Seorang bekas pemilik pasukan Kuantan FA dan Marcerra United ditahan di Mahkamah Sesyen Shah Alam selepas selesai prosiding sebutan kes jenayah berkaitan penipuan hari ini.
Pemilik bergelar ‘Datuk’ itu ditahan oleh polis setelah didakwa mengingkari perintah mahkamah untuk membayar tunggakan gaji berbaki RM1.4 juta yang melibatkan 46 pemain dan 12 pegawai kelab itu pada tahun 2018.
Dalam satu kenyataan peguam En. Mohamad Suhail Rahimi Abdul Razak yang mewakili bekas pemain dan pegawai untuk dua kelab tersebut berkata,
“Penahanan dilakukan mengikut perintah komital yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Februari yang lalu dan Mahkamah yang sama turut memutuskan bahawa individu tersebut perlu dipenjarakan selama seminggu atas kesalahan komital iaitu penghinaan terhadap perintah tersebut”
Tambahan lagi, mahkamah telah memberikan penangguhan selama dua minggu untuk individu tersebut melunaskan tunggakan gaji namun dia mendiamkan diri dan hanya membayar RM600,000.00 setakat pertengahan 2023 dan baki tunggakan sebanyak RM1.4 juta masih berbaki sehingga kini.
Menurut En. Suhail, bekas pemilik kedua – dua kelab tersebut akan dibawa ke Penjara Kajang petang ini dan akan dipenjarakan selama 7 hari berdasarkan perintah yang diberikan oleh Mahkamah. Pihaknya turut akan memulakan tindakan jenayah jika bekas pemilik tersebut gagal melunaskan baki tunggakan yang dituntut.
Bekas pemain Kuantan FA, Abdul Ghani Abdul Rahman berkata, beliau berasa bersyukur kerana akhirnya mendapat pembelaan dengan penangkapan bekas pemilik kelab tersebut yang menjejaskan kehidupan keluarga beliau setelah tiga bulan tidak dibayar gaji.
Ujarnya, beliau berharap agar ‘Datuk’ itu membayar semua tunggakan dan prosedur lanjut akan diambil sekiranya gagal melunaskan gaji.
Dalam masa sama, En. Izham Ismail selaku Ketua Pegawai Eksekutif PFA Malaysia berkata, perintah tangkapan yang dikeluarkan mahkamah ini merupakan kali pertama bagi kes yang melibatkan tunggakan gaji kelab bola sepak Malaysia.
Perjuangan PFA Malaysia selama tujuh tahun membela nasib pemain Kuantan FA dan Marcerra United di muka pengadilan ini dianggap sebagai satu amaran kepada semua pemilik kelab atau persatuan supaya peka dengan hak dan kebajikan pemain terutama sekali melibatkan tunggakan gaji.
PFA Malaysia juga ingin meminta para pemain supaya berani untuk tampil kehadapan memperjuangkan hak mereka sebagai seorang pemain bola sepak profesional terutama sekali pemain yang menghadapi isu yang sama dengan membuat laporan kepada PFA Malaysia bagi tindakan yang lebih lanjut.