1. Pengumuman yang dibuat oleh pihak Kerajaan dengan membenarkan pembukaan semula fasiliti sukan outdoor dan indoor pasti disambut gembira oleh seluruh komuniti sukan di Malaysia.
2. Ini merupakan perkara yang amat ditunggu, melihat kepada keadaan industri sukan tempatan yang agak tenat semenjak dunia terkesan dengan wabak pandemik Covid-19.
3. Hal yang sama turut dirasai oleh industri bolasepak tempatan apabila terpaksa mengehadkan pelbagai akitiviti dan program termasuklah dengan membatalkan pertandingan Piala Presiden, Piala Belia dan Liga Futsal Kebangsaan selama 2 tahun berturut-turut.
4. Sehubungan itu, menerusi pengumuman yang telah dibuat ini, PFA Malaysia ingin memohon perhatian daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk menyediakan sebuah pelan alternatif sebagai mekanisme memastikan perkembangan pemain tidak terencat ketika ini.
5. Sepertimana yang kita semua tahu, Piala Presiden dan Piala Belia adalah merupakan pentas pembangunan bakat-bakat pemain muda yang merupakan generasi pelapis bolasepak negara, sementara Liga Futsal Kebangsaan adalah merupakan pentas futsal yang telah diangkat statusnya sebagai sebuah Liga Profesional.
6. Ketiadaan pertandingan ini selama 2 tahun, sudah pastinya telah merencatkan proses pembangunan mereka, dan ini sememangnya akan memberikan kesan besar buat bolasepak negara, lebih-lebih lagi aspek ini merupakan salah satu teras penting dalam misi F:30 iaitu Pertandingan.
7. Para pemain telah meluahkan rasa kecewa dan sedih di atas pembatalan ini, lebih-lebih lagi buat kelompok para pemain yang sudah melepasi had umur kelayakan pertandingan bagi Piala Presiden dan Piala Belia.
8. Sehubungan itu, dengan penuh hormat, PFA Malaysia amat menyokong dan sangat menggalakkan pasukan-pasukan untuk mengadakan siri perlawanan persahabatan atau menganjurkan pertandingan mini sesama sendiri untuk memastikan para pemain mempunyai minit permainan yang secukupnya.
9. Selain itu, PFA Malaysia turut melihat saingan Liga M3 yang masih berada dalam perancangan, untuk menjadi medan pasukan-pasukan melibatkan para pemain Piala Presiden dan Piala Belia ini secara pinjaman, di samping keterbukaan pasukan utama Liga Super dan Liga Perdana untuk menyenaraikan beberapa pemain bagi mengisi skuad kempen Piala Malaysia kelak.
10. PFA Malaysia percaya pihak FAM sudah arif berhubung kawalan pelaksanaan SOP yang ketat, dan ini semestinya tidak akan memberikan sebarang masalah sekiranya saranan ini dijalankan menerusi pemantauan secara berkesan daripada pihak FAM.
11. Bersama kenyataan ini, PFA Malaysia juga ingin menyeru agar semua pihak yang berkenaan dapat memberikan bantuan untuk mempercepatkan proses vaksinasi buat para pemain yang masih belum menerima suntikan vaksin lengkap sebanyak 2 dos mahupun 1 dos bagi membolehkan mereka beraksi dalam pertandingan ini.
12. Maklumat berkenaan hal ini boleh diserahkan melalui pasukan masing-masing kepada pihak FAM, bagi membolehkan data yang tepat boleh diberikan kepada pihak berkenaan agar urusan vaksinasi ini boleh diaturkan dengan lancar.
13. PFA Malaysia khuatir, sekiranya hal ini tidak dijaga dengan sebaiknya, misi F:30 yang telah digarap dengan sempurna oleh pihak FAM, lebih-lebih lagi dengan berbaki kurang 9 tahun sahaja ini boleh terjejas, dan perkara inilah yang seharusnya kita semua selaku pemegang taruh bolasepak negara, elakkan.
14. Akhir kata, mewakili hampir 1000 orang pemain yang terkesan akibat pembatalan ini, PFA Malaysia memohon agar usul ini dipertimbangkan dan diterima seadanya.
SELAMAT ULANGTAHUN KE-95 FAM!
PFA MALAYSIA