KENYATAAN MEDIA PFA MALAYSIA BERHUBUNG BANTUAN DANA FIFA

KENYATAAN MEDIA PFA MALAYSIA BERHUBUNG BANTUAN DANA FIFA

1. PFA Malaysia (PFAM) ingin memaklumkan bahawa pihak PFAM telah pun menerima makluman daripada pihak FIFPRO berkenaan bantuan dana yang disediakan oleh pihak FIFA.

2. Sebagai makluman, dana ini adalah merupakan dana khas yang disediakan di bawah FIFA Fund for Football Players (FFP), yang merupakan sebuah inisiatif secara bersama oleh FIFA dan FIFPRO bagi membantu para pemain dari seluruh pelusuk dunia yang masih mempunyai tunggakan bayaran daripada pasukan yang telah disahkan tutup atau muflis.

3. Menerusi PFAM, sebanyak 139 permohonan yang telah dibuat, mewakili para pemain tempatan dan import, yang merupakan bekas pemain daripada lima pasukan iaitu Kuantan FA, Marcerra United, Perlis FA, Terengganu City dan Hanelang FC.

4. Senarai 139 orang pemain ini adalah para pemain yang sebelum ini telah pun tampil membuat aduan SECARA RASMI kepada PFAM, dan juga yang telah pun mendapatkan keputusan daripada Jawatankuasa Status FAM dan Kamar Penyelesaian Pertelingkahan (DRC) FIFA bagi kes tunggakan dari tahun 2017 hingga tahun 2019.

5. Secara rasminya, jumlah dana yang diterima bagi 139 orang ini adalah sebanyak USD 389,165.45 (RM 1.61 juta) dan setiap pemain akan menerima nilai yang berbeza mengikut kepada jumlah tunggakan masing-masing.

6. PFAM mengambil maklum dan sedar, sekalipun jumlah yang diterima oleh para pemain bukanlah merupakan jumlah penuh dan mungkin masih tidak mencukupi, namun PFAM berharap melalui penerimaan dana ini, ia sekurang-kurangnya dapat meringankan beban sedia ada yang ditampung oleh para pemain sejak sekian lama.

7. Pun begitu, di sebalik khabar gembira ini, masih ada perkara yang perlu kita semua insafi. Jika melihat kepada statistik yang dikeluarkan oleh FIFA, Malaysia menduduki tangga kedua bagi senarai negara yang membuat permohonan ini. Perkara ini jelas menunjukkan yang kita masih mempunyai tugas yang besar untuk terus meningkatkan kualiti pengurusan bolasepak di Malaysia.

8. Perkara ini juga menjadi petanda betapa bolasepak kita perlu lebih peka berkenaan isu hak dan kebajikan para pemain, khususnya isu bayaran gaji, dan usaha yang lebih giat perlu dibuat bagi menyelesaikan perkara ini, terutamanya pemerkasaan dari segi tadbir urus pasukan, sistem perlesenan dan penguatkuasaan undang-undang.

9. Hal ini adalah perlu, bagi memastikan ekosistem bolasepak Malaysia berada di dalam keadaan yang stabil, sekaligus memastikan kelestarian yang berpanjangan buat mereka yang terlibat secara aktif di dalam kancah bolasepak negara – dan tanggungjawab ini harus didukung oleh semua pemegang taruh bolasepak negara secara kolektif, bukan disandar pada pihak-pihak tertentu sahaja.

10. PFAM ingin mengucapkan terima kasih kepada FIFA dan FIFPRO di atas inisiatif yang dilaksanakan ini, dan berharap agar inisiatif ini akan terus memberi manfaat kepada para pemain bagi fasa yang selanjutnya.

11. Tidak dilupakan juga, sekalung penghargaan kepada pihak FAM, khususnya Unit Undang-Undang FAM, yang turut sama membantu dalam penyediaan senarai nama dan dokumentasi bagi tujuan permohonan dana ini.

12. Namun begitu, sepertimana yang dibangkitkan oleh FAM dalam kenyataan sebelum ini, usaha untuk menuntut baki bayaran akan terus dibuat, dan PFAM akan sentiasa berusaha membantu para pemain dengan menggunakan segala saluran undang-undang yang ada bagi tujuan tersebut.

13. Bagi pihak yang menjadi punca kepada permasalahan ini, PFAM benar-benar menyeru dan menggesa untuk tampil bersemuka dengan para pemain dan seterusnya benar-benar mengambil tanggungjawab untuk menyelesaikan isu ini.

14. Buat masa ini, PFAM sedang di dalam proses komunikasi bersama para pemain yang terlibat, bagi mendapatkan maklumat diperlukan untuk proses pembayaran yang akan dibuat secara terus oleh pihak FIFA dan FIFPRO.

IZHAM ISMAIL
Ketua Pegawai Eksekutif
PFA Malaysia

Share this article:

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp