta inisiatif bagi mempertingkatkan kesejahteraan pemain secara menyeluruh, sama ada di dalam mahupun di luar padang.
Sebagai sebahagian daripada program, satu sesi soal jawab (Q&A) interaktif telah diadakan melibatkan pemain dan wakil pengurusan kelab. Sesi ini membuka ruang perbincangan konstruktif mengenai kebajikan pemain serta mengenal pasti langkah-langkah penambahbaikan yang boleh dilaksanakan bersama untuk memastikan kesejahteraan pemain terus terpelihara.
Selain itu, kehadiran PFA Malaysia juga memberi peluang kepada ahli dan pemain untuk memperbaharui keahlian sedia ada serta membuka pendaftaran keahlian baharu, selari dengan komitmen PFA Malaysia dalam memperluaskan jaringan keahlian dan memastikan lebih ramai pemain dilindungi di bawah payung persatuan pemain.
Kunjungan ini juga menekankan peranan PFA Malaysia sebagai ahli gabungan FIFPRO, badan global yang mewakili pemain bola sepak profesional di seluruh dunia, dengan fokus terhadap hak, kebajikan, dan profesionalisme pemain.
Sebagai simbol, pennant PFA Malaysia telah diserahkan kepada kapten Kelantan Red Warrior FC, Arham Khusyairi dan PFA Malaysia merakamkan penghargaan atas sambutan mesra pihak pengurusan Kelantan Red Warrior FC. Semoga jalinan kerjasama ini dapat diteruskan demi pembangunan bola sepak yang lebih mampan.


