Generasi Yang Hilang

Minggu lepas saya menerima kunjungan bekas penyerang Harimau Muda, saudara Izzaq Faris di pejabat PFAM. Orangnya tinggi, berbadan sasa dan mempunyai pesona tersendiri. Selama satu jam kami berbual, mengenang gol kemenangan yang dijaringkan beliau ketika Sukan Sea 2011 yang melayakkan kita ke final, bercerita tentang pengalaman beliau bersama skuad juara AFF Suzuki 2010, bertanyakan khabar kecederaan yang beliau alami dan impiannya dalam dunia bola sepak. Ternyata beliau seorang yang amat baik budi pekertinya dan kuat jati diri. Malah, masih kuat kedengaran loghat Terengganunya di sepanjang perbualan kami itu.

Pada saya, Izzaq adalah merupakan sebahagian dari permata muda kepada bola sepak negara kita. Hakikatnya, kita mempunyai ramai pemain muda berbakat daripada skuad Harimau Muda yang rata-ratanya adalah seangkatan Izzaq. Wan Zack Haikal, Rozaimi Rahman, Hazwan Bakri, Irfan Fazail, Nazmi Faiz, Syahrul Azwari, Thamil Arasu, Shakir Ali adalah antara nama-nama yang pernah mencetuskan fenomena dalam kalangan peminat bola sepak negara. Melihat kepada aksi mereka tatkala mewakili Harimau Muda, ia memberikan kita kepuasan dan lebih penting – harapan untuk kembali meletakkan bola sepak kita di landasan yang tertinggi. Kehadiran mereka telah meyakinkan kepada kita – pencinta bola sepak Malaysia – bahawa kita tidak pernah ketandusan bakat yang berkualiti.

Namun, itu semua adalah singkapan memori emas di zaman kegemilangan mereka di Harimau Muda. Entah di mana silapnya, sinaran emas tersebut tidak berterusan memancar ketika mereka sudah menjadi ‘graduan’ Harimau Muda. Tamatnya khidmat bersama Harimau Muda, masing-masing memilih haluan sendiri dengan menyertai pasukan negeri atau kelab. Saya amat positif dengan laluan ini, kerana saya percaya permainan mereka akan semakin matang apabila bermain bersama senior-senior pasukan dan seterusnya akan membantu pencapaian bola sepak negara.

Walaubagaimanapun, seperti ada ‘sumpahan’, satu per satu daripada kelompok permata muda ini mengalami kecederaan yang seterusnya membantutkan pembangunan karier mereka dan memutuskan momentum kecemerlangan mereka ini. Bagi yang tidak cedera, mereka ini tenggelam dek persaingan merebut posisi terutamanya dengan pemain import kerana posisi mereka adalah merupakan posisi ‘popular’ dalam pasukan. Malah, lebih sedih bila ada jurulatih yang tidak mempunyai kepercayaan menggunakan pemain-pemain muda ini lantas tidak membantu untuk membantu perkembangan karier mereka. Inilah masalah yang sedang berlaku, yang dikhuatiri jika ini berterusan, ia akan membawa kepada pembaziran bakat bola sepak negara.

Pandangan saya mempunyai asasnya. Ketika mereka ini berada dalam program Harimau Muda, mereka sudah didedahkan dengan banyak perlawanan berkompetitif tinggi. Mereka merantau ke bumi Slovakia, berkelana di setiap pelusuk Eropah, bermain di liga luar negara dan ada juga yang pernah mewakili pasukan luar negara sama ada secara kekal atau pinjaman. Ini semua adalah proses untuk mematangkan mereka, meningkatkan daya saing mereka, membentuk mentaliti kemenangan serta mengasah kemahiran individu. Bersama mentor mereka, Datuk Ong Kim Swee – pakar pembangunan pemain muda – mereka telah membesar dalam persekitaran yang sangat kompetitif tanpa sebarang pengaruh luar. Mereka dijaga, dilindungi serta hidup di dalam satu unit dan tidak keterlaluan saya katakan, masa mereka bersama rakan-rakan sepasukan lebih lama berbanding masa dengan keluarga. Sebab itu, saya mengibaratkan Harimau Muda sebagai sebuah akademi untuk menyediakan mereka ini menghadapi ‘dunia sebenar’ iaitu kancah bola sepak profesional.

