Pada 10 Julai 2025, Persatuan Pemain Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) telah menjalankan satu lawatan rasmi ke Akademi Mokhtar Dahari (AMD) sebagai sebahagian daripada usaha berterusan dalam memperkukuh hubungan dan menyampaikan ilmu yang bernilai kepada generasi pelapis bola sepak negara.
Memasuki tahun ketiga penganjurannya, lawatan ini diketuai oleh Pemangku Presiden PFAM, En. Razman Roslan, bersama barisan Eksekutif PFAM. Kehadiran delegasi PFAM disambut mesra oleh pihak pengurusan akademi serta para pelajar AMD yang teruja menerima kunjungan daripada organisasi yang memperjuangkan suara dan kebajikan pemain bola sepak profesional di Malaysia.
Sepanjang sesi yang berlangsung, pelbagai perkongsian bermanfaat telah disampaikan kepada para pelajar, meliputi topik-topik penting seperti:
- Pengurusan kerjaya sebagai pemain bola sepak profesional
- Pemahaman kontrak dan hak pemain
- Penggunaan media sosial secara bertanggungjawab
- Persediaan mental dan fizikal untuk menghadapi cabaran dalam dunia bola sepak moden
Menurut En. Razman Roslan, program seperti ini merupakan platform penting untuk mendidik pemain muda tentang realiti industri bola sepak serta membina asas profesionalisme sejak dari awal karier mereka.
“Kami mahu mereka sedar bahawa PFAM bukan hanya hadir ketika wujudnya masalah, tetapi juga sebagai rakan strategik yang komited membimbing mereka mengenali hak, tanggungjawab dan potensi penuh sebagai pemain profesional,” ujar beliau.
Sesi perkongsian ini turut dijalankan secara interaktif, membolehkan pelajar AMD mengemukakan soalan dan berkongsi pandangan secara terbuka. Antara topik yang mendapat perhatian khusus termasuklah isu gaji dan kontrak, realiti kehidupan sebagai pemain profesional, pentingnya pendidikan sebagai pelan sokongan jangka panjang, serta kaedah membina semangat dan motivasi kendiri.
Lawatan ini bukan sahaja memperkukuh kerjasama antara PFAM dan Akademi Mokhtar Dahari, malah mencerminkan komitmen PFAM dalam melahirkan pemain bola sepak yang bukan hanya cemerlang di atas padang, tetapi juga matang, berpengetahuan dan bersedia membuat keputusan bijak di luar padang.
Gambar penuh : https://www.facebook.com/share/p/1Bmm6FamVq/