
Pada 10 November 2025, Persatuan Pemain Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFA Malaysia) meneruskan siri #PFAMTour2025 dengan mengadakan kunjungan hormat ke Penang FC yang berlangsung di Auditorium F, Komtar. Lawatan ini bertujuan memperkukuh hubungan bersama kelab serta menyampaikan maklumat penting berkaitan hak, kebajikan, dan pembangunan pemain bola sepak profesional di Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif PFA Malaysia, En. Izham Ismail hadir dalam sesi ini dan menerangkan komitmen berterusan PFA Malaysia terhadap kepentingan menjaga hak serta kebajikan pemain. Beliau mengulangi komitmen PFA Malaysia untuk menjadi suara utama pemain dan memastikan perlindungan serta sokongan yang sewajarnya bagi memenuhi standard profesional industri bola sepak.
Sesi ini turut menampilkan En. Kamarul Akhir, Pengarah All Sports Images and News Agency (Asiana.my), yang berkongsi pandangan mengenai bidang fotografi sukan. Beliau turut memberikan penerangan praktikal tentang tatacara dan prosedur sesi bergambar rasmi di padang, satu perkongsian yang membantu pemain serta pasukan mengekalkan imej profesional dalam setiap aktiviti media dan dokumentasi perlawanan.
Sebagai sebahagian daripada pengisian program, satu sesi soal jawab (Q&A) yang amat interaktif turut diadakan melibatkan para pemain dan wakil pengurusan kelab. Sesi ini membuka ruang untuk membincangkan isu-isu semasa berkaitan kebajikan pemain serta mengenal pasti langkah penambahbaikan yang boleh dilaksanakan bersama antara pihak PFA Malaysia dan kelab bagi memastikan kesejahteraan pemain terus terpelihara.
Dalam sesi ini juga, PFA Malaysia turut menerangkan peranan FIFPRO, iaitu badan induk global yang mewakili lebih daripada 60 kesatuan pemain profesional di seluruh dunia, termasuk PFA Malaysia sebagai ahli rasmi.
FIFPRO memainkan peranan penting dalam melindungi hak, kebajikan, dan keselamatan pemain bola sepak profesional di peringkat antarabangsa. Melalui rangkaian ini, PFA Malaysia mendapat akses kepada dasar, garis panduan serta pelbagai inisiatif global berkaitan pembangunan kerjaya pemain, keselamatan kontrak, kesihatan mental, dan peralihan selepas persaraan bagi memastikan pemain di Malaysia turut menikmati perlindungan sejajar dengan standard antarabangsa.
Kunjungan ini diakhiri dengan acara simbolik penyerahan pennant PFA Malaysia kepada pemain Penang FC, Stefano Brundo, sebagai tanda penghargaan dan jalinan kerjasama erat antara kedua-dua pihak.
Melalui penganjuran #PFAMTour2025, PFA Malaysia kekal komited untuk memperkukuh hubungan dengan pasukan-pasukan Liga Malaysia serta memastikan hak, kebajikan dan pembangunan pemain terus menjadi keutamaan dalam memajukan industri bola sepak profesional negara.
📸 Kamarul Akhir | Asiana.my
#PFAMalaysia
#SupportingThePlayers
#BuildingTheGame
#PFAMTour2025