Tapi sayang, ia seolah-olah tidak menjadi. Kecederaan adalah musuh utama. Saya mungkin bukan orang yang tepat untuk mempersoalkan hal ini kerana saya bukan pemain profesional atau pakar perubatan, tetapi mengapa begitu mudah mereka ini mengalami kecederaan? Malah, ada yang mengalami kecederaan yang sama berulang kali. Lebih parah, kecederaan yang dialami bukannya sehari dua, tetapi mengambil masa yang sangat lama bahkan ada yang tidak beraksi selama satu musim akibat kecederaan. Inilah yang merisaukan, adakah disebabkan oleh fizikal mereka yang tidak tahan lasak? Atau training workload yang tidak sesuai? Atau corak pemakanan yang tidak dijaga? Atau banyak lagi atau, atau dan atau? Perkara ini harus diberikan penekanan yang serius kerana kita tidak mahu generasi permata baru yang sudah dibentuk ini tercicir dan seterusnya hilang dalam kancah bola sepak negara. Isu kepercayaan juga adalah faktor. Perasaan kurang yakin jurulatih untuk menggunakan pemain-pemain muda ini boleh menyebabkan bola sepak kita ‘lumpuh’ kerana pemain-pemain muda ini tidak dapat berkembang akibat kekurangan aksi. Dengan ura-ura Harimau Muda akan dibubarkan, saya khuatir generasi baru tidak mempunyai platform untuk bermain yang seterusnya akan membawa kepada lebih banyak pembaziran bakat.

Sepatutnya, inilah nama-nama yang patut mengisi skuad AFF Suzuki 2014. Mereka hadir dari Harimau Muda, dan mereka inilah yang sepatutnya menjadi kesinambungan pasukan Harimau Malaya. Tanpa menafikan kualiti yang ada dalam skuad Harimau Malaya ketika ini, saya berpendapat adalah menjadi kerugian apabila generasi permata muda ini tidak berada dalam skuad senior negara bagi memberikan impak yang lebih segar dan dinamik. Bahkan saya percaya, sekiranya generasi ini cergas dan bermain selalu, Dollah Salleh pasti gembira kerana mempunyai pilihan bakat yang ramai. Harus diingat, kejayaan bersejarah AFF Suzuki 2010 adalah hasil daripada pemain-pemain muda yang rata-ratanya berusia 24 tahun ke bawah. Ketika ini, hanya Gary Steven Robat menjadi satu-satunya pemain bawah 23 tahun di dalam skuad senior negara dan kalau boleh, kita mahu lebih ramai Gary dalam skuad senior.

Sesuatu harus dilakukan. Saya gelarkan mereka ini sebagai “generasi yang hilang”. Ketiadaan mereka telah menyebabkan satu jurang antara pasukan Harimau Malaya dan Harimau Muda sedangkan ia harus mempunyai kesinambungan yang berterusan. Pemain-pemain berpotensi besar seperti Farhan Roslan, Wan Zairulnizam dan juga adik Najmuddin (Harimau Muda D) harus diperkasakan agar mereka boleh dijadikan pilihan dalam skuad senior negara. PFAM juga akan membantu dalam merangka usaha pembangunan pemain-pemain muda dengan menjemput pencari-pencari bakat luar negara untuk melihat pemain-pemain muda ini beraksi. Ini juga adalah sebahagian dari objektif PFAM yang bukan sahaja menjaga hak dan kebajikan pemain, malah turut membantu pembangunan karier mereka. Hasil jaringan yang dibuat PFAM bersama rakan-rakan PFA dari luar negara, ternyata peluang untuk pemain-pemain muda Malaysia adalah sangat cerah. Terpulanglah kepada pemain itu sendiri untuk menghargai peluang yang diberikan. Mentaliti profesional harus bermula dari bawah.

Akhir kata, semoga pembangunan bakat muda terus diperkasakan dan percayalah, kalau betul cara susunannya, bakat muda inilah yang akan menempatkan semula Malaysia dalam peta bola sepak dunia.

Tatkala saya mengiringi Izzaq ke pintu pejabat selepas tamat perbualan kami, sambil berjabat tangan, Izzaq berkata kepada saya “Doakan saya segera sembuh, saya sangat rindu untuk kembali menyarung jersi negara”.

Amin.

 

Izham Ismail
Ketua Pegawai Eksekutif
PFA Malaysia

Share this article:

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp