BEKAS PEMAIN TERENGGANU CITY FC TERIMA BANTUAN DANA FIFA

 

Sebanyak 18 bekas pemain Terengganu City FC akhirnya menerima bantuan kewangan melalui FIFA Fund for Football Players (FIFA FFP), sebuah inisiatif hasil kerjasama antara FIFA dan FIFPRO. Dana ini diwujudkan untuk membantu pemain bola sepak yang terkesan akibat isu tunggakan gaji, seperti yang dialami oleh bekas pemain kelab ini sejak 2018. Kejayaan ini mencerminkan usaha berterusan Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFA Malaysia) dalam memperjuangkan hak pemain di negara ini.

 

Salah seorang pemain yang menerima dana ini, Mohd Syazreen Bin Mohd Suhaimi, meluahkan rasa syukurnya setelah menanti selama bertahun-tahun. “Pertama sekali, kami bersyukur kepada Allah SWT kerana diberi rezeki buat kami. Terima kasih kepada PFAM, FIFPRO dan FIFA kerana menyelesaikan isu tunggakan gaji kami. Walaupun mengambil masa, saya amat menghargai usaha semua pihak dalam memastikan hak kami dipenuhi. Alhamdulillah, penantian kami sejak tahun 2018 akhirnya selesai. Semoga PFAM terus maju dalam menjaga kebajikan pemain bola sepak.”

 

Rasa terima kasih turut disuarakan oleh Izzaq Faris Ramlan, yang menyifatkan bantuan ini sebagai bukti kukuh bahawa usaha melindungi hak pemain bola sepak tidak pernah terhenti. “Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada PFAM atas usaha mereka membantu saya dan pemain lain mendapatkan hak kami. Selepas enam tahun menunggu, akhirnya saya menerima bayaran ini melalui FIFA Fund for Football Players. Komitmen PFAM membuktikan bahawa pemain bola sepak tidak keseorangan dalam menghadapi cabaran seperti ini.”

 

Dana ini adalah sebahagian daripada usaha global FIFA dan FIFPRO untuk melindungi kebajikan pemain bola sepak profesional. Ia bertujuan memberikan sokongan kewangan segera kepada pemain yang menghadapi kesukaran akibat kegagalan kelab memenuhi tanggungjawab mereka.

 

Ketua Pegawai Eksekutif PFAM, Izham Ismail, menekankan bahawa inisiatif ini adalah bukti kukuh bagaimana FIFA dan FIFPRO komited dalam memperjuangkan hak pemain di seluruh dunia. “Kami di PFAM akan terus bekerja keras untuk memastikan kebajikan pemain bola sepak Malaysia terjaga. Peranan FIFPRO dalam inisiatif ini adalah sangat besar, dan kami bangga menjadi sebahaian daripada keluarga global yang mempertahankan hak pemain.”

 

PFA Malaysia berharap agar semua kelab di negara ini lebih serius dalam menjaga kebajikan pemain dan memastikan pembayaran gaji dilakukan tepat pada masanya.

 

Share this article:

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp